Tiada Guard Of Honor Di Wanda Metropolitano, Ini Sejarah Kontroversi Pasilo Di Sepanyol

Ada yang merasakan ianya perkara yang harus dilakukan atas semangat kesukanan, manakala ada pula yang menyatakan bahawa ianya sesuatu yang tidak perlu dilakukan jika hati tidak rela.

Semalam, Real Madrid secara rasminya beraksi perlawanan pertama selaku juara La Liga musim 2021/22. Dan Atletico Madrid memutuskan bahawa, mereka tidak mahu memberikan Real Madrid Guard Of Honor ataupun Pasilo.

Kejadian itu berlaku hanya sehari selepas Barcelona memberikan pasilo kepada Real Betis yang baru bergelar juara Copa Del Rey.

Xavi menyatakan bahawa mereka melakukannya atas semangat kesukanan. Malah pada era beliau menjadi pemain, dia sendiri pernah memberikan pasilo kepada Real Madrid.

Real Madrid meraikan kejuaraan La Liga ke-35 di dalam sejarha kelab mereka. Menjadikan Carlo Ancelotti sebagai pengurus pertama memenangi liga di semua 5 liga utama Eropah.

Real Madrid mengesahkan kejuaraan mereka selepas kemenangan ke atas Villarreal.

Guard of honor adalah satu perbarisan hormat daripada pasukan lawan sebagai mengiktiraf dan memberikan penghargaan kepada juara sesuatu pertandingan.

Pasukan lawan pada aksi seterusnya pasukan juara biasanya akan berbaris dalam 2 barisan dan menyambut masuk pasukan juara. Ianya dianggap penghargaan yang kecil namun sangat bermakna sebagai tanda meraikan semangat kesukanan. Dan tradisi itu sudah wujud dalam bola sepak sejak sekian lama.

Namun Real Madrid tidak mendapatnya dalam aksi berdepan Atletico Madrid. Di mana Real Madrid tewas dalam perlawanan tersebut.

Perkara itu sebenarnya sudah diumumkan sendiri oleh Atletico Madrid iaitu Diego Simeone sebelum perlawanan.

2 tahun yang lalu, Real Madrid mendapat guard of honor dari Leganes.

Atletico dalam kenyataan rasminya sebelum perlawanan berkata mereka tidak mahu melakukan guard of honor kerana merasakan bahawa tradisi itu sudah rosak dan ianya satu percubaan untuk menghina mereka.

Di mana ada pihak termasuk peminat di media sosial akan menjadikannya bahan jenaka yang harus ditanggung pasukan lawan yang memberikan pasilo tersebut.

“Ada sesetengah pihak cuba mengubah tradisi penghargaan kepada juara menjadi perkara yang harus ditanggung oleh seteru mereka dengan niat memalukan mereka.”

“Dalam apa jua keadaan, Atletico Madrid tidak akan besekongkol dalam percubaan mengejek ini di mana nilai sebenar sukan dilupakan sepenuhnya. Ia juga menggalakkan ketegangan dan konfrontasi antara peminat.”

“Kami telah terlibat dalam beberapa situasi yang sama dalam beberapa tahun kebelakangan ini selepas memenangi gelaran berbeza, termasuk dua gelaran liga, dan pada beberapa ketika terdapat beberapa penghormatan daripada pasukan saingan kepada kami selaku juara dan ada pihak yang lain pula tidak melakukannya.”

“Tetapi ianya sebenarnya tidak pernah seteruk kontroversi yang dibesar-besarkan dan dibuat seperti yang kami alami dalam beberapa minggu kebelakangan ini.”

Pengurus Atletico Madrid Diego Simeone menyokong pendirian kelab itu dengan komennya dalam sidang media sebelum perlawanan. Sambil menegaskan bahawa setiap orang ada budaya berbeza. Di Argentina mereka tidak melakukannya.

“Realitinya adalah apa yang kelab katakan dalam kenyataan akhbar, menjelaskan dengan sempurna, mengucapkan tahniah kepada Real Madrid di atas segala-galanya, pemain bola sepak, kakitangan teknikal, kerana mereka telah melakukan kerja yang hebat,” kata Simeone.

“Kami menghormati Madrid tetapi ini lebih kepada masyarakat kami.”

“Saya tidak tahu sama ada ini diwakili dalam kejohanan dunia lain. Setiap masyarakat berbeza. Orang Sepanyol mempunyai perbarisan hormat ini untuk lawan mereka, [tetapi] sebagai contoh, dari mana saya berasal, kami tidak mengamalkannya. Kami juga hidup dengan budaya berbeza.”

Perang pasilo antara Madrid dan Barca

Pada 2018, Real Madrid sendiri enggan memberikan Barcelona guard of honor kerana memenangi kejuaraan liga, dengan kapten ketika itu Sergio Ramos berkata, “Kita membuat terlalu banyak kekecohan tentang semua ini.”

“Barca dan mendapat piala mereka, itulah yang mereka inginkan , tetapi tidak akan ada guard of honor. TITIK.”

Kenyaatan Ramos itu seolah olah membalas dendam ke atas apa yang dilakukan Barcelona beberapa tahun sebelumnya.

Di mana Barcelona enggan menghormati tradisi untuk Real Madrid selepas Los Blancos memenangi Piala Dunia Kelab FIFA. Barcelona menyatakan bahawa mereka tidak boleh memberikan pasilo kepada Real Madrid kerana mereka tidak menyertai pertandingan itu, jadi Barcelona tidak akan mengiktiraf Real Madrid untuk pencapaian itu.

“Di kelab ini, pasilo biasanya dibuat apabila kami menyertai Liga Juara-Juara Eropah atau La Liga…dan ini tidak berlaku,” kata pengarah hubungan institusi Barcelona Guillermo Amor.

Media pro Real Madrid ketika senada dengan Zinedine Zidane menuduh Barcelona sebagai merosakkan tradisi. Real Madrid mara ke kejuaraan dunia pun sebab mereka menjadi juara UCL sebelum itu. Kejohanan yang turut disertai oleh Barcelona.

Zidane ketika itu berkata: “Itu adalah keputusan saya [bukannya kelab], Barcelona yantg terlebih dahulu mencemari tradisi ini.”

Pique kemudian memperlekeh kenyataan Zidane itu dengan menyatakan: “Saya tak boleh tidur mendengar kenyataan tersebut.”

Pique kemudian menyatakan bahawa: “Kami gembira sekali Villarreal memberikan kami guard of honor. Tambahan, mereka kelab yang lebih besar daripada Real Madrid.”

Madrid dan Barca pernah memberikan pasilo kepada masing masing

Sebelum ini pada 1991, Real Madrid pernah memberikan Barcelona Guard of Honor di Santiago Bernabeu ketika pasukan ‘Dream team’ Johan Cruyff memenangi liga.

Pada 2008, Barcelona pula memberikan guard of honor kepada Real Madrid. Kapten Barca ketika itu, Carles Puyol menyatakan dia mengetuai pemain Barca melakukannya atas semangat kesukanan.

“Sebagai seorang cule [pemian Barca] saya tak sukannya. Tetapi sebagai seorang atlet, saya rasa saya perlu melakukannya atas semangat kesukanan.”