Tuchel: “Kalau Tak Dapat Naik ‘Flight’ Atau Tren, Saya Sendiri Pandu ‘7 Seater’ Ke Perancis”

Ketua jurulatih Chelsea, Thomas Tuchel telah memberikan respons yang membuatkn penyokong Chelsea terkesima ketika ditanya bagaimana pasukannya akan bertandang menghadapi Lille dalam Liga Juara-Juara.

Tuchel terus membuktikan kredibilitinya sebagai pengurus dan semakin disayangi penyokong terutama sekali cara profesionalnya menangani beberapa soalan wartawan ketika kemelut yang melanda kelab meletakkannya dalam keadaan sangat sukar.

Tuchel sebelum ini pernah membidas wartawan yang bertanya tentang padangannya tentang perang di Ukraine. Menurut Tuchel, sepatutnya media tak menganggap dia seorang politician untuk bercakap soal tersebut dan kelab Chelsea adalah kelab bola sepak dan tiada kena mengena dengan mencetuskan perang.

Tuchel: Saya akan drive

Chelsea akan menentang kelab Perancis itu pada hari Rabu dalam perlawanan kedua pusingan 16 terakhir mereka, setelah memenangi perlawanan pertama di Stamford Bridge 2-0.

Persoalan telah dibangkitkan mengenai bagaimana skuad Chelsea akan ke perlawanan itu, dengan bajet perjalanan kelab pada masa ini dihadkan kepada hanya £20,000 setiap perlawanan di tempat lawan kerana sekatan baru-baru ini terhadap pemilik kelab Roman Abramovich.

Ketika ditanya tentang keadaan sukar di kelab itu, Tuchel berseloroh bahawa dia mungkin perlu memandu sendiri skuad tersebut ke Lille.

Tuchel menegaskan, setakat ini dia tidak mendengar bahawa kelabnya akan ada masalah dengan pengangkutan untuk aksi seterusnya. Dan mereka masih akan pergi menggunakan kapal terbang untuk ke Perancis.

“Maklumat terakhir saya dapat ialah kami akan menggunakan kapal terbang dan kita boleh pergi dengan kapal terbang dan pulang dengan kapal terbang.”

“Jika tidak [dapat menggunakan kapal terbang], kita pergi dengan kereta api, jika tidak [dapat pakai kereta api kita akan pergi] dengan bas, jika tidak saya akan memandu kereta tujuh tempat duduk,” kata Tuchel, selepas Chelsea menang 1-0 ke atas Newcastle pada Ahad.

Tuchel meraikan kemenangan kali ini dengan sangat emosional kerana dia sedar pasukannya sedang tertekan.

Tuchel kemudian menyambung: “Sejujurnya, saya akan melakukannya. Kamu semua boleh pegang kata-kata saya ini, saya akan melakukannya untuk tiba di sana.”

“Jika kamu bertanya pada 20 atau 30 tahun lalu, apa yang sanggup saya lakukan untuk mengendalikan perlawanan Liga Juara-Juara Eropah, saya akan berkata: ‘Ok, beritahu kat mana saya perlu pergi dan bila?’

“Kenapa perkara ini perlu berubah? Saya akan berada di sana dan kita akan berada di sana. Sudah tentu, dari segi organisasi, terdapat beberapa rundingan dan perbincangan, tetapi ia tidak mempengaruhi saya.”

Tuchel: Kami lakukan apa yang kami boleh lakukan

Abramovich telah disekat oleh kerajaan British sebagai sebahagian daripada tindak balasnya terhadap pencerobohan Rusia ke atas negara jiran Ukraine.

Aset oligarki Rusia yang berpangkalan di UK telah dibekukan, dengan Chelsea menerima lesen terhad untuk membenarkan kelab itu meneruskan ‘aktiviti berkaitan bola sepak’.

Chelsea tidak lagi boleh menjual atau menandatangani pemain, memperbaharui kontrak, atau menjual tiket dan menjual barangan rasmi kelab – manakala kelab itu juga mesti beroperasi dengan bajet yang dikurangkan untuk perlawanan di tempat sendiri dan di tempat lawan.

Chelsea malah terpaksa mencari hotel paling murah yang boleh untuk memastikan mereka tidak berbelanja melebihi bajet ditetapkan.

Kini terdapat keraguan sama ada kelab itu boleh membayar bil gaji bulanan yang dilaporkan sebanyak £28 juta untuk baki musim ini.

Tuchel, yang terikat kontrak dengan Chelsea sehingga 2024, telah mengesahkan dia berhasrat untuk kekal di Stamford Bridge sehingga sekurang-kurangnya akhir kempen musim ini tetapi mengakui dia sendiri tidak pasti apa yang akan berlaku pada masa depan, kerana ketika ini Abramovich mencari pembeli untuk kelab itu.

“Tidak syak lagi saya akan kekal sehingga akhir musim ini,” tambah Tuchel.

“Kami hanya perlu menunggu dan kami masih perlu meneruskan hari demi hari kerana semuanya boleh berubah. Tetapi seperti yang kamu semua tahu, keadaannya jelas – kelab itu untuk dijual, dan diharapkan ia akan berjaya menyelesaikan masalah dan memberi kita perspektif.”

“Tetapi ia adalah spekulasi semata-mata dan saya tidak mempunyai maklumat lanjut daripada yang kamu sudah ada.”

“Dan itulah yang saya maksudkan dengan hari demi hari, cara yang baik untuk terus menjalani kehidupan kamu, dan kini kami terpaksa melakukannya kerana terdapat beberapa keadaan yang tidak dapat kami pengaruhi, dan pada satu ketika ia tidak begitu baik kerana kami tidak mempunyai kuasa dan tindakan yang dapat membantu.”

“Tetapi di sisi lain ia memberikan kamu kebebasan untuk memberikan tumpuan kepada apa yang boleh kami pengaruhi, dan ini adalah persembahan kami dan untuk menunjukkan semangat.”

“Kerana sudah tentu tumpuan diberikan kepada pasukan utama, pemain kami dan saya. Tetapi Chelsea adalah lebih daripada pasukan utama dalam Liga Perdana Inggeris – ia adalah kelab besar dengan tradisi yang luas.”

“Dan terdapat ratusan orang di luar sana yang saya pasti lebih risau berbanding pemain dan kakitangan kami, termasuk saya.”

“Dan bagi mereka adalah penting untuk kami menunjukkan semangat dan memberi mereka sedikit gangguan, sedikit harapan dan menunjukkan tentang diri kami, bola sepak adalah paling utama bagi kami, kerana kami menyukai permainan ini.”