United Berdepan Kehilangan Khidmat Onana Untuk Sebulan Kerana Dia Sudah U-Turn

Sebelum ini Andre Onana sudah mengumumkan persaraannya daripada peringkat antarabangsa. Ianya selepas dia tidak sehaluan dengan pengurus Cameroon ketika Piala Dunia 2022.

Song tidak selesa dengan gaya permainan Onana yang tidak mengikuti arahan taktikalnya. Onana kemudian membidas taktikal Song sebagai bacul dan tidak cukup berani.

Onana kemudian diberikan amaran agar mengubah cara permainannya. Dan Onana membantah.

Lalu Adre Onana meninggalkan kem pasukannya di Qatar kerana benar benar kecewa dengan Rigobert Song tidak menyenaraikannya lagi dalam pasukan utama untuk aksi berikutnya.

Dilaporkan perbalahan mereka memang tegang. Cuma tak sampai bertumbuk je. Song mahukan Onana menghormati taktikal pasukan yang dimahukannya.

Antaranya, dia meminta Onana terus melakukan hantaran panjang ke pemain di atas berbanding dengan hantaran pendek ke pemain pertahanan.

Onana pula penjaga gol dengan falsafah taktikal moden. Suka mengekalkan bola dan bertukar hantaran dengan rakan rakannya di bawah. Selain itu Onana juga gemar untuk keluar awal bagi membantu pertahanan.

Corak permainan itu tak digemari oleh Song. Maka Song meminta penjaga gol itu menukar cara permainannya atau dia akan disisihkan.

Onana berkeras bahawa dia tak mahu menukar cara dia bermain. Dan akhirnya, dalam aksi antara Cameroon dan Korea Selatan, nama Onana disisihkan. Dia diberitahu bahawa dia bukan lagi pemain utama atau pilihan kedua.

Onana tidak mahu banyak cakap. Dia terus beredar dan meninggalkan kem Cameroon lebih awal.

FA Cameroon turut mengeluarkan kenyataan mengesahkan bahawa Onana dikeluarkan daripada tugasan pasukan untuk aksi kedua peringkat kumpulan. Dan mereka menyatakan sokongan kepada Rigobert Song.

Ramai berpendapat bahawa Onana selepas ini tidak akan bermain untuk Cameroon lagi selagi lagi Rigobert Song menjadi pengurus.

Onana mengesahkan bahawa dia tak akan kembali lagi ke kem Cameroon walau apa yang berlaku.

Dalam aksi antara Serbia dan Cameroon, kedua dua pasukan terikat 3-3.

Ada segelintir peminat Ghana percaya, jika Onana berada di gawang gol, mereka akan menang.

Peminat berbelah bahagi tentang konflik Onana dan Song. Ada yang mempertahankan Song dan meminta Onana bermain mengikut kehendak jurulatih.

Cameroon kemudian kalah 1-0 di tangan Brazil namun ramai peminat memuji taktikal Song pada masa itu.

Onana bersara wakili Cameroon

Selepas tamat Piala Dunia, Onana mengumumkan dia bersara dari peringkat antarabangsa dan dia akan menumpukan perhatian kepada kariernya di kelab.

Dan menyatakan dia akan terus menjadi penyokong setia Cameroon.

U turn dan kesan kepada United

Dan beberapa minggu lalu Onana telah mengadakan perbincangan dengan Rigobert Song. Kedua duanya setuju untuk berbaik. Onana kemudian menarik semula persaraannya dan kembali ke pasukan kebangsaan.

Dia membantu Cameroon menang 3-0 ke atas Burundi pada aksi pertamanya selepas keluar dari persaraan.

Onana kini menjadi pemain penting Song untuk menghadapi kempen Piala AFCON akan datang. Dan bermakna Man United akan kehilangan khidmatnya kira kira sebulan.

Erik Ten Hag dilaporkan sudah berbincang dengan Onana bagi membincangkan tentang keputusan pemain mewakili Cameroon dalam Piala Afrika pada Januari hadapan di Ivory Coast.

Ten Hag mahu Onana mempertimbangkan sebaik baiknya keputusannya. Kerana kelab akan kehilangan khidmat pemain berusia 27 tahun itu sehingga 9 perlawanan. Jika United terpaksa beraksi dalam timbal balik bagi aksi Piala Domestik Inggeris (Piala FA dan Piala Carabao). 4 aksi Liga Perdana Inggeris dan 1 aksi kalah mati UCL – dalam jadual Januari yang sangat padat.

Sebelum rehat antarabangsa, Ten Hag sudah maklum tentang potensi Onana akan beraksi di Piala AFCON selepas pemain itu memutuskan untuk keluar daripada persaraan antarabangsa.

Ten Hag berkata: “Saya tahu semua tentang itu. Dan sudah tentunya saya dan dia sudah membincangkannya. Kami di kelab ini ada hubungan yang baik dengan Andre dan di pihak yang sama. Kami tahu kami harus melakukan sesuatu untuk mengisi kekosongan ditinggalkannya dan melakukan perubahan jika perlu.”

Onana akan mengesahkan sama ada dia akan beraksi di Piala AFCON dalam masa terdekat. Apa yang pasti kelihatan Onana akan ke sana.

Baca yang lain