Varane Jumpa Ten Hag Kerana Tidak Puas Hati Panaskan Bangku Simpanan

Raphael Varane dilaporkan tidak gembira kerana sekadar memanaskan bangku simpanan Man United walaupun dia suda kembali cergas.

Hubungan Varane dan Ten Hag pada masa ini dilaporkan tidak begitu bagus. Kerana pemain itu tidak gembira dengan layanan pengurus itu ke atasnya musim ini.

Pemain veteran itu dikatakan terus berjumpa dengan Erik Ten Hag dan membincangkan kedudukannya dalam projek Red Devils pada masa ini – menurut laporan Sky sports.

Pemain berusia 30 tahun itu dibeli dari Real Madrid dengan nilai £41 juta dan menjadi gandingan utama bersama Lisandro Martinez pada musim lalu.

Namun awal musim ini dia mengalami kecederaan. Dan tempat mereka berdua diisi oleh Harry Maguire dan Jonny Evans.

Pemain veteran berusia 35 tahun, Jonny Evans sudah dipilih sebanyak 3 kali sebagai pemain kesebelasan utama daripada 5 perlawanan terakhir. Itu antara sebab kenapa Varane mulai mempersoalkan kedudukannya dalam skuad United pada masa ini. Sedangkan dia sudah kembali cergas.

Satu lagi tempat diisi oleh Harry Maguire yang berada dalam prestasi luar biasa dalam beberapa perlawanan terakhir.

Varane, juara dunia bersama Perancis dan juara UCL 4 kali bersama Real Madrid, gagal untuk meyakinkan Ten Hag pada masa ini. Layanan yang sama diterima oleh Harry Maguire sebelum ini. Di mana pemain itu terpaksa mengalah kepada Luke Shaw yang dipilih sebagai bek tengah walaupun Maguire tersedia.

Keraguan Ten Hag tentang prestasi Varane juga dikatakan menjadi semakin rumit apabila pemain itu melakukan kesilapan di pertahanan pada minit akhir dalam aksi UCL terakhir mereka sebelum ini menentang FC Copenhagen.

Pemain itu dilihat merasai impak apabila pengurus meragui prestasinya. Dia melakukan beberapa kesilapan yang dianggap tidak menggambarkan dirinya sebenar. Isu keyakinan diri mulai menyelubungi pemain itu.

Seterusnya, Ten Hag dikatakan sedia mencari bek tengah baharu untuk menggantikan Varane kerana tidak gembira dengan situasi kecergasan pemain itu. Di mana Varane seringkali dilanda kecederaan.

Sedangkan Ten Hag mahukan gandingan yang konsisten untuk bermain bersama Lisandro Martinez. Pemain Argentina itu ketika ini berehat kerana kecederaan. Namun apabila dia cergas kembali dia kelihatan akan kembali menjadi pemain utama di bek tengah.

Sejak menyertai United pada Ogos 2021, pemain itu hanya bermain 74 perlawanan daripada potensi 128 perlawanan yang tersedia. Dia terlepas 54 perlawanan, sebab utamanya adalah masalah kecergasan. Sebagai perbandingan Bruno Fernandes bermain 121 daripada 128 perlawanan terakhir mereka.

Musim lalu dia mengumumkan persaraan antarabangsa kerana mahu fokus sepenuhnya kepada aksi kelab. Menurut Varane, dia sudah tak larat bermain terlalu banyak perlawanan.

Sambil mahu UEFA dan FIFA mengambil kira isu kesihatan fizikal dan mental pemain dalam kalendar bola sepak mereka.

Merasakan dirinya semakin disisihkan, Raphael Varane tampil dengan berani berjumpa sendiri dengan Ten Hag. Pertemuan itu juga bakal menyaksikan Varane mungkin akan meninggalkan United pada musim panas akan datang jika ada tawaran dari kelab lain untuknya.

Apa yang pasti ketika ini, pemain itu dilihat tidak merancang untuk melanjutkan kontraknya di Old Trafford.

Erik Ten Hag dalam sidang medianya minggu ini menjelaskan bahawa Varane bukan pilihan utama pada masa ini. Kerana prestasi Harry Maguire lebih baik daripada pemain itu.