Ucapan Raya Chong Wei Yang Menyentuh Hati Rakyat Malaysia

Datuk Lee Chong Wei dikenali dengan post di Facebooknya yang kerapkali menarik perhatian. Ini kerana beliau seorang yang sangat meraikan perbezaan dan perpaduan.

Beliau antara ikon sukan dan juga perpaduan rakyat Malaysia.

Semalam Datuk Lee Chong Wei memuat naik ucapan Selamat Hari Raya yang menyentuh hati ramai rakyat Malaysia.

Di dalamnya terkandung mesej yang agak emosional dan perkongsian kegembiraan Datuk Lee Chong Wei setiap kali Raya.

Beliau juga meminta kesemua rakyat Malaysia yang meraikan Hari Raya untuk bersabar, beraya dengan normal baharu. Kerana pasti ada hikmah selepas ini di sebalik semua itu.

Berikut hantaran beliau:

Sabar dan pasti ada hikmahnya

Walaupun saya bukan beragama Islam dan tidak berpuasa, tapi saya rasa Hari Raya memang hari yang dinanti-nantikan oleh semua warganegara.

Time sekolah baru start penggal, cikgu akan terangkan cuti-cuti perayaan dan cuti semester tahun tu.

Budak-budak hafal terus tarikh Hari Raya, Tahun Baru Cina, Hari Gawai, Keamatan, Deepavali dan Christmas. Tarikh-tarikh tulah yg ada chan dibawa ibu bapa pi jalan.

Masih ingat zaman kecil-kecil, time Raya mak bapa akan bawa pi open house saudara beragama Islam dan rumah jiran-jiran Melayu.

First house tu tak kisah rumah siapa, confirm ada rendang ayam, serunding, sambal sotong dan ketupat.

Bestnya. Ada lagi Kuih batik! Aduhai, kluar air liur terpikir…

Then petang-petang, ikut jiran Melayu main mercun. I ingat mercun Cina power, pergh melompat I tgk meriam mercun dia.

Dia kata meriam dia mesti kena power sebab nak jaga maruah kampung kita! Memang seronok. Itu time dulu ya kekawan, budak-budak skarang jgn main mercun, bahaya!

Time masuk sekolah sukan, time Raya kantin akan sediakan hidangan raya special. Rombongan ramai-ramai berbaju raya serbu open house jurulatih.

Itu semua kenangan terindah.

I ingat masa saya belasan tahun, ada selisih faham dengan pemain Indonesia seorang.

Tak sure saper betol saper salah, tapi jumpa jer di gelanggang, pandang panas jer kita dua, memang tak puas hati. Tiba time raya, teammate nasihat I hantar mesej raya kepada dia.

Saya pun mesej, “Selamat Hari Raya. Macam sukan badminton, kita restart kosong-kosong pak. Maaf zahir dan batin”. Dari saat itu sampailah sekarang, kami masih berkawan baik.

Kawan-kawan semua, saya faham semua berasa sedih sebab Raya kali ini mungkin terjejas disebabkan coronavirus. Saya hanya boleh menasihatkan semua agar bersabar.

Kesabaran tahun ini bakal dibalas dengan kenikmatan perayaan hari raya tahun-tahun kelak untuk anak-cucu kita, sepertimana kamu menikmati suasana raya time dulu-dulu.

Saya, Mew Choo dan dua anak lelaki ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumpul sepuluh jari, meminta ampun serta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang meraikannya. Seperti sukan badminton, kita restart ya…. Kosong-kosong.