TSAM Yakin KL City Boleh Menjadi Fenomena Dan Cabarannya Lebih Mudah Berbanding Di Kelantan

Tan Sri Annuar Musa menyuarakan hasrat untuk menjadikan Kuala lumpur City (KL City) sebagai fenomena di Malaysia.

Merujuk kepada sidang media di halaman rasmi pasukan, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak (KAFA) ini mahu menjadikan KL City sebagai fenomena dalam kancah saingan domestik.

CABARAN DI KELANTAN LEBIH SUKAR

Menurut Tan Sri Annuar Musa, cabaran di Kelantan lebih mencabar berbanding di KL City. Pasukan Kelantan tidak boleh menguruskan Stadium, tidak mempunyai penajaan tempatan dan tidak menerima sebarang bantuan.

“Kita tidak memiliki dan menguruskan stadium.

“Kita juga tidak mempunyai penajaan local di Kelantan dan saya terpaksa membawa penaja penaja dari luar Kelantan.

“Kita juga tidak mendapat dana macam annual grant misalnya. Banyak terlalu banyak…”

Pada satu ketika dahulu, Tan Sri Annuar Musa pernah berkongsi dengan peminat bola sepak Kelantan, beliau mahu melihat Kelantan FA menguruskan stadium sendiri.

Selain dari menjadi gelanggang rasmi pasukan, salah satu idea yang mahu dilakukan, penaja akan diberi ruang di setiap pintu masuk stadium seperti contoh pintu masuk Maxis, pintu masuk Astro dan sebagainya.

Namun hasrat tersebut tidak pernah tercapai.

Kelantan juga agak bergelut mendapatkan penajaan setempat. Syarikat luar seperti Happy, Hotlink dan kicap Adabi menjadi penaja utama pasukan.

Chengaljati pula merupakan sahabat baik kepada Tan Sri Annuar Musa yang pernah menjadi penaja utama pasukan.

Geran tahunan yang dimaksudkan bantuan kewangan dari pemerintah tempatan seperti diperolehi oleh majoriti pasukan negeri pada ketika itu.

MENGURUS STADIUM SENDIRI KUNCI PERTAMA

Langkah pertama yang mahu diambil oleh Tan Sri Annuar Musa mahu KL City menguruskan sendiri Stadium sebelum pergi kepada pelan jangka masa panjang dan menjadikan pasukan ini digeruni dalam kancah saingan tempatan.

Pada masa yang sama KL City lebih mudah mendapat penajaan komersial.

“Tapi di Kuala Lumpur, alhamdullilah. Kuala Lumpur kita dapat mengumpul commercial pakage yang lebih kukuh.

“Kita juga tidak hanya melihat kepada pasukan. Tapi saya melihat kepada perancangan jangka masa panjang, sebab itu saya mahu Kuala Lumpur City memiliki dan mengurus sendiri stadium.

“Kita akan mempunyai training fasaliti yang lebih baik dan sebagainya. Jadi kita kena buat persiapan untuk KL City menjadi satu lagi satu fenomena dalam bola sepak Malaysia.”

LANDSKAP SAINGAN DOMESTIK

Walaupun landskap bola sepak Malaysia telah berubah selepas JDT bangkit mendominasi saingan namun Tan Sri Annuar Musa tetap yakin KL City mampu menjadi sebahagian pasukan besar.

“Saya rasa saya boleh buat lebih baik dari apa yang The Red Warriors capai walaupun of couse sekarang lebih kompetitif lah dengan pasukan-pasukan… mungkin Terengganu, JDT, Pahang dan sebagainya

“Tapi saya berkeyakinan KL City boleh…boleh melakukannya kerana prasyarat-prasyarat tadi yang banyak berbezanya dengan keupayaan.”

Sejak 2014 tiada pasukan lain yang berjaya meraih trofi liga. Bagi pertandingan Piala FA dan Piala Malaysia masih terbuka.

Pahang dan Kedah masing-masing mengumpul 3 kejuaraan dalam tempoh tersebut.

Sementara itu sejak Liga Super diperkenalkan kejuaraan treble hanya berjaya dilakukan oleh 2 pasukan iaitu Kedah dan Kelantan.

KELEBIHAN KELANTAN

Tan Sri Annuar Musa berkata sokongan peminat Kelantan lebih baik berbanding KL City. Beliau pernah mendedahkan kepada peminat berkaitan hasil pendapatan Kelantan melalui kutipan tiket.

Pasukan mengutip RM 8 juta dalam musim cemerlang dan RM 4 juta pada musim sederhana.

“Cuma kelebihan di Kelantan itu kita mempunyai fansbased yang solid dan itu sebahgian dari football.”

ANALISIS: APA REPUTASI KL CITY

Sejak 2004, KL City sudah terlibat dalam 390 perlawanan liga. Majoritinya adalah di Liga Perdana, sebanyak 255 perlawanan.

Baki 135 perlawanan adalah di Liga Super. KL City hanya merekod 39 kemenangan. Pada musim ini KL City bermain di Liga Super, iaitu kali ke-7 dari 18 musim lepas.

Dalam tempoh tersebut KL City hanya menang hanya 17 kali dari 48 perlawanan Piala FA dan 19 kali dari 74 perlawanan Piala Malaysia.

Perkara tersebut menunjukkan KL City bukanlah sebuah pasukan besar sejak sekian lama.

Prestasi KL City pada musim ini adalah yang terbaik, sedang berlegar di pertengahan liga dan dijangka mudah bagi untuk kekal di Liga Super.

Sebelum ini KL City tidak pernah menamatkan saingan liga atas dari tempat ke-9.

Adakah Tan Sri Annuar Musa bakal menjadikan KL City lebih baik sejak Liga Super diperkenalkan?