TMJ Ikrar Akan Sentiasa Di Belakang ‘Top Player’ Safawi Rasid

Beberapa hari ini kecoh tentang isu Safawi Rasid merosot aksinya kerana isu cinta yang melanda.

Dalam satu tangkap layar perbualan WhatsApp yang dikongsi oleh TMJ, dalam perbualan itu Safawi menyatakan hidupnya dikawal oleh aweknya dan dipaksa berkahwin.

Ini yang membuatkan Safawi mulai hilang fokus di atas padang. Fikirannya sudah berada di tempat lain.

Bagaimana dengan masa depan Pawi di JDT?

Timbul persoalan tentang masa depan Safawi bersama dengan JDT selepas ini. Adakah pemain itu akan kekal dalam projek jangka panjang JDT?

Ternyata TMJ sentiasa percayakan Safawi Rasid. Dipetik dari laman JST, TMJ menganggap Safawi Rasid sebagai pemain top class dan cerminan kepada tahap profesionalisme di JDT.

TMJ berkata: “Safawi Rasid adalah seorang ‘top player’ yang menggambarkan tahap profesionalisme dalam Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT)”.

“Beliau seorang pemain yang sangat berbakat serta mempunyai masa hadapan yang cerah.”

TMJ kemudian menyatakan keyakinannya, bahawa Safawi akan membuat keputusan yang terbaik di dalam hidupnya dengan kejayaan dalam karier.

Akhir sekali, TMJ berikrar akan sentiasa menyokong Safawi, seperti mana beliau menyokong pemain pemain lain dalam keluarga JDT.

“Saya yakin beliau akan membuat keputusan-keputusan yang akan membantunya berjaya.”

“Sepertimana dengan setiap individu yang merupakan sebahagian daripada Keluarga JDT, saya akan sentiasa bersama Safawi dan kelab ini akan melakukan yang terbaik untuk memastikan hanya yang terbaik untuk kerjaya Safawi.”

Sejak menyertai JDT, Safawi Rasid menjadi antara pemain paling berpengaruh di Malaysia, pada usianya yang muda.

Beliau berjaya memahatkan namanya sebagai pemain utama JDT dan kemudian pasukan Harimau Malaya.

Pemain yang dikenali dengan gaya cut inside and shot itu menjadi nadi penting kejayaan JDT pada musim lalu.

Namun prestasi beliau di awal musim ini telah dikritik oleh TMJ yang menganggap pemain itu semakin merosot kerana tidak fokus di dalam padang.

TMJ mahu Safawi kembali menunjukkan prestasinya yang sebenar demi membantu pasukan.

Lalu, timbul isu bahawa Safawi Rasid mendapat tekanan daripada teman wanitanya.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan oleh Syifa Melvin yang menganggap ia tuduhan tidak berasas. Malah artis itu mendedahkan dia tak pernah minta walau sesen pun duit Safawi Rasid.

Malah Syifa kecewa apabila prestasi pemain itu di atas padang dikaitkan dengan isu peribadinya di luar padang.

Safawi sudah tampil dengan permohonan maaf kepada penyokong JDT dan berjanji akan memperbaiki prestasinya di ata padang.

JDT musim ini dalam misi mempertahankan kejuaraan  Liga Super Malaysia. Mereka juga baru sahaja meraikan kejayaan menang ke atas Suwon Bluewings dalam saingan Liga Juara Juara AFC.