Prestasi Ronaldo Nazario bersama Inter Milan kerapkali dianggap yang terbaik di dalam karier beliau secara individu di pentas Eropah.
Namun agak menyedihkan kerana kecederaan lutut yang mengerikan yang dialami oleh legenda Brazil itu membuatkan beliau terbatas untuk memberikan aksi lebih dominan.
El Fenomeno tidak bermain pada sebahagian besar musim 1999/2000, 2000/01 dan 2001/02 kerana masalah kecederaannya yang berulang, sebelum pindah ke Real Madrid pada tahun 2002.
Tetapi dalam dua musim pertamanya bersama Inter, Ronaldo berada di planet yang berbeza. Musim Serie A pertamanya menghasilkan 25 gol dan anugerah Footballer of the Year bagi Liga Itali.
Kariernya sangat menarik di Inter Milan. Beliau berada dalam prestasi kemuncaknya. Dan R9 versi Inter Milan dianggap versi terbaik beliau secara teknikal.
Beliau juga meraih Pemain Terbaik Dunia dan Ballon d’Or pada ketika itu. Ringkasnya, Ronaldo adalah pemain terbaik di planet ini pada tahun 1998 dengan jurang yang cukup jauh berbanding pemain lain.
Ronaldo v Lazio 1998
Aksi dalam final Piala UEFA yang hari ini digelar Liga Europa pada 1998 menentang Lazio dianggap antara persembahan individu terbaik dihasilkan. Beliau menjadi perhatian sepanjang aksi tersebut.
Final itu malah digelar final Ronaldo kerana dia benar benar run the show bak kata orang putih.
Inter bertemu dengan musuh Itali mereka di final Piala UEFA. Inter dengan megah mencipta kemenangan 3-0, dengan Ronaldo sebagai bintang utama perlawanan yang mebuatkan malam itu malam pertujukannya.
Ivan Zamorano dan Javier Zanetti menjaringkan 2 gol pertama, dengan Ronaldo menjaringkan gol ketiga bagi Inter.
Anda boleh menonton rangkuman ringkas sorotan Ronaldo berhadapan dengan Lazio di bawah ini. Salah satu video yang kita semua boleh ulang berkali kali.
UEFA berkongsi semula video tersebut menjelang aksi final UEL Inter Milan berdepan dengan Sevilla musim 2019/20.
Saksikan:
Aksi tersebut sangat luar biasa bukan? Lazio masa tu boleh tahan kuatnya.
Beliau memberikan kesengsaraan tak terhingga kepada penjaga gol dan pertahanan lawan ketika itu dengan fizikal, kelajuan dan skilnya.
Nesta antara pemain yang diciduknya. Nesta beberapa kali terpaksa melakukan foul ke atas beliau.
Ronaldo melakukan banyak sekali maneuver dalam perlawanan ini termasuk gerakan signature menggelecek penjaga gol dan elastico.
Memang malam itu coretan peribadinya yang serba lengkap. Di mana beliau melakukan lebih 85 gol dengan menggelecek penjaga gol.
Ketika dia turun untuk mengumpulkan bola, kamu tidak boleh tidak memikirkan Lionel Messi dalam kemegahannya.
Ronaldo pemain yang laju, lasak, lincah dan memiliki ketenangan yang sangat luar biasa.
Pada hari ini ramai pemain yang dikaitkan dengan penggantinya, namun belum ada sepertinya. Kylian Mbappe antara nama yang dikatakan mirip aksi Ronaldo Fenomeno.
Namun Ronaldo tetap Ronaldo. Beliau pemain yang sentiasa memberikan impak di dalam perlawanan besar, kecuali pada final Piala Dunia 1998 di mana beliau ketika itu dilaporkan sakit namun diturunkan juga.
Selainnya, hanyalah aksi yang memukau dan unplayable di atas padang.
Ronaldo memenangi banyak sekali piala di dalam kariernya. Namun yang paling utama pastinya Piala Dunia bersama negaranya Brazil!