[VIDEO] Awek Greenwood Muat Naik Post Tunjukkan Dirinya Dipukul Dan Dicederakan Pemain Muda Tersebut

Penyerang muda Manchester United Mason Greenwood telah dituduh melakukan keganasan domestik oleh teman wanitanya Harriet Robson.

Beberapa jam yang lalu, satu post mengejutkan dunia telah disiarkan di akaun Instagram Harriet yang menunjukkan kesan lebam dan luka di badannya dengan kapsyen yang menyatakan: “Kepada semua orang yang ingin tahu apa sebenarnya yang dilakukan oleh Mason Greenwood kepada saya”.

Pasangan tersebut sebelum ini sangat mesra dan seringkali memuat naik gambar romantik mereka di media sosial.

Mereka dianggap pasangan muda yang sangat secocok.

Beberapa imej yang agak tidak menyenangkan untuk dilihat itu, jelas menunjukkan bahawa gadis itu terkena serangan fizikal. Dia kemudiannya menyiarkan klip audio yang memaparkan Greenwood telah menderanya secara fizikal dan mengancamnya.

Berita itu telah mengejutkan penyokong penyokong United rata rata baru bangun di UK, ketika berita itu tersebar. Mereka juga risau mengenangkan apa yang akan berlaku untuk pemain berusia 20 tahun itu selepas ini. Kerana kes itu dianggap sangat serius dan boleh membuatkan Greenwood masuk penjara.

Ramai yang mengecam Greenwood dan meminta pemain itu diheret ke muka pengadilan segera.

Greenwood telah disebut-sebut sebagai salah satu bakat paling cerah yang datang dari akademi United. Namun pemain itu sudah beberapa kali terlibat dalam kontroversi luar padang. Sebelum ini pernah melanggar peraturan kuaranti bersama sama dengan Phil Foden dengan membawa wanita ke hotel ketika tugasan antarabangsa England.

Dengan United enggan melabur dalam penyerang muda lain, ramai yang percaya bahawa pemain berusia 20 tahun itu adalah calon terbaik mengetuai barisan serangan untuk United.

Greenwood menyarung jersi kelab paling popular di dunia itu dan merupakan pemain antarabangsa England. Jadi, segalanya serba serbi luar biasa dicapainya pada usia muda.

Jika benar dia melakukan serangan itu, ia adalah kelakuan yang mengejutkan dan memalukan yang pastinya kelab itu tidak boleh dan tidak akan bertolak ansur. Oleh itu, ia serta-merta meletakkan kerjayanya dalam bahaya.

United telah mengeluarkan kenyataan pagi ini dengan mengatakan:  “Kami sedia maklum tentang imej dan dakwaan yang tersebar di media sosial. Kami tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut sehingga fakta telah dipastikan. Manchester United tidak membenarkan sebarang bentuk keganasan.”

Laporan di Twitter mendakwa bahawa Polis Greater Manchester telah dimaklumkan tentang perkara itu, namun perkara itu masih belum disahkan.

Sudah tentu, seseorang tidak seharusnya membuat kesimpulan sebelum mendengar kedua-dua belah cerita, jadi peminat United akan mengharapkan maklum balas segera daripada Greenwood.

Mungkin terdapat juga penjelasan lain, contohnya akaun Robson mungkin telah digodam dan gambar serta audio dipalsukan. Itu antara perkara yang boleh berlaku, kata segelintir peminat yang mengambil langkah lebih tenang.

Walaubagaimanapun, tidak lama selepas itu, akaun tersebut juga dilihat sudah memadamkan gambar gambar berkaitan dengan Greenwood. Ia menguatkan lagi spekulasi bahawa pemain itu benar benar melakukan serangan keganasan domestik ke atasnya.

Ramai yang memberikan sokongan kepada Harriet Robson kerana menurut mereka, setiap wanita tidak sepatutnya dilayan dengan keganasan seperti itu.

Tidak kurang juga yang memuji keberanian gadis itu yang melawan keganasan tersebut dan meminta Greenwood disumbat ke dalam penjara.

Andy Baker berkata: “Kita berhenti seketika bercakap tentang Mason Greenwood, kita beri tepukan kepada keberanian Harriet Robson. Saya harap dia akan melawan perkara ini dengan segala yang dia ada dan tindakannya akan mendorong lebih ramai wanita di luar sana bersuara tentang keganasan domestik dan penderaan. Cepat sumbat plastik sampah ini ke dalam penjara, tu tempat dia.”

Ada juga menyindir Greenwood, sebagai striker tugas dia adalah menyerang gawang lawan bukannya menyerang teman wanitanya sendiri yang lemah dan seharusnya dilindunginya.

Ini adalah rakaman tersebut yang dimuat naik oleh Harriet Robson:

https://youtu.be/2L1Nt_ATKN0