TRW Tuduh Pemain Pentingkan Diri Dalam Isu Tunggakan Gaji Lebih RM158K

Kelantan FC hari ini mengesahkan bahawa mereka menerima notis dari Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) berkaitan dengan tuntutan tunggakan gaji melibatkan 5 orang bekas pemain Kelantan musim lalu.

Dalam kenyataan mereka, Kelantan FC turut membidas sikap pemain yang menurut mereka mementingkan diri sendiri dan tidak bertimbang rasa kerana tidak mahu dikurangkan gaji ketika krisis pandemik.

PFAM dalam surat tersebut menyatakan:

Dengan segalanya hormatnya merujuk kepada perkara di atas.

Kami mewakili penama yang dinyatakan dalam Lampiran 1, ingin mengemukakan permintaan kepada pihak TRW berhubung bayaran gaji para pemain bagi November 2020.

Sepertimana yang dimaklumi oleh kedua dua pihak antara pihak TRW dan pihak pemain, bayaran gaji bagi November masih belum dijelaskan kepada para pemain.

Pihak kami telah dimaklumkan bahawa terdapat perbincangan pengurangan gaji yang dimulakan oleh pihak TRW, pun begitu para pemain tidak bersetuju dan telah pun memberikan masa yang secukupnya untuk pihak TRW membuat bayaran.

Oleh itu dengan penuh hormat, kami meminta kerjasama sebaiknya daripada pihak TRW untuk melunaskan tunggakan bayaran tersebut memandangkan ia merupakan keperluan untuk para pemain menghadapi situasi kewangan yang mencabar ketika ini.

Pihak kami berharap bayaran dapat dilunaskan dalam tempoh 10 hari surat ini diterima.

 

PFAM menyatakan 5 pemain tersebut ialah Nazrin Nawi, Farisham Ismail, Nik Akif Syahiran, Muhammad Syahrul Nizam serta Masaki Watanabe.

TRW kemudian memuat naik butiran pecahan tuntutan oleh Watanabe yang bernilai RM91,857 – paling tinggi di antara semua.

Berikut adalah maklum balas daripada TRW:

Pihak kami telah menerima surat dari Peguam Professional Footballers Association of Malaysia (PFAM) atas tuntutan gaji yang dibuat oleh 5 bekas pemain Kelantan FC musim 2020.

Untuk makluman, pihak pengurusan Kelantan FC sudah menelefon, menulis surat, sudah pun merayu kepada 5 pemain tersebut supaya menerima pengurangan gaji kerana pihak pengurusan TRW yang baru sudah melesaikan tunggakan hutang-hutang pemain sebelum ini dan juga ketiadaan pendapatan oleh pasukan disebabkan oleh pandemik Cov19 kerana tiada penonton dibenarkan masuk ke Stadium.

Perlawanan terakhir pasukan Kelantan FC bagi bulan November juga hanya sekali iaitu pada 8hb November 2020 dan adalah tidak adil bagi pemain lain yang sudah bersetuju dengan bayaran separuh gaji bagi bulan November 2020.

Walaupun benar, pihak pengurusan baharu perlu mengikut apa yang ada didalam Kontrak, pemain nampaknya lebih mementingkan diri sendiri tanpa ada timbang rasa sewajarnya.

Pengurusan baru akan membayar apa yang perlu jika mereka ini tetap berkeras, termasuk meneliti hak pengurusan segi perundangan di bawah Cov19.
Diucapkan terima kasih pada semua bekas kejurulatihan dan bekas pemain musim 2020 yang telah menerima pembayaran gaji.

Sekian,

Penasihat Undang-undang