[Video] Jaringan ‘Puskas’ Dari Aizat Safuan Kecewakan Kelantan

Kelantan turun dengan semangat baru selepas kelab melakukan rombakan dengan membawa masuk beberapa pemain dan staf kejurulatihan baharu.

Kelantan membawa masuk 3 pemain baharu bagi mengukuhkan skuad untuk menghadapi saingan pusingan kedua liga.

Pemain yang hampir bersara dan menjadi ejen takaful, Zubir Azmi menyertai Shahrul Albert -seorang pemain dari liga amatur- dan Syed Subri.

“Saya mula membantu isteri dengan menjadi ejen Takaful dan tidak terlalu fikirkan untuk kembali ke padang. Tetapi semangat saya kembali semula selepas mendapat tawaran dari Kelantan.” petikan dari Sukanz pada 13 Julai

Sementara itu staf kejuralatih dari luar negara digantikan dengan tenaga tempatan apabila jurulatih Abdul Rahman dan jurulatih kecergasan Nizam Ariffin dibawa masuk.

Sejak liga dimulakan sehingga perlawanan ke-10, Kelantan telah menampilkan semangat melawan dalam setiap perlawanan yang dilalui walaupun pemain tidak mempunyai kemampuan besar.

Sementara itu situasi di Perak sedikit bergolak apabila pasukan utamanya kehilangan ramai pemain kunci akibat masalah kewangan dihadapinya.

Beberapa pemain dari Perak II dinaikkan pangkat seperti Adib Ra’op bagi mengimbangi saiz skuad di skuad senior.

Sebelum perlawanan berlangsung, Kelantan telah memberi isyarat yang jelas tentang sasaran mereka pada musim ini.

Melalui kenyataan pemain baharu, Syed Subri kelab menyasarkan kedudukan 5 terbaik dan sasaran peribadinya adalah membantu pasukan meraih promosi.

“Sasaran kelab adalah kedudukan 5 teratas liga, tetapi sebagai pemain tidak salah untuk saya cuba sama-sama membantu agar pasukan layak ke Liga Super dan ianya tidak mustahil.” petikan dari La Bola pada 10 Julai

Kedua-dua pasukan turun pada perlawanan pertama selepas liga direhatkan selama 2 bulan dan ia berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Aksi pada babak pertama agak hambar, kedua-dua pasukan bermain seperti melakukan latihan di petang hari dan gagal menyusun serangan dengan sempurna.

Semangat melawan pemain Kelantan yang sering ditunjukkan sebelum ini tidak dapat dijelmakan sepanjang permainan.

Bersesuaian dengan persembahan membosankan, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas babak pertama berakhir.

Bermula babak kedua, Marco Raggini mengubah percaturan dengan memasukan 2 penyerang utamanya iaitu Nurshamil Ghani dan Jack Hindle bagi memberi ancaman ke kubu lawan.

Pada minit ke-55, berpunca dari satu hantaran silang di sebelah kanan, Nurshamil berjaya memecah kebuntuan untuk membuka jaringan pertama perlawanan.

Pendahuluan itu tidak kekal lama apabila Perak II berjaya menjaringkan gol bertaraf puskas dari Aizat Safuan Razali. Aizat melakukan percubaan jarak jauh menewaskan penjaga gol Kelantan, Nik Mohamad Amin Ahmad.

Jaringan tersebut berpunca dari satu hantaran ke dalam, Aizat mempunyai masa yang banyak tanpa diberi sebarang tekanan oleh pemain Kelantan dan dia melakukan lambungan sederhana kuat selepas melihat Nik Mohamad Amin keluar dari posisinya.

Kegagalan Nik Mohamad Amin mentafsir bola tersebut melemaskan dirinya sendiri walaupun bola tersebut tidak terlalu laju.

Dua pemain pertahanan Kelantan kecewa sehingga terbaring melihat kesilapan yang dilakukan oleh Nik Amin Mohamad.

Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1. Kelantan gagal mengambil peluang untuk melonjak ke ke kedudukan ke-4 iaitu zon sasaran sasaran pasukan.

Mengikut sasaran Kelantan untuk berada di kedudukan 5 terbaik, secara matematik Kelantan perlu meraih 15 mata lagi pada baki 9 perlawanannya.

Perak II pula kekal di tempat ke-2 tercorot dan dijangka tidak akan mengulangi pencapaian musim lepas -tangga tercorot- kerana skuad projek FAM-MSN cukup lemah dengan pemain B19.

Pada Sabtu ini Kelantan akan melayan kunjungan MSN-FAM sementara itu Perak II akan ke bertandang ke Stadium Negeri untuk berhadapan dengan calon pilihan Juara Sarawak United.

Tiga perlawanan lain yang akan berlangsung ialah Kuching City lawan Terengganu II, N.Sembilan lawan Selangor II dan PDRM lawan Kelantan United.

Baca yang lain