[VIDEO] Grosso: Gol Minit Akhir Ke Atas Jerman Itu Penamat Sumpahan Itali

Pada 2006, Fabio Grosso menjaringkan gol paling cantik dan bermakna dalam kariernya. Dan ia juga dianggap sebagai salah satu momen paling ikonik dalam sejarah Piala Dunia.

Itali negara yang kaya dengan sejarah bola sepaknya. Grosso berhak berada dalam lembaran sejarah itu dengan gol lencongan beliau ketika Itali merobek hati peminat Jerman pada minit akhir masa ekstra.

Sepanjang kejohanan, Fabio Grosso menjadi mesin pertahanan utama Itali. Dia kental dan rajin. Tetapi siapa sangka pada malam penyerang dan pemain tengah Itali buntu di hadapan gol, Grosso telah menjaringkan gol yang kualitinya setaraf dengan penyudah seorang penyerang.

Grosso menunggu bola pada satu ruang yang agak besar di dalam kotak penalti. Tiada siapa pemain Jerman yang terlalu kisah akan kehadirannya di situ kerana ramai lagi pemain lain yang mampu memberikan ancaman terutama ketika bola tinggi.

Kredit kepada Pirlo yang memang bervisi tinggi. Melihat ruang dan memiliki naluri kuat bahawa rakannya itu memerlukan hantaran sesedap rasa untuk menjaringkan gol.

Hantaran cantik Pirlo itu tidak memerlukan Grosso mengawalnya terlebih dahulu, tinggal nak rembat sahaja. Dan Grosso menggunakan permukaan dalam kakinya untuk melencongkan bola melepasi Lehmann.

Gol!! Grosso berlari kegirangan dalam satu lagi detik ikonik selepas gol ikonik – iaitu cara dia meraikannya. Dia seperti kanak kanak yang girang berlari ke arah kamera.

Saksikan detik gol bersejarah dan penuh emosi itu di sini:

Anda juga mungkin berminat menyaksikannya dari sudut pandangan yang lain:

Itali bertemu Perancis dalam aksi akhir. Di mana berlaku insiden menggemparkan dunia di antara Zidane dan Materrazzi. Di mana Zidane menanduk dada Matterazzi selepas berlaku provokasi.

Piala Dunia FIFA 2006 diadakan dari 9 Jun hingga 9 Julai 2006 di Jerman. Pasukan Itali berjaya menjuarai Piala Dunia FIFA untuk kali ke-4 dalam sejarah mereka setelah mengalahkan Perancis pada perlawanan akhir dengan keputusan 5-3 menerusi penentuan penalti setelah terikat 1-1 dalam 90 minit permainan dan masa ekstra.

Grosso menganggap gol beliau pada separuh akhir sebagai motivasi penting untuk Itali lebih tenang dalam aksi final jika ia berlarutan ke masa ekstra dan penentuan penalti sekalipun.

Grosso sempat mengimbas semula detik itu. Dia berkata kepada laman rasmi FIFA: “Saya akan sentiasa ingat bahawa detik itu ibarat menamatkan sumpahan untuk Itali setiap kali bermain di masa ekstra dan penentuan penalti: misalnya penalti pada final Piala Dunia 1994 dan suku akhir Euro 2000.”

“Perkara itu benar benar menghantui kami pada 2006, kami juga risau pada final. Tapi kali ini, kami ada sebab untuk lebih tenang selepas gol itu. Marcelo Lippi orang yang membantu kami untuk menjadi lebih yakin.”

Baca yang lain