Tony Adams Tuduh City Suka Longgokan Pemain, Mujur Ada Arsenal Berikan Persaingan

Tony Adams menggesa EPL segera mengubah satu peraturan kerana Manchester City didapati memanipulasinya. Adams bercakap tentang City yang dikenakan pertuduhan melakukan 115 kesalahan salah urus kewangan.

Dia menyatakan bahawa City melakukan kesalahan seperti itu kerana diberikan peluang oleh Premier League sendiri yang memiliki peraturan yang lompong.

Menurut Adams, peraturan pemilikan pelbagai kelab oleh sesebuah pemilik telah memberikan kelebihan kepada Manchester City yang dimiliki oleh City Football Group yang turut memiliki Girona, New York City FC, Palermo dan Lommel SK – itu antaranya.

Tony Adams berpendapat jika peraturan itu tidak diubah, Manchester City akan terus melonggokkan pemain di kelab mereka. Ia akan membuatkan persaingan di EPL menjadi semakin membosankan dan Man City akan terus dominan.

“Saya rasa kamu harus berhati hati. Saya tak mahu Man City memenanginya [EPL] untuk 10 tahun lagi. Ketika ini mereka melonggokkan ramai pemain, mereka ada ramai pemain dalam buku mereka di pelbagai negara berbeza.

“Saya berpendapat, Premier League harus menyemak semula perkara ini termasuk sistem peminjaman pemain untuk menghentikan mereka daripada melonggokkan pemain pemain ini. Atau melihat perkara ini dari segi pembangunan, kerana EPL bukanlah liga yang benar benar memnbangunkan bakat muda di negara ini.

“Pemain pemain ini datang dari liga pembekal [Feeder] dari Belgium, Perancis, Sepanyol dan Amerika Selatan. Jadi liga ini harus melihat perkara ini dengan teliti untuk memastikan Man City tidak berterusan berpusing pusing di situ, sebab kami sudah berbelanja £200 juta di Arsenal, semata mata mahu menghampiri dengan mereka,” kata bekas kapten legenda Arsenal itu.

Tony Adams turut berpendapat hanya Arsenal yang benar benar menyaingi Man City dalam dua musim ini, jika tidak EPL dilihat sebagai liga yang tidak ada persaingan menurut Adams lagi.

“Dan kamu tidak boleh terus seperti itu, kelab besar sentiasa akan menjadi kelab besar. EPL adalah liga terbaik di dunia kerana ianya kompetitif dan kamu mahu mengekalkan reputasi itu.

“Syukurlah kita ada Arsenal, kerana jika tidak ada Arsenal, tahun ini [contohnnya], liga ini tidak wujud [kerana tiada persaingan].”

Ramai juga kurang setuju dengan Adams tentang Man City melonggokkan pemain. Kerana Man City ada reputasi sentiasa terbuka menjual pemain muda dan pemain berbakat mereka ke luar jika ada tawaran yang bagus dan pemain itu sendiri mahu pergi.

Antaranya seperti Jadon Sancho, Brahim Diaz, Eric Garcia, Jeremie Frimpong, Tosin Adarabioyo, Angelino, Romeo Lavia, Aleix Garcia, Michel Olise dan juga Cole Palmer.