Tuchel Mahu Chelsea Segera Muktamadkan Pembelian Pertahanan Dengan Nilai €90 Juta

Thomas Tuchel dilaporkan sudah menelefon pemain bek tengah RB Leipzig iaitu Josko Gvardiol. Tuchel memberitahu kelab bahawa dia terdesak untuk mempercepatkan perpindahan pemain itu.

Pada awal Ogos lalu, Tuchel dikatakan sudah bercakap dengan ayah Gvardiol dengan menyatakan kekagumannya ke atas pemain RB Leipzig itu.

Dia mahukan Gvardiol menyertainya di Chelsea.

Selepas berjaya mendapatkan Kalidou Koulibaly, Marc Cucurella dan juga Wesley Fofana di barisan pertahanan, pengendali asal Jerman itu masih tetap mahukan Josko Gavardiol.

Chelsea kini dilaporkan sedang ‘dalam perbincangan lanjut’ untuk menandatangani Josko Gvardiol dengan nilai perpindahan €90 juta untuk pemain muda Leipzig itu.

The Blues berharap untuk menyelesaikan perjanjian sebelum jendela perpindahan ditutup yang akan menyaksikan Thomas Tuchel mendapat salah satu sasaran utamanya.

Namun begitu, Leipzig dilaporkan hanya akan setuju menjual Gvardiol kepada Chelsea jika Chelsea membenarkan pemain itu terus kekal bersama mereka musim ini dan hanya akan menyertai Chelsea pada 2023 sebagai sebahagian daripada perjanjian dan bukannya menuju ke London terus.

Menurut Fabrizio Romano, Chelsea telah menawarkan €90 juta untuk bekas graduan akademi Dinamo Zagreb dan tawaran itu sedang dipertimbangkan oleh kelab Bundesliga itu.

Walaupun kedatangan Wesley Fofana dari Leicester bernilai €80 juta sudah dimeterai, namun kelab barat London itu bersedia untuk membuat satu lagi pelaburan besar dalam pertahanan mereka dengan meneruskan perjanjian untuk Gvardiol.

Tuchel telah menjadi peminat jangka panjang pemain berusia 20 tahun itu, yang boleh bermain sebagai bek tengah atau bek kiri sebelah kiri. Keserbabolehan Gvardiol ini dianggap sangat penting untuk Chelsea.

Pada masa yang sama Tuchel melihat Gvardiol sebagai pembelian untuk perancangan masa panjang kelab menggantikan pemain seperti Thiago Silva dan Azpilicueta yang sudah berusia.

Tuchel sebenarnya berminat untuk membawa masuk Gvardiol pada awal jendela perpindahan. Bagaimanapun, Leipzig menutup kemungkinan untuk melepaskannya pada jendela perpindahan kali ini.

Gvardiol juga telah menjelaskan bahawa dia akan gembira untuk kekal di Jerman. Namun difahamkan bahawa kelab telah berjanji secara peribadi dengan pemain itu bahawa mereka akan menjualnya pada masa yang akan datang jika ada tawaran yang baik tiba kepadanya terutama sekali dari kelab Liga Perdana Inggeris.

Ketika itu Chelsea dan Manchester City dikaitkan dengan Gvardiol. Tetapi City kelihatan sudah mengendurkan minat mereka ke atas Gvardiol kerana harga pemain itu.

Lagipun Chelsea dilihat berpeluang lebih cerah mendapatkan Gvardiol kerana mereka sanggup menerima syarat diletakkan Leipzig. Mirip kepada syarat perpindahan Christian Pulisic pada satu ketika dahulu. Di mana pemain itu terus dibenarkan bermain di Borussia Dortmund walaupun sudah rasmi diumumkan sebagai pemain  Chelsea pada 2019.

Todd Boehly mahu menunjukkan kepada kelab bahawa dia benar benar menyokong pengurus dalam usaha mendapatkan pemain yang dimahukan Tuchel.

Gvardiol adalah sasaran utama Tuchel sebelum ini.

Selain Gvardiol, Chelsea juga berharap akan dapat menyelesaikan perpindahan pemain tengah Ajax, Edson Alvarez dan juga Pierre Emerick Aubameyang dari Barcelona.