‘Tidak Menghormati Agama Lain Pun Satu Kesalahan’ – Henderson

Jordan Henderson antara pemain yang banyak menerima kecaman daripada media di UK kerana dia memilih untuk ke Arab Saudi.

Hal ini kerana Henderson merupakan pemain yang aktif bersama skuad England yang menyokong pelangi. Henderson antara pemain yang menjadi penyokong kuat kempen ini selain daripada pemain seperti Harry Kane.

Pemain tengah England Jordan Henderson telah membalas kritikan dengan mempertahankan keputusannya untuk menyertai kelab Arab Saudi dan memohon maaf jika tindakannya menyinggung perasaan persatuan pelangi yang menyokong England.

Henderson dituduh menggadaikan prinsip dan kepercayaannya demi wang, kerana Arab Saudi merupakan negara yang mengharamkan sama sekali hubungan sejenis dan kebebasan jantina.

Pemain berusia 33 tahun itu berpindah ke kelab Liga Pro Saudi, Al Ettifaq dari Liverpool dengan perjanjian tiga tahun pada Julai.

Henderson berkata: “Saya dapat memahami kekecewaan itu. Saya boleh memahami kemarahan itu. Saya faham sangat. Apa yang boleh saya katakan di sekelilingnya ialah saya minta maaf kerana mereka berasa begitu.”

“Saya tidak pernah berniat untuk menyakiti sesiapa pun,” kata Henderson kepada The Athletic.

Ditanya sama ada dia akan masih memakai lilitan tangan pelangi, Henderson berkata dia akan terus bersedia memakainya bersama skuad England. Namun bukan di Arab Saudi kerana menghormati undang undang dan budaya di negara tersebut.

Dia mengakui dia sebenarnya tidak pernah tahu bahawa L G B * itu sesuatu yang haram di sisi agama Islam sehingga dia sendiri tiba di Arab Saudi.

Dia selama ini menganggap ianya cuma ditentang atas kepercayaan individu.

“Saya tidak tahu, sehinggalah saya sendiri keluar ke sana [Arab Saudi]. Memang sukar untuk saya memahami semuanya. Namun sebenarnya ia berkaitan dengan agama.”

“Saya tak akan menolaknya. Namun pada masa yang sama, saya tak akan melakukan perkara yang dianggap biadap, tidak menghormati agama dan budaya di Arab Saudi.”

“Jadi, jika saya memakai lilitan pelangi itu, ianya tindakan yang tidak menghormati agama mereka, itu juga bukan perkara yang betul. Sebab semua orang harus menghormati agama dan budaya orang lain.”

Menjelaskan kenapa dia mahu ke Arab Saudi, Henderson menyatakan dia mahu merasai sendiri pengalaman baharu bola sepak di Arab Saudi yang sedang membangun daripada hanya membenamkan kepala dalam pasir dan mengkritik negara lain dari jauh.