United Tak Lanjutkan Kontrak Varane Kerana Ten Hag Tak Puas Hati Dengan Prestasinya

Kerjasama antara Manchester United dan Raphael Varane nampaknya bakal berakhir pada penghujung musim ini.  Ini selepas Manchester United dilaporkan tidak mahu mengaktifkan pilihan lanjutan kontrak Varane.

Pemain pertahanan tengah Perancis itu memasuki enam bulan terakhir kontraknya. Dalam perjanjian itu terdapat klausa di mana Man United boleh menyambung kontrak Varane secara automatik untuk setahun lagi, tetapi ia tidak diambil sehingga tarikh akhir 1 Januari 2024.

Ini bermakna Varane boleh bercakap secara bebas dengan mana-mana kelab mulai hari ini mengenai perpindahan pada jendela musim panas.

Menurut laporan Daily Mail eksklusif, keengganan Man United untuk mengaktifkan pilihan dalam kontrak Varane adalah disebabkan prestasi pemain yang tidak memuaskan Erik Ten Hag.

Seperti yang diketahui, Varane memperoleh pendapatan £340 ribu seminggu, namun sering berada di bilik rawatan akibat kecederaan. Dia merupakan antara penerima gaji tertinggi di kelab itu selain Jadon Sancho.

Pemain berusia 30 tahun itu telah direkodkan terlepas lebih 30 perlawanan Man United sejak ditandatangani dari Real Madrid pada musim panas 2021.

Musim lalu dia mengumumkan persaraan antarabangsa kerana kecewa dengan jadual antarabangsa yang terlalu padat. Dia mahu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kelab.

Namun Varane masih bergelut dengan kecederaan dan kecergasan. Pada musim ini sahaja, Raphael Varane telah terlepas tujuh perlawanan untuk United. Dia hanya bermain dalam 16 perlawanan dalam semua pertandingan setakat ini pada musim ini.

Jadi jika Manchester United mengaktifkan pilihan lanjutan setahun pada kontrak Varane, pemain itu masih akan menerima gaji yang sama. Sebaliknya, Man United cuba mengurangkan gaji pemain bintangnya bagi meningkatkan bajet untuk merekrut pemain baharu dalam pasaran musim panas akan datang.

Ini juga dikaitkan dengan dasar yang dibawa Sir Jim Ratcliffe yang tidak bersetuju dengan beberapa pembelian Man United sebelum ini yang dianggap tidak memberikan manfaat kepada kelab untuk jangka masa panjang. Pemain seperti Varane, Casemiro antara pemain yang dianggap sudah terlalu berusia untuk dibeli.

Selain itu, Manchester United juga mahu memastikan akaun FFP mereka tiada masalah pada musim akan datang. Terutama sekali jika kelab mereka gagal ke UCL.

Varane musim ini pernah dikatakan tidak berpuas hati dengan Erik Ten Hag kerana meletakkannya di bangku simpanan dan berterusan menurunkan Harry Maguire.

Ten Hag kemudian terbuka menyatakan di Man United, dia memilih pemain berdasarkan prestasi. Dan pada masa itu Ten Hag berterus terang berkata: “Kami menurunkan pemain yang terbaik untuk sesuatu posisi. Jelas sekali pada masa ini Harry Maguire adalah yang lebih baik di situ.”