[VIDEO] Kapten Ajak Aiyawatt Julang Piala, Semangat Mendiang Ayahnya Mengiringi The Foxes

Leicester City pada era pemilikan keluarga Srivaddhanaprabha telah mencipta keajaiban luar biasa. Di mana The Foxes sudah memenangi EPL dan sekarang Piala FA.

Mungkin bagi kelab besar ianya bukan ‘big deal’. Tetapi untuk kelab seperti Leicester, sebenarnya penyokong mereka sedang melalui detik keemasan yang sukar untuk hadir kembali.

Leicester menewaskan Chelsea dalam aksi final piala FA.

Jaringan tunggal Youri Tielemans memberikan satu lagi momen magis buat Leicester.

Ketika wisel penamat dibunyikan, terlihat Aiyawatt Srivaddhanaprabha menangis. Aiyawatt Srivaddhanaprabha merupakan anak lelaki kepada Vichai Srivaddhanaprabha. Dia membantu ayahnya dalam pemilikan Leicester sejak dahulu.

Selepas pemergian ayahnya dalam nahas helikopter, Aiwayatt berikrar akan terus menjadi pemilik Leicester dan tak akan menjual kelab tersebut.

Hubungan mendiang ayahnya dengan Leicester terlalu istimewa. Aiwayatt melihat sendiri penyokong Leicester berduka dan tidak putus putus memberikan doa dan sokongan kepada keluarganya.

Ketika majlis penyerahan piala, kapten pasukan, Kasper Schmeichel telah meminta Aiwayatt untuk menjulang trofi tersebut. Sekali lagi Aiwayatt sangat terharu. Di dalam stadium berkibar banner ayahnya dengan kata kata semangat: “Impian kita boleh menjadi nyata, jika ada keinginan dalam diri kita untuk mengejarnya.”

Ramai yang sebak melihat detik itu yang menurut mereka, dapat membayangkan bahawa ayahnya pasti akan berada di sebelahnya jika dia masih ada.

Peminat Man United ini berharap bahawa kelab mereka ada pemilik seperti Aiwayatt yang ada jiwa dan roh untuk kelab.

Pada 29 Oktober 2018, Leicester City membuat kenyataan rasmi bahawa pemilik kelab mereka, Vichai Srivaddhanaprabha telah terkorban dalam nahas helikopter miliknya di perkarangan tempat letak kereta Stadium King Power.

Selepas perlawanan di antara Leicester dan West Ham pada ketika itu, Vichai Srivaddhanaprabha seperti kebiasannya, selepas tamat perlawanan akan balik ke rumah menggunakan helikopter yang akan menjemputnya di stadium.

Malang tidak berbau apabila ada kerosakan pada komponen belakang helikopter itu membuatkan ianya terhempas. Kejadian itu berlaku kira-kira 8.20 malam Sabtu.

Vichai sebenarnya merancang untuk balik ke Thailand selepas perlawanan Sabtu lalu daripada lapangan terbang Luton. Namun mendiang tidak akan kembali lagi ke Thailand buat selama-lamanya.

Dalam kenyataan rasmi kelab, Leicester City menyatakan:

“Dengan kesedihan yang amat dalam dan hati terluka kami mengesahkan yang pengerusi kami, Vichai Srivaddhanaprabha, merupakan salah seorang daripada mereka yang kehilangan nyawa secara tragik pada malam Sabtu lalu bersama-sama dengan 4 yang lain.”

“Kesemua 5 orang yang berada dalam helikopter, tiada seorang pun daripada mereka yang hidup.”

“Fikiran kami semua di kelab ketika ini adalah bersama dengan keluarga Srivaddhanaprabha dan ahli keluarga mereka yang turut berada dalam helikopter. Buat masa ini ianya satu kehilangan yang tak terungkap.”

“Dunia telah kehilangan seorang lelaki yang hebat. Seorang lelaki yang baik hati, pemurah dan seorang yang mengabdikan dirinya dengan menyayangi keluarganya yang beliau telah berjaya bimbing. Leicester City merupakan satu keluarga di bawah kepimpinan mendiang.”

“Satu keluarga yang akan berdukacita dengan pemergian mendiang dan (kami) akan kekal mengejar visi demi kelab yang kini sudah menjadi legasi mendiang.”

Vichai membeli Leicester City pada 2010 dan di bawah pemilikannya, kelab itu mencipta sejarah yang tak tercapai dek akal. Daripada pasukan yang bertarung dengan penyingkiran kepada pasukan yang menjuarai EPL pada musim 2015/16. Ianya dianggap antara sejarah terhebat dalam dunia sukan.

Kelibat Vichai pastinya sentiasa dirindui terutama sekali ketika kelab menikmati kejayaan seperti hari ini.

Salam takziah kepada Leicester City.

Baca yang lain