Kelantan FC meneruskan perjuangan mereka dalam usaha untuk kembali ke Liga Super musim hadapan.
Selepas tewas di tangan Perak dalam aksi yang dihiasi kontroversi penyokong, Kelantan kembali ke landasan kemenangan.
Namun kemenangan ke atas PDRM FC bukan mudah untuk mereka capai. Kelantan memerlukan kebangkitan pada separuh masa kedua termasuk jaringan kemenangan lewat perlawanan untuk meraih 3 mata di gelanggang sendiri.
PDRM FC terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-30 menerusi G Durrkeswaran.
Kelantan yang tidak berputus asa akhirnya menyamakan kedudukan menerusi pemain prolifik mereka musim ini Nurshamil Ghani menerusi penalti minit ke-68.
Ketika perlawanan seolah olah akan berakhir dengan keputusan seri, pemain bebadan kecil, Ikhwan Yazek melancarkan misil lencongannya yang sempurna menerjah gawang pada minit ke-77.
Bola sepak memang begitu. Apabila taktikal masih gagal untuk memberikan kemenangan maka kemampuan dan kegeniusan individu daripada mana mana pemain, sesiapa sahaja, adalah diperlukan.
Momen seperti ini pasti akan diingati untuk masa yang sangat lama. Malah akan melekat bersama pemain itu sendiri.
Penyokong Kelantan dan staf kejurulatihan mereka bersorak kegirangan melihat persembahan kegeniusan individu itu. Gol yang cantik, gol kemenangan, gol 3 mata pada detik perlawanan menuju ke 10 minit terakhir.
Teknik yang sangat baik menghasilkan trajektori lencongan yang tepat ke arah sasaran pada ketika adrenalin menyelubungi.
Saksikan sendiri gol itu di sini:
Kemenangan itu mengukuhkan lagi kedudukan Kelantan di singgahsana Liga Premier.