‘Tidak Sama Sekali’, Ten Hag Nafi United Jauh Di Belakang City Dari Segi Kualiti

‘Tidak sama sekali’ itulah jawapan balas Erik Ten Hag ketika wartawan bertanya adakah kekalahan di Etihad adalah bukti di mana Manchester United semakin ketinggalan di belakang Man City dari segi kualiti.

Erik ten Hag menafikan kekalahan 3-1 Manchester United di Manchester City menunjukkan terdapat jurang antara kedua-dua pihak dan mendakwa bahawa keputusan perlawanan mungkin berbeza jika pengadilan tidak memihak Man City sebelum kedua dua gol Phil Foden.

Jaringan Marcus Rashford pada minit kelapan memberikan United pendahuluan. Namun begitu, Manchester City mendominasi keseluruhan perlawanan.

Penyudah Foden pada minit 56 dan 80 memberikan tuan rumah pendahuluan sebelum gol ketiga Erling Haaland dalam masa tambahan memastikan kemenangan buat pasukan Pep Guardiola.

Ten Hag dilayangkan kad kuning dalam perlawanan ini kerana membantah keputusan pengadil. Ten Hag percaya Kyle Walker mengasari Rashford sebelum gol pertama Foden.

Pengurus Belanda itu juga membangkitkan tentang cabaran Ederson terhadap Alejandro Garnacho yang dianggap pengadil sebagai bentesan bersih, sebelum penyerang berusia 23 tahun itu meletakkan City di hadapan.

Pasukan Guardiola melakukan 27 percubaan berbanding tiga percubaan sahaja oleh United dan, City turut menikmati penguasaan bola sebanyak 73.7%.

Ten Hag ditanya sama ada kekalahan itu menunjukkan jurang antara mereka. “Tidak sama sekali, saya tidak fikir begitu, sama sekali tidak,” katanya.

“Anda boleh lihat kami mempunyai banyak masalah dengan kecederaan dan kami masih memiliki peluang.”

Ten Hag seterusnya menegaskan bahawa kualiti pasukannya tidak jauh beza dengan Man City pada masa ini. Cuma mereka tidak memiliki kekuatan penuh kerana ramai pemain cedera.

Ten Hag menambah: “Jurang [antara kedua dua pasukan] sangat kecil. Saya tidak akan mengatakan ia adalah terjahan daripada Kyle Walker. Mereka berdua berlari dan Rashy mengesahkan kepada saya ada tolakan dan saya telah melihatnya kembali – sangat sedikit. Tetapi apabila anda berada dalam larian pada kelajuan penuh dan anda mendapat sedikit sentuhan, itu akan membuatkan anda hilang kawalan.

“Kami boleh menjaringkan gol kedua dalam detik yang boleh dipertikaikan [tetapi] berdepan detik aksi melulu penjaga gol City [menjatuhkan Garnacho di dalam kotak penalti] dan selepas serangan itu kami bolos.

“Ia tidak begitu besar [jurang kualiti antara City dan United] dan apabila kita mempunyai semua pemain cergas, maka kita boleh berdaya saing. Kami menunjukkannya pada perlawanan akhir Piala menentang mereka apabila ia benar-benar hampir mendapat keputusan [kalah 2-1, Mei lalu] tetapi City, pada masa ini, pasukan terbaik di dunia. Jangan lupa ini.”

Baca yang lain