Ucapan Persaraan Mandzukic Versi ‘Time Travel’, Bercakap Dengan Dirinya Pada Masa Lalu

Bekas penyerang Juventus, Bayern dan AC Milan, Mario Mandzukic telah memutuskan untuk bersara sebagai pemain bola sepak profesional. Keputusan itu diumumkan oleh Mandzukic di akaun Instagram peribadinya.

Beliau menulis status tersebut dengan memuat naik gambar kasut bola pertama beliau. Ucapan persaraan Mandzukic sangat unik. Kerana dia mengibaratkan dirinya sedang bercakap dan menulis warkah kepada diri dia sendiri di masa lalu, ketika seorang budak masih kecil yang baru mendapat kasut bola pertamanya.

Mandzukic berpesan kepada budak kecil itu bahawa dia akan menempuhi pengalaman luar biasa sebaik sahaja dia menyarungkan kasut itu.

Selain itu Mandzukic juga mengingatkan budak tersebut bahawa dia akan ditemani dan disokong oleh orang orang yang sangat baik di sepanjang perjalanan kariernya.

“Mario kecil yang dikasihi, apabila kamu memakai kasut ini untuk pertama kalinya, kamu tidak dapat membayangkan apa yang akan kamu alami dalam dunia bola sepak,”

“Kamu nanti akan menjaringkan gol di tahap yang paling penting, dan kamu akan memenangi piala terbesar dengan kelab terbesar. Dengan bangga mewakili negara kamu.”

“Kamu akan menyumbang dalam menulis catatan sejarah sukan Croatia,” tambah beliau lagi merujuk kepada kejayaan Croatia sehingga berjaya mara ke final Piala Dunia 2018.

“Kamu akan berjaya kerana anda akan mempunyai orang baik di sekeliling kamu: rakan sepasukan, jurulatih, penyokong dan ahli keluarga, ejen dan rakan yang akan sentiasa ada untuk kamu.”

Mario Mandzukic adalah salah seorang penyerang terbaik pada eranya. Beliau memulakan kerjaya profesionalnya dengan kelab Croatia, Marsonia pada musim 2004/2005.

Prestasi luar biasa Mandzukic membuatkan beliau ditandatangani kelab NK Zagreb dari 2005 hingga 2007, Dinamo Zagreb dari 2007 hingga 2010.

Namanya mulai mendadak naik ketika menyertai VfL Wolfsburg dari 2010 hingga 2012. Di mana beliau menjadi salah seorang penyerang terbaik Bundesliga ketika itu.

Dan seperti biasa, penyerang terbaik Bundesliga biasanya akan ke Bayern. Beliau menyertai Bayern pada 2012. Seterusnya pergi ke Atletico pada 2014, Juvents pada 2015 dan Al Duhail pada 2019.

Kelab terakhir beliau adalah AC Milan. Walaupun tak banyak aksi.

Sepanjang kariernya di peringkat kelab, Mario Mandzukic berjaya telah menjaringkan 228 gol dari 582 penampilan di semua pertandingan. Dia juga berjaya menjulang 23 piala selama 17 musim bermain untuk sembilan kelab berbeza.

Menjadikan beliau sebagai salah seorang pemain Croatia paling berjaya dalam sejarah.

Di peringkat antarabangsa, Mario Mandzukic juga merupakan pemain penting dalam barisan serangan pasukan kebangsaan Croatia.

Melakukan debut antarabangsa pada 2007 sehinggalah aksi terakhirnya bersama Croatia pada 2018. Beliau menjaringkan 33 gol daripada 89 penampilan.

Membantu Croatia menamatkan saingan Piala Dunia di pentas final 2018. Pencapaian tertinggi dalam sejarah negara mereka. Croatia kalah di tangan Perancis ketika itu.

Mario Mandzukic merasakan sudah tiba masanya untuk beliau berehat dan bersara.

Mandzukic mengucapkan terima kasih kepada kesemua mereka yang pernah membantunya serta hadir sepanjang hidupnya sebagai pemain bola sepak.

Akhir sekali Mandzukic berpesan kepada budak tersebut untuk meletakkan kembali kasut pertama itu di almari apabila segalanya sudah selesai. Dan itulah dirinya pada masa kini.

Mandzukic menyambung: “Kamu akan sentiasa berterima kasih kepada mereka semua! Yang paling penting, kamu akan berjaya kerana kamu akan sentiasa memberikan segalanya.”

“Dan akhirnya, inilah yang paling kamu banggakan. Kamu akan banyak berkorban, tetapi kamu akan tahu ia berbaloi kerana semua momen yang mengagumkan di hadapan kamu.”

“Kamu akan tahu bila tiba masanya untuk bersara, untuk meletakkan semula kasut ini almari dan anda tidak akan pernah menyesal. “