Gareth Bale tidak berpuas hati dan agak koyak apabila wartawan bertanya adakah ini aksi sebentar tadi merupakan aksi terakhir beliau bersama Wales di pentas Euro.

Ini bukan pertama kali Bale enggan membincangkan soal masa depan dengan pasukan kebangsaan. Bulan lalu beliau juga memberikan amaran kepada wartawan agar tidak bertanya soalan tentang persaaraan antarabangsanya.

Ternyata Bale bukan seorang yang tenang apabila ditanya soalan seperti itu. Dengan mengambil kira usianya 31 tahun, serta rekod kecederaannya, ramai tidak yakin Bale akan muncul lagi dalam aksi Euro 2024. Piala Dunia mungkin harapan terakhir Bale untuk beraksi jika negaranya mara sekali lagi.

Wales disingkirkan Denmark dalam aksi 16 akhir. Sebelum perlawanan, pertahanan Wales, Connor Roberts menjelaskan bahawa 99% penduduk di bumi menyokong Denmark untuk perlawanan seperti ini.

Roberts berkata: “Perlawanan ini akan sukar dan harapan kami, pasukan kita akan menang. Saya rasa 99% penduduk bumi akan menyokong Denmark. Mereka pasukan yang liat dan bagus. Kami juga ada pemain yang bagus dan ada sedikit momentum bersama kami.”

Malang sekali untuk Wales, apabila mereka berhadapan dengan salah satu aksi terbaik Denmark dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Bale berhadapan dengan wartawan selaku kapten pasukannya. Bale pada awalnya menjawab soalan tentang prestasi pasukannya.

“Jelas sekali kami menamatkan perlawanan ini dengan cara mengecewakan. Pemain pemain kecewa, marah. Saya lebih suka seperti itu, menendang dan menjerit daripada berhenti dan tidak melakukan apa-apa. ”

Ditanya tentang faul ke atas Kieffer Moor pada binaan gol kedua Denmark, Bale berkata: “Ya sudah tentu itu satu kesalahan.”

“Saya rasa pengadil dipengaruhi oleh penyokong di sini. Itu yang saya rasa. Tapi tak ada gunanya nak membuat alasan sekarang. Ini mengecewakan, itu sahaja yang saya boleh katakan.”

“Dan ya, kami terlepas beberapa peluang namun saya rasa satu sahaja perkara yang kita tak boleh salahkan adalah semangat yang ditunjukkan para pemain. Itu adalah ‘kelayakan’ minimum diperlukan apabila anda bermain dalam pasukan ini. Dan saya bangga dengan mereka semua.”

Wartawan kemudian bertanya sama ada itu adalah aksi terakhir Bale bersama Wales di pentas Euro, beliau terus menunjukkan reaksi kecewa dan berlalu, sebelum sempat wartawan menamatkan soalannya.

Gareth Bale adalah antara pemain terbaik dalam generasinya. Walaupun dibelenggu banyak episod kecederaan. Bale pernah menjadi pemain termahal dunia ketika berpindah ke Real Madrid pada 2013.

Beliau membuat debut untuk Wales pada 2006. Dan kini hanya dibezakan dengan 4 kaps sahaja lagi untuk aksi seabad / ke-100 bersama Wales.

Masih ada 18 bulan lagi untuk satu lagi aksi major iaitu Piala Dunia Qatar. Bale pastinya mahu membantu negaranya mara ke Piala Dunia sekali lagi.

Sebagai rekod, Bale menjaringkan 33 gol untuk negaranya. Tidak ada pemain lain lebih banyak daripadanya.

Salah satu prestasi cemerlang Bale bersama Wales selain membantu mereka mara ke Piala Dunia 2018 adalah ketika membantu Wales mara ke semifinal Euro 2016.

Cuma buat masa ini, wartawan harus elakkan soalan tentang persaraan Bale, kerana dia tak sukakannya.