[VIDEO] Forestieri Menangis Raikan Piala Sulung Dalam Kariernya

Tiada apa yang paling bermakna buat penyerang baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri apabila akhirnya dapat menjulang trofi buat kali pertama dalam karier setelah 15 tahun bermain selaku pemain profesional.

Menurut penyerang berasal dari Argentina ini, kejayaan memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah dengan menewaskan Kuala Lumpur City FC, 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim akan menjadi detik yang tidak akan dilupakan.

Malah, dia turut menitiskan air mata semasa sidang media selepas perlawanan JDT dan Kuala Lumpur City FC sehingga ditenangkan oleh ketua jurulatih, Benjamin Mora.

Justeru, dia mengharapkan mampu berikan lebih banyak kejayaan kepada JDT selain mencipta kenangan bermakna buat dirinya sepanjang di sini.

“Sepanjang saya bermain bola sepak walaupun di peringkat tertinggi seperti di Serie A dan Liga Kejuaraan England, saya belum pernah memenangi apa-apa.

“Jadi, piala ini adalah sesuatu yang sangat bermakna kerana sekurang-kurangnya saya ada memenangi sesuatu di dalam karier kerana bola sepak adalah minat serta kehidupan saya.

“Saya harap keluarga saya ada di sini untuk menyaksikan kejayaan malam ini, sudah tentu ia lebih bermakna.

“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada jurulatih dan ejen yang membawa saya ke sini malah saya sedia mahu berikan lebih banyak kepada kelab ini,” katanya.

Bekas penyerang Udinese dan Sheffield Wednesday itu meledak salah satu daripada tiga jaringan pada minit ke-32 menerusi rembatan dari luar kotak penalti untuk membantu JDT menang 3-0.

Sebelum itu, Nazmi Faiz Mansor membuka tirai jaringan pada minit-26 dan Afiq Fazail melengkapkan gol kemenangan pada minit-84.

Ini juga menjadi kejuaraan kali kelima berturut-turut buat JDT mendakap Piala Sultan Haji Ahmad Shah sejak memenanginya pada 2018 dan kali ketujuh secara keseluruhan.

Dalam pada itu, Mora berkata, semangat juang serta kesungguhan pemain membawa kepada kemenangan JDT yang berjaya peraga aksi sebenar ketika menewaskan KL City.

Dia juga menjelaskan kehadiran Forestieri akan memberikan lebih banyak variasi di bahagian serangan buat JDT pada musim ini.

“Kami tahu lawan akan tunggu di kawasan sendiri dan akan bermain secara serangan balas serta mengharapkan satu kesilapan dari kami untuk jaringkan gol.

“Namun saya tahu apabila kami terlebih dahulu dapat menjaringkan gol, situasi itu letakkan kami dalam keadaan lebih tenang.

“Apa sahaja yang telah berlaku di Bukit Jalil, tidak lagi berlaku kerana ini adalah realiti sebenar kekuatan kami dan dalam bola sepak,ada kalanya kami perlu menerima kekalahan untuk menjadikan kami lebih kuat.

“Saya rasa Fernando akan berikan kami lebih banyak peluang semasa situasi menyerang kerana dia seorang pemain yang bijak, punyai teknik tersendiri serta ada pelbagai variasi.

“Kami memerlukan pemain yang pantas melakukan hantaran, pergerakan, menukar posisi dan sentiasa berikan tekanan kepada lawan, saya tahu dia akan berikan terbaik kepada JDT,” katanya.

https://youtu.be/FvfoSEUVVhI

SUMBER: Kenyataan Media MFL