[VIDEO] Insiden McArthur Terajang Saka Dari Belakang Yang Boleh Terlepas Kad Merah

Pemain tengah Crystal Palace, James McArthur boleh dikatakan sangat bernasib baik kerana tidak melihat layangan kad merah.

Ini selepas pemain tengah itu menyepak Bukayo Saka dengan gaya voli dari belakang.

Bekas pemain antarabanga Scotland berusia 34 tahun itu telah membuatkan Bukayo Saka cedera dan tidak dapat diturunkan pada separuh masa kedua.

Insiden itu berlaku pada separuh masa pertama dalam aksi di antara Arsenal dan juga Crystal Palace.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyatakan bahawa beliau sangat terkejut dengan kekasaran itu. Dan lebih mengejutkan apabila James McArthur tidak dilayangkan kad merah.

Hal ini kerana menurut Arteta, jelas sekali McArthur memang tidak ada niat untuk bermain bola pada ketika itu, sebaliknya memang nak menerajang pemain lincah Arsenal, Bukayo Saka.

Pengadil, Mike Dean hanya melayangkan kad kuning. Dan Saka mengerang kesakitan.

Arteta berkata: “Itu insiden kad merah untuk McArthur, sudah tentu sekali. Saya tidak faham, bagaimana dia masih terus berada di atas padang.”

“Kita terpaksa mengeluarkan Saka kerana dia tak dapat menerusikan permainan. Dia sangat sakit.”

“Ketika saya melihat semula insiden itu, saya tak faham, bagaimana pemain Palace itu dibenarkan untuk terus beraksi.”

Pundit Jamie Carragher setuju dengan Arteta. Dia tak faham bagaimana McArthur terlepas kad merah dengan kekasaran seperti itu, lebih lebih lagi sekarang sudah ada VAR.

Carra berkata: “Tak mungkin McArthur tidak melihat Saka di depannya.”

“Saka berada betul betul di depan garisan penglihatannya, tiada siapa akan membantah kalau McArthur dilayangkan kad merah.”


Pengurus Palace, Patrick Vieira menggunakan ayat biasa digunakan pengurus, dengan menyatakan dia tak melihat insiden itu dan menegaskan akan melihat rakaman itu nanti.

Arsenal melalui malam yang sukar di Emirates walaupun mendahului seawal minit ke-9 menerusi ketua pasukan, Pierre Emerick Aubameyang.

Palace bangkit dengan dua gol pada separuh masa kedua menerusi Christian Benteke dan juga Odsonne Edouard.

Ketika Palace berkira kira mahu meraikan 3 mata berharga, Alexander Lacazette merobek hati Vieira dengan gol cantik pada saat akhir masa kecederaan.

Selepas tamat perlawanan, Vieira menegaskan bahawa gol Lacazette itu benar benar merobek hatinya.

Ini kerana mereka melepaskan bolos pada saat akhir, selepas bekerja keras sepanjang malam. Palace memang beraksi sangat baik dalam perlawanan ini. Namun masih tidak dapat memenangi perlawanan yang menurut Vieira selayaknya dimenangi mereka.

Saksikan insiden kontroversi James McArthur itu di sini: