United Hubungi Ejen Sancho, Dortmund Beri Lampu Hijau

Borussia Dortmund memberikan lampu hijau kepada Manchester United, jika kelab itu benar-benar mahu mendapatkan Jadon Sancho.

Sebelum ini, CEO Borussia Dortmund, Hans-Joachim Watzke menyatakan bahawa, mereka akan menghormati kehendak pemain seperti Sancho, jika beliau mahu pergi ke kelab lain.

Watzke mengakui sudah bercakap dengan Jadon Sancho berhubung dengan masa depan pemain tersebut.

Kalau boleh nak Sancho kekal

Beliau menyatakan, Borussia Dortmund memang nak pemain itu terus kekal bersama dengan mereka.

“Walaupun sebelum serangan wabak koronavirus, kami sudah memberitahu bahawa kami mahu Jadon kekal bersama kami.”

“Namun pada akhirnya, kamu haruslah menghormati kehendak pemain.”

Watzke menolak teori bahawa, Borussia Dortmund panik mahu menjual Jadon Sancho kerana krisis koronavirus yang membuatkan kelab mereka terkena impak dari segi ekonomi.

“Saya nak jelaskan bahawa, walaupun sekaya mana kelab itu, mereka akan bermasalah juga ketika krisis ini. Dan ini bukan bermakna kami mahu melepaskan Jadon Sancho dengan harga lelong.”

“Kami tak akan menjual pemain kami di bawah nilai sebenar mereka.”

Jadon Sancho musim ini menjaringkan 17 gol dan 16 assist dalam 35 penampilan musim ini. Kontrak semasa beliau akan tamat pada 2022.

Berapakah tanda harga Sancho?

Semalam Fabrizio Romano mendedahkan bahawa, Borussia Dortmund meletakkan tanda harga minima €110 juta ataupun sekitar £98 juta.

Mereka tidak akan menjual pemain itu di bawah nilai minima itu.

Sumber yang sama menyatakan bahawa Man United sudah menghubungi ejen kepada Jadon Sancho.

Namun masih belum ada bidaan rassmi dibuat.

Fabrizio Romano mendedahkan perbincangan ini tidak semudah yang disangka. Ianya akan menjadi perbincangan yang panjang.

Persaingan untuk mendapatkan tandatangan Sancho

Selain itu, Man United juga berhadapan dengan pesaing lain untuk mendapatkan pemain ini.

Chelsea dan bekas kelab lama Jadon Sancho iaitu Man City juga berminat untuk mendapatkan semula pemain kebangsaan England itu.

Chelsea mahu menjadikan Sancho sebagai pemain utama mereka untuk pelan jangka panjang.

Sementara itu Man City mahu menggantikan Leroy Sane yang dijangka akan pulang semula ke Jerman, menyertai Bayern Munich.

Berdasarkan situasi semasa ini, harga Jadon Sancho pastinya akan melonjak naik kerana ada persaingan yang kuat daripada beberapa kelab.

Jadon Sancho merupakan pemain penyerang sayap yang efektif bermain di kanan dan kiri.

Beliau juga boleh bermain sebagai no.10 dan false no.9. Versatiliti yang ada pada Sancho membuatkan beliau menjadi rebutan.

Beliau pemain yang kreatif dan pada masa yang sama memiliki kemampuan menjaringkan gol yang baik.

Selain itu usianya yang masih muda juga menjadi faktor penting kepada nilai pasaran pemain ini.

Borussia Dortmund dilaporkan sudah bersedia untuk kehilangan pemain itu dan sudah mulai memburu beberapa nama pemain lain.

Baca yang lain