Video Ini Menjawab Kenapa Adriano Memang Layak Dalam Shot Power 99 Dalam PES

Satu ketika dahulu adanya Adriano di dalam Pro Evolution Soccer / PES. Dan beliau memiliki rating kekuatan sepakan sebanyak 99.

Penjaga gol hanya dapat melihat sahaja sepakan yang dilepaskan dari dalam kotak penalti. Malah kerapkali penjaga gol terkedu melihat bola yang dirembat dari tengah padang dan terus menerobos gawang.

Tetapi ada sebab yang luar biasa di sebalik kekuatan super power bintang Inter Milan.

Laporan sebelum ini mengatakan bahawa pemain Brazil itu adalah pemain pilihan eksekutif Konami Shingo ‘Seabass’  dan pemain kegemaran Takatsuka.

Akibatnya, ‘Seabass’ menegaskan bahawa Adriaono akan dijadikan sebagai pemain paling kuat dalam video game mereka. Namun, kiat semua ragui dari mana dia mendapat idea betapa kuatnya pemain Brazil itu.

Dan ada juga yang mempersoalkan, layakkah Adriano diberikan rating terlalu kuat pada kekuatan sepakannya?

Satu-satunya pemain lain yang menyaingi kekuatan rembatan Adriano adalah legenda Uruguay, Alvaro Recoba. Yang juga turut menjadi seorang lagi pemain kegemaran ‘Seabass’.

Sebass adalah peminat setia Recoba. Jadi dua pemain tersebut memang sedap kalau dipakai.

Dalam kehidupan nyata, Adriano tidak mencapai tahap tertinggi lebih lama seperti di alam PES – tetapi beliau masih pemain yang  cemerlang pada era kegemilangannya.

Namun Adriano di dalam PES6 sehingga PES 2008 adalah antara yang sangat luar biasa.

Namun seorang pengguna twitter memuat naik salah satu turning shot Adriano yang bak peluru. Dan ia mungkin jawapan kenapa Adriano diberikan rating super power macam tu.

Dan beberapa video lagi dimuat naik untuk menunjukkan betapa ‘komikalnya’ sepakan Adriano ini.

 

Berdesup wei. Selain daripada itu beliau juga memiliki keseimbangan badan 99. Memang menangis defender nak bergasak dengannya.

Adriano antara penyerang yang diletakkan harapan tinggi oleh peminat beliau sebagai pengganti sejati kepada Ronaldo Fenomeno yang ketika itu kerap cedera.

Namun kariernya merudum selepas pemergian ayahnya.

Adriano pemain yang memiliki kemampuan menjaringkan gol dan gelecekan yang luar biasa.

Sepakan percuma peluru

Adriano baru baru ini menyatakan beliau ingat lagi dengan sepakan percuma itu. Bercakap kepada laman rasmi Inter, Adriano menyatakan sepakan percuma itu selaju 105 batu per jam ataupun sekitar 168 km/j.

“Saya tiba di Bernabeu. Saya menyarung jersi Inter Milan dan lawan kami adalah Real Madrid. Saya rasakan hari itu seperti mimpi.”

“Saya tak minta benda lain dah dalam hidup lebih daripada itu. Saya masuk ke padang dan tak fikir apa apa. Saya bermain di Bernabeu seolah olah saya sedang bermain di padang berpasir di Vila Cruzeiro.”

“Saya bekerja keras, saya mempamerkan skil dan melakukan segalanya. Saya memenangi sepakan percuma dan coach dari bench suruh saya ambilnya.”

“Korang masih ingat tak, kaki kiri yang saya gunakan berlatih di lorong dan di rumah, dan itulah kaki yang kerap membuat ibu saya naik gila.”

“Saya perkenalkan kaki itu kepada dunia dengan sepakan percuma itu. Mereka kata kepada saya bahawa ianya selaju 105 batu per jam.”

Namun sepakan percuma itu tidak diiktiraf dalam Guinness World Record. Rekod semasa Guiness, milik Francisco Javier Galan Marin, yang mencatatkan kelajuan 80.1 batu per jam pada 2001.

Korang tengok sendiri free kick yang dimaksudkan Adriano ini:

Panggilan yang mengubah hidup Adriano

Pada 2004, Javier Zanetti menyatakan: “Adriano mendapat satu panggilan, dan panggilan itu memberitahunya: ‘ Adri, ayah dah tiada [meninggal dunia]’.”

Ketika itu Adriano bersama dengan rakan rakannya di kem pra musim.

Zanetti menyambung: “Saya melihat dia dekat biliknya dan mulai menjerit, membaling telefon di tangannya. Kamu tak akan pernah bayangkan bagaimana jeritan itu. Saya tergamam sehingga ke hari ini.”

Beberapa hari sebelum ini, Adriano baru sahaja menjadi wira negaranya apabila menjaringkan gol penyamaan masa kecederaan menentang Argentina dalam final Copa America.

Gol yang membantu negaranya menjuarai edisi tersebut.

Zanetti menyatakan, jeritan Adriano itu sangat kuat. Dia sangat sedih ketika itu. Beliau baru sahaja meraikan impian masa kecilnya bersama skuad kebangsaan Brazil, berganti dengan satu panggilan yang menjadi mimpi ngeri kepadanya.

Ayahnya mengalami sakit jantung sejak Adriano berusia 22 tahun. Adriano dibesarkan di Vila Cruzeiro, Favela.

Beliau menggunakan bakat bola sepaknya untuk mengubah nasib keluarganya sehingga mendapat kontrak dengan pasukan gergasi Inter Milan.

Fiorentina, Parma dan Inter – kesemua penyokong mereka mengenali bakat yang ada pada pemain yang digelar d L’Imperatore (the Emperor).

Adriano pernah membentuk gandingan luar biasa dengan Zlatan Ibrahimovic.

Adriano meratapi pemergian ayahnya

Namun  Zanetti sudah melihat pemergian ayahnya akan memberikan kesan kepada karier Adriano.

“Beliau terus bermain bola sepak, menjaringkan gol demi gol dan menunjukkan ke langit, mendedikasikan setiap golnya untuk ayahnya.

“Namun selepas panggilan itu, segalanya berubah. Ivan Cordoba pernah meluangkan masa bermalam dengannya dan berkata: ‘Adri, kau adalah gabungan Ronaldo and Zlatan Ibrahimovic. Kau sedar tak kau mampu menjadi pemain terbaik sepanjang zaman?'”

Adriano tak dapat ditenangkan. Adriano menjawab:

“Kematian ayahku memberikan kesan sangat besar di dalam diri aku.”

Selepas itu Adriano ada berkongsi detik itu dengan majalah R7 di Brazil.

Adriano berkata: “Saya keseorangan, sedih, depres di Itali. Itulah hari di mana saya mulai minum [minuman keras].”

“Saya tak tahu nak menyembunyikan kesedihan saya kerana saya mabuk sepanjang masa termasuk ketika latihan.”

Adriano mengibaratkan hidupnya telah dibawa pergi bersama beer, wain, wiski dan vodka.

“Pada suatu hari mereka [pegawai kelab] memberitahu saya bahawa saya ada masalah pada otot.”

Pada 2006, beliau dan rakan-rakan kecewa dalam kempen Piala Dunia. Brazil ketika itu diwakili oleh ramai bintang termasuk 3 pemenang Ballon d’Or iaitu Ronaldo, Kaka dan Ronaldinho.

Ini ditambah dengan Sang Maharaja yang dianggap antara pemain yang boleh bersaing mendapatkan anugerah itu suatu hari nanti.

Adriano mulai merosot aksinya. Beliau mulai berhadapan dengan masalah homesick dan pernah mengambil cuti tanpa gaji. Adriano mulai menjadi pemain yang bermasalah.

Adriano kembali ke Inter, dan kemudian dipinjamkan sekejap ke Roma. Beliau mulai menyertai beberapa kelab di Brazil.

Banyak kelab masih percayakan beliau kerana bakatnya namun Adriano terus gagal memenuhi harapan mereka.

Adriano mulai terlibat dengan kumpulan gangster dan berat badan berlebihan. Dia sudah tidak mahu meninggalkan Favela. Adriano selesa di situ.

Adriano sudah lama meninggalkan kariernya tertinggi. Sedangkan Ibrahimovic masih bermain dengan pasukan AC Milan di pentas liga utama Eropah.

Adriano sudah 6 tahun tidak bermain. Beliau ada 48 kaps untuk Brazil, 4 Serie A, 27 jaringan antarabangsa, Pemenang Liga Brazil, kariernya dahulu memang gemilang.

Adriano pernah menyatakan kepada wartawan, beliau mendedikasikan trofi Copa America 2004 kepada mendiang ayahnya.

Sejak ayahnya meninggalkannya, pada hari beliau menerima panggilan, kariernya telah berubah.

Itulah kisah emosi Sang Maharaja yang sukar untuk dirawat. Sayangnya kepada ayahnya terlalu kuat dan pada masa yang sama beliau sangat rapuh dalam menghadapi dugaan.

Zanetti pernah berkata: “Kami gagal untuk membantu Adriano keluar daripada depresi. Itu adalah kekalahan paling teruk di dalam karier saya. Ia masih lagi sakit. Dan saya sangat tak berdaya.”