Tunisia Berisiko Disingkirkan Dari Piala Dunia Kerana Campur Tangan Politik

Tunisia adalah negara terbaharu yang berisiko dilarang menyertai Piala Dunia di Qatar akan datang.

Pasukan Afrika itu, yang kini menduduki tempat ke-27 dunia oleh FIFA, telah diundi bersama Australia, Denmark dan juara bertahan Perancis, dalam Kumpulan D.

Tetapi mereka kini berisiko dilucutkan tempat dalam kejohanan itu jika gagal dalam surat tunjuk sebab mereka seperti yang diminta oleh FIFA.

FIFA telah memberikan amaran kepada Tunisia bahawa mereka boleh dikecualikan jika kerajaan negara itu campur tangan dalam hal bola sepak, menurut laporan oleh BBC.

Peraturan FIFA menyatakan bahawa ahlinya mesti bebas daripada campur tangan undang-undang dan politik.

Amaran daripada badan induk bola sepak dunia itu dibuat selepas Menteri Belia dan Sukan Tunisia, Kamel Deguiche, berulang kali bercakap tentang kemungkinan “membubarkan biro persekutuan”.

Komen beliau telah ditafsirkan oleh FIFA sebagai cubaan mencampuri urusan persekutuan bola sepak negara (FTF).

FIFA dilaporkan telah meminta FTF untuk “penjelasan mengenai percubaan untuk campur tangan dalam hal ehwal dalamannya” dan mengingatkan badan pentadbir itu bahawa persatuan ahlinya “wajib di sisi undang-undang untuk menjalankan urusan mereka secara bebas dan tanpa pengaruh yang tidak wajar daripada pihak ketiga”.

FIFA telah memberikan FTF selewat-lewatnya pada hari Jumaat untuk mengeluarkan jawapannya atau berdepan kemungkinan larangan yang boleh menyebabkan pasukan kebangsaan lelaki itu terkeluar daripada Piala Dunia.

Zimbabwe dan Kenya sedang menjalani penggantungan yang diberikan oleh FIFA berhubung campur tangan kerajaan dalam bola sepak.

Sementara itu, India juga diharamkan pada Ogos kerana “pengaruh tidak wajar daripada pihak ketiga”, walaupun penggantungan itu kemudiannya ditarik balik.

Pasukan Tunisia bukan satu-satunya pasukan yang berisiko digantung daripada kejohanan itu.

Terdapat juga gesaan agar FIFA melucutkan tempat Iran di Qatar kerana rekod hak asasi manusia yang lemah dan sokongannya terhadap Rusia dalam pencerobohan berterusan ke atas Ukraine dan isu hak asasi manusia.

Jadi, persoalannya kini, jika Tunisia benar benar disingkirkan, pasukan manakah yang akan diberikan tempat menggantikan mereka?

Baca yang lain