Jurgen Klopp berkata: “Kotak Pandora sudah dibuka” apabila pemain baharu Liverpool, Darwin Nunez menjaringkan empat gol dalam aksi persahabatan membelasah RB Leipzig 5-0 pada awal pagi Jumaat waktu Malaysia.
The Reds membawa penyerang Nunez ke Anfield dari Benfica bulan lalu dengan bayaran perpindahan yang boleh meningkat kepada rekod perpindahan kelab €100 juta – termasuk bonus.
Pemain Uruguay itu, yang menjaringkan 34 gol musim lalu dalam semua pertandingan, telah dikritik oleh beberapa penyokong selepas gagal menjaringkan gol dalam perlawanan pramusim pertama Liverpool menentang Manchester United dan Crystal Palace.
Tetapi dia masuk pada separuh masa menentang Leipzig di Jerman dengan Liverpool mendahului 1-0 hasil jaringan Mohamed Salah dan menjaringkan penalti sebelum menjaringkan tiga lagi gol selepas itu.
Klopp menghargai apa yang dilakukan Mo Salah yang memberikan penalti kepada Nunez. Ini kerana Salah tahu pemain itu lebih memerlukan gol berbanding dia.
Nunez berdepan dengan isu hilang sedikit motivasi dan perlu mencari motivasi baharu. Gol pertama sentiasa menjadi segalanya buat penyerang yang berkelana ke tempat baharu.
Klopp berkata: “Mo [Salah] memberikan penalti kepada Darwin dan Darwin, kotak Pandora terbuka,” kata Klopp kepada liverpoolfc.com.
“Itu sudah tentu malam yang sempurna untuknya.”
“Kami sentiasa berfikir bahawa jika anda membayar banyak wang maka pemain tidak perlu merasakan tekanan atau apa sahaja.”
“Mereka semua adalah manusia biasa dan kadangkala sentuhan pertama tidak sempurna kemudian tiba-tiba… Generasi pemain ini membaca [komen] di media sosial, yang sebenarnya bukan tindakan bijak, tetapi mereka melakukannya.”
“Tiba-tiba anda tergesa-gesa [menghentamnya] dan perkara-perkara seperti ini. Itulah cara terbaik untuk menghentikan semua perbincangan ini buat masa ini.”
Liverpool, yang memenangi kejuaraan Piala FA dan Piala Liga musim lalu tetapi menamatkan saingan sebagai naib juara Liga Perdana dan Liga Juara-Juara Eropah, akan berdepan Manchester City dalam acara pembukaan Perisai Komuniti hujung minggu depan.
Nunez yang berusia 23 tahun sudah tentunya dijangka akan menjadi ahli penting dalam skuad Klopp selepas pemergian Sadio Mane ke Bayern Munich.
“Saya rasa semua orang sangat gembira untuknya dan sedang mencari dia [di bilik persalinan],” kata bek tengah Joel Matip.
“Penyudah yang hebat, kelajuan yang hebat dan badan yang sentiasa dia letakkan di tempat yang tepat –- saya fikir ia akan menjadi sangat sukar untuk lawan kami.”
Saksikan kesemua gol Nunez di sini: