Valbuena: “Adalah Tidak Adil Untuk Saya Kata Benzema Tak Layak Menang Ballon D’Or”

Tahun lalu Benzema sah kembali semula ke dalam pasukan kebangsaan Perancis selepas bertahun tahun dibekukan namanya kerana skandal pemerasan rakan baik sendiri – Valbuena.

Kehadiran Benzema disambut gembira peminat Perancis di mana jualan jersi Perancis meningkat naik dengan mendadak.

Bekas pemain Lyon itu pernah didakwa kerana kesalahan video lucah dan juga memeras ugut rakan sepasukannya. Sebelum ini Benzema pernah menyatakan dia sudah berputus asa untuk mengharapkan namanya dipanggil semula, namun sentiasa menyimpan hasrat tersebut.

RMC meminta pandangan Valbuena tentang panggilan kebangsaan melibatkan Benzema. Dan pemain itu menyatakan dia tidak ada masalah kerana percaya jurulatih Perancis sudah memilih pemain yang dirasakan tepat.

“Jika Benzema dapat memberikan impak lebih besar kepada pasukan Perancis, itu cukup bagus untuk dia. Namun itu akan diketahui ketika dia beraksi kelak.”

“Itu pilihan coach. Bagi saya, Didier Deschamps adalah pemenang di sini, alam apa jua keadaan. Jika pasukan Perancis ini berjaya beraksi cemerlang, kita akan cakap dia mampu menyerasikan diri dengan baik dan jika pasukan ini gagal, kita tak boleh salahkan dia.”

“Dia tahu apa yang diperlukan untuk memilih pemain. Didier sangat bijak tentangnya.”

Cuma, Valbuena kemudian menunjukkan kekecewaannya tentang kekurangan komunikasi antara Deschamps walaupun dia beraksi cemerlang dalam beberapa musim yang lalu.

Tetapi Valbuena menyatakan dalam perkara ini, Deschamps sentiasa menjadi pemenang kerana dia ada kuasa memilih siapa sahaja dia mahu. Dan dia menyangkal dakwaan bahawa dia kecewa kerana Deschamps tidak menghubunginya untuk memberitahu bahawa dia memanggil Benzema.

“Adakah dia ada call saya untuk memberitahu bahawa dia memutuskan untuk memanggil Benzema? Tidak! Saya tidak meminta sesuatu seperti itu pun dari Didier ataupun sesiapa sahaja.”

“Hari ini saya membina hidup saya dan berseronok atas padang. Saya tak ada komen lagi tentang perkara itu.”

Valbuena jelas sekali tidak ada masalah dengan panggilan untuk Benzema, namun beliau agak terkilan kerana namanya terus disisihkan. Kerana dalam beberapa tahun ini ada beberapa pemain yang kurang minit perlawanan di kelab masih dipanggil bermain.

“Pada 2016, Didier menghubungi saya bahawa saya tidak dibawa ke Euro 2016 atas alasan kesukanan semata mata, saya sentiasa bersedia untuk disisihkan atas faktor kesukanan.”

“Pasukan Perancis ini ada sesuatu sangat istimewa. Dan mereka sangat menerima saya. Apabila kamu pernah mewakili negara kamu, amat sukar menerima keputusan seperti itu.”

“Apabila kamu melihat pemain pemain pada hari ini yang dipanggil dan mereka bermain sangat sedikit minit di kelab. Kamu harus memberitahu ada peraturan berbeza untuk setiap pemain.”

“Jangan kata ianya atas alasan kesukanan. Itu yang menyakitkan saya dan membuatkan saya kecewa. Namun kita harus melupakannya untuk perkara lain.”

Seterusnya pada tahun ini, Valbuena diminta memberikan pandangannya tentang nama Benzema yang dianggap sebagai calon utama untuk memenangi Ballon d’Or.

Valbuena sokong Benzema menang Ballon d’Or

Pemain Olympiacos itu berkata adalah tidak adil untuk tidak mengakui bahawa Benzema sememangnya layak menjadi pemenang Ballon d’Or 2022.

Pemain berusia 37 tahun itu berkata: “Adalah tidak adil untuk saya kata bahawa dia tak layak memenangi Ballon d’Or. Saya boleh menyokong secara objektif dari segi kesukanan. Saya pun baik baik sahaja di sini, tiada masalah.”

Prestasi individu Benzema pada musim ini terutama sekali dalam UCL telah menguatkan lagi namanya sebagai calon pilihan untuk memenangi Ballon D’Or. Pemain seperti Lionel Messi sendiri mengakui bahawa Benzema adalah calon paling layak.

Benzema menunjukkan kehebatannya dengan mencapai prestasi kemuncak selepas pemergian Cristiano Ronaldo pada 2018 dari Real Madrid. Di mana dia perlu mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain itu dalam menjadi penggempur 30-40 gol semusim.

Dia sudah menunjukkan prestasi terbaiknya dalam beberapa musim kebelakangan ini. Dan prestasinya dalam UCL sangat luar biasa. Dia menjaringkan 10 gol dalam pusingan kalah mati menyamai rekod Cristiano Ronaldo untuk gol kalah mati terbanyak dalam semusim UCL.

Benzema menjadi nadi penting Real Madrid memenangi La Liga ke-34 dan UCL ke-14 mereka.

Bekas pemain Lyon itu memenangi Kasut Emas Pertandingan dalam dua pertandingan tersebut, memecahkan rekod 40 gol buat pertama kalinya dalam kariernya.