Tuchel Sound Lukaku: “Saya Tak Suka Dia Bising Tak Kena Tempat “

Thomas Tuchel jelas sekali tak gembira dengan kenyataan yang dibuat oleh Lukaku baru baru ini. Di mana Lukaku menceritakan banyak perkara yang menurut Tuchel sebagai tak perlu dan bising.

Antara perkara yang membuatkan penyokong Chelsea tidak gembira adalah apabila Lukaku menyatakan bahawa dia merasakan detik di Inter Milan sebagai detik terbaik dalam kariernya kerana dia sayangkan kelab itu.

Lukaku turut berterus terang menegaskan bahawa dia merancang untuk kembali semula ke Inter pada suatu hari nanti.

Seterusnya Lukaku turut bercerita tentang bagaimana beliau menolak tawaran Manchester City yang lebih besar dari Chelsea. Lukaku menyatakan bahawa dia mahu terus kekal di Inter kerana kelab itu mengeluarkannya dari detik sukar di Man United.

Dan paling mengejutkan adalah Lukaku menyatakan dia tak suka dengan situasi beliau di Chelsea ketika ini.

Dia seolah olah menyindir pengurusan Tuchel yang menyisihkannya dalam beberapa perlawanan walaupun dia sudah benar benar dalam kondisi terbaik.

“Dari segi fizikal, saya bagus. Namun saya tidak gembira dengan situasi di Chelsea. Tuchel memutuskan untuk bermain dengan sistem yang lain.”

“Tetapi saya tak akan mengalah. Saya seorang profesional. Saya tak suka dengan keadaan sekarang tapi saya seorang profesional. Dan saya tak boleh mengalah sekarang.”

Tuchel berterus terang mengatakan bahawa Lukaku membuat kenyataan yang tidak sepatutnya. Pada masa yang tidak sesuai.

Hal ini kerana kenyataan Lukaku akan memberikan implikasi negatif apabila ada pihak cuba membuat spekulasi daripada kenyataan itu.

Tuchel berkata: “Mari kita jujur sahaja. Saya tak sukakannya. Saya tak suka sebab itu akan membawa benda bising yang kita tak suka.”

“Sangat mudah untuk orang memanipulasi kenyataan itu di luar konteks. Dah tentu saya tak sukannya. Bunyi bising macam tu kami tak perlukan dan tidak membantu pasukan.”

Chelsea sekarang ini fokus kepada banyak perkara melibatkan isu Squad depth. Ramai pemain cedera dan kelab dilanda wabak.

Oleh itu, Lukaku tidak sepatutnya menambah lagi tekanan kepada kelab.

Baca juga: Inter Selamatkan Saya Daripada Situasi Teruk Di Manchester United

Romelu Lukaku menyatakan bahawa sebelum ini beliau mendapat banyak tawaran daripada kelab lain ketika di Inter Milan.

Di mana Lukaku menunjukkan prestasi terbaik dalam kariernya setakat ini di peringkat kelab. Membantu kelab itu menamatkan musim selaku juara Serie A.

Manchester City antara kelab yang pernah cuba mendapatkan Lukaku musim lalu. Namun beliau menolaknya kerana terhutang budi dengan Inter Milan.

Lukaku sebelum ini tidak terfikir bahawa beliau akan menyertai semula Chelsea. Kerana pernah dilepaskan oleh kelab itu ke Everton sebelum ini.

Ketika Chelsea menunjukkan minat ke atas beliau, Lukaku terus bertekad bahawa destinasi seterusnya beliau adalah Chelsea.

“Ada 3 team di tahap tertinggi, Barcelona, Real Madrid dan Bayern. Semua pemain berimpian mahu bermain untuk mereka. Itu hakikatnya. Saya sendiri pun terfikir mahu ke salah satu kelab tersebut selepas Inter.”

“Namun itu tak berlaku, macam yang saya cakap sebelum ini. Sebab saya hanya memikirkan sebuah kelab sahaja [untuk destinasi seterusnya] iaitu Chelsea.”

Selain itu, penyerang antarabangsa Belgium itu turut mendedahkan bahawa Manchester City cuba memancingnya dengan tawaran gaji lebih tinggi ketika dia di Inter.

Namun Lukaku terus kekal di Inter Milan. Lukaku menganggp Inter Milan sebagai penyelamat kepadanya ketika dia melalui  detik yang teruk di Manchester United.

“Pada musim panas 2020, saya menolak tawaran daripada Manchester City. Mereka menawarkan gaji lebih tinggi daripada yang Chelsea tawarkan. Saya menolak tawaran itu kerana saya tak boleh meninggalkan Inter Milan hanya selepas setahun sahaja. Ianya [Inter Milan] adalah kelab yang menyelamatkan karier saya ketika saya berasa teruk di Manchester United.”

Lukaku seterusnya mengiktiraf detik beliau di Inter Milan adalah detik terbaik di dalam kariernya.

“Saya sentiasa memikirkan tentang Milano, Milano, Milano… Penyokong Inter adalah yang terbaik di dunia. Saya sukakan bandar Milan. Dan detik terbaik di dalam karier saya adalah ketika di Inter. Saya dah jatuh cinta dengan Itali. Inter sentiasa ada di dalam hati saya.”

Malangnya Lukaku terpaksa meninggalkan Inter Milan selepas kelab tersebut bergelut dengan masalah kewangan. Di mana Inter meminta Conte menjual beberapa bintang mereka untuk mengurangkan beban hutang mereka.

“Jika mereka tiada masalah kewangan mengekalkan pemain pemain bintang, saya akan 100% kekal di Inter Milan. Tak perlu berbincang lagi. Kemudian, Conte pergi, diikuti Hakimi, kelab kemudian diramalkan dalam masalah.”

Lukaku mengakui bahawa beliau tidak terfikir langsung untuk meninggalkan Inter Milan pada awalnya. Lukaku juga sangat selesa dengan Simone Inzaghi yang mengambil alih jawatan pengurus.

Jika Inter ketika itu menawarkan Lukaku kontrak, beliau akan setuju.

“Musim panas lalu, saya langsung tak terfikir akan ke Chelsea sehinggalah mereka benar benar memberikan tawaran. Simone benar benar baik dengan saya.”

Wartawan bertanya sama ada Lukaku akan melanjutkan kontrak jika ditawarkan ketika itu.

Lukaku berkata: “Ya!”

Lukaku menambah, sangat sukar untuk menolak tawaran kembali semula ke EPL. Lebih lebih lagi sudah 8 tahun beliau bermain di sana tanpa pernah merasai kejuaraan.

“Ketika Chelsea menghubungi saya, ianya satu cabaran buat saya. Saya juga agak ternganggu kerana tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan EPL sepanjang 8 tahun di sana.”

“Sukar nak menolak tawaran untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris dan tawaran dari kelab yang saya sokong sejak dari kecil.”

Lukaku menjadi pemain yang dikehendaki Antonio Conte untuk menguatkan lagi serangan beliau.