Tidak Berlapik, Cody Gakpo Terus Terang Cakap Dia Berminat Sertai Manchester United

Cody Gakpo berkata dia akan mempertimbangkan untuk menyertai Manchester United jika mereka membuat satu lagi tawaran baharu untuknya pada jendela perpindahan Januari.

Kata kata Gakpo itu pastinya membuatkan peminat PSV Eindhoven kurang selesa.

Gakpo nampaknya  berpotensi meninggalkan PSV Eindhoven pada bulan depan selepas menarik minat beberapa kelab teratas Liga Perdana.

Pemain berusia 23 tahun itu telah menjadi antara pemain yang paling dipantau dalam bola sepak Eropah selepas prestasinya yang hebat ketika berseragam Belanda pada Piala Dunia di Qatar.

Gakpo telah menjaringkan tiga gol setakat ini dalam kejohanan itu, membantu Belanda mara ke suku akhir di mana mereka akan menentang Argentina.

Arsenal dan Liverpool antara kelab yang dilaporkan turut dengan Gakpo, yang telah menjaringkan 13 gol dan memberikan 17 assist untuk PSV musim ini, manakala Leeds United telah pun mencuba untuk menandatangani penyerang itu pada jendela musim panas lalu.

Bagaimanapun, Manchester United dianggap sebagai pilihan utama untuk menandatangani Gakpo, yang telah mengesahkan bahawa dia mengadakan perbincangan dengan pengurus Red Devils, Erik ten Hag pada musim panas lalu.

Gakpo berkata dia tidak mahu berdolak dalik, mengesahkan bahawa dia akan mempertimbangkan untuk menyertai United jika mereka cuba mendapatkannya pada Januari, tetapi menegaskan tiada jaminan untuk apa sahaja.

“Apa yang akan berlaku pada masa akan datang, adalah yang akan datang,” katanya kepada media Belanda NRC.

“Saya ada fikir tentang Manchester United, tetapi apabila itu gagal direalisasikan [pada musim panas lalu], saya tidak tahu lagi [perkembangannya].”

“Dan saya mula ragu-ragu. Leeds United memang datang dengan tawaran mereka. Patutkah saya pergi ke sana? Sekarang saya tunggu dan lihat semuanya.”

“Saya belum mendengar khabar dari Manchester United. Jika mereka datang, saya akan memikirkannya. Dalam keputusan ini juga, saya memohon pertolongan Tuhan. Saya bertanya kepada-Nya apa yang boleh saya lakukan yang terbaik dalam keputusan saya.”

Football Insider mendakwa United telah pun bersetuju dengan perjanjian secara prinsip dengan Gakpo berhubung kemungkinan perpindahan Januari.

Tetapi ia masih harus dilihat sama ada United akan sedia membayar harga ditetapkan untuk menandatangani pemain sayap itu daripada PSV.

Foot Mercato mendakwa kelab Belanda itu telah menaikkan harga permintaan mereka untuk pemain sayap itu kepada €60m (£51.6m) berdasarkan prestasi semasanya di Piala Dunia.

Angka ini boleh meningkat lebih jauh jika beliau terus menarik perhatian di Qatar.

Baca yang lain