[VIDEO] Lihat Telatah Kelakar Ten Hag Enggan Bayar Denda Kerana Lewat

Jika ada satu perkara yang Erik ten Hag telah berjaya lakukan dengan sempurna sepanjang tempoh awalnya di Manchester United ialah disiplin.

Dia nampaknya memahami konsep bahawa anda mungkin kelab terkaya di dunia yang mempunyai pemain paling berbakat tetapi tanpa disiplin, semuanya sia-sia.

Sir Alex Ferguson sangat mementingkan soal disiplin. Dan bekas bekas pemain Man United era Ferguson mengakui bahawa, jika anda terlewat, anda akan berdepan leteran dan bebelan daripada Fergie yang mahu pemain United sentiasa berdisiplin selayaknya sebagai pemain kelab itu.

Untuk kelab yang tidak memenangi piala dalam enam musim, Sepuluh Pelukan aka Ten Hag tiba di Manchester dengan berjanji untuk mengubah nasib kelab itu.

Ten Hag awalnya memulakan kariernya di United dengan agak sukar. Namun enam bulan kemudian, usahanya jelas menunjukkan Manchester United sebagai pesaing untuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Mereka juga berada hanya 90 minit lagi untuk menamatkan kemarau trofi apabila menentang Newcastle dalam perlawanan akhir Piala Carabao akhir bulan ini.

Ten Hag sebelum ini pernah mengambil tindakan ke atas Ronaldo dan Rashford kerana masalah disiplin. Nama nama besar seperti itu tidak terkecuali daripada buku disiplin Ten Hag.

Rashford malah mengakui secara terbuka dia dihukum diletakkan di bangku simpanan kerana lewat hadir taklimat taktikal pasukan kerana terlebih tidur. Rashford yang berada di prestasi terbaiknya tidak terlepas daripada tindakan. Namun tetap memberikan gol kemenangan pada perlawanan tersebut sebagai pemain gantian.

Cristiano Ronaldo yang dianggap GOAT oleh peminat Man United juga dikenakan tindakan sebanyak 2 kali oleh Ten Hag. Membuatkan hubungan Ronaldo dengan pengurus itu retak.

Luke Shaw kemudiannya mengakui bahawa pemain tidak lagi dibenarkan melakukan banyak perkara seperti sebelum ini oleh Ten Hag.

Perkara yang paling Ten Hag tekankan kepada asas disiplin adalah menepati masa.

Jadi, agak ironi apabila Ten Hag baru baru ini tiba lewat dalam sidang medianya menjelang perlawanan mereka menentang Leeds.

Dan wartawan tidak mahu melepaskan peluang mahu mendenda Ten Hag pula.

Erik Ten Hag memberikan alasan bahawa dia lewat kerana ada masalah teknikal yang dia tidak boleh berbuat apa-apa.

Menariknya wartawan di bilik media bersikap seolah olah mereka Ten Hag ke atas pemainnya selama ini, tidak mahu mendengar sebarang alasan atas kelewatan Ten Hag.

Ten Hag dengan santai dan ketawa melihat wartawan cuba mengusiknya dengan cara dia mendisplinkan pemain dengan berkeras enggan membayar denda itu.

Ten Hag berkata: “Saya nak memohon maaf kerana saya terlewat, sebab tadi ada masalah teknikal dan saya kena selesaikan beberapa prosedur.

Wartawan kemudian menjelaskan bahawa, mereka tetap mahu mendenda Ten Hag.

“Tak boleh la denda, sebab ada masalah teknikal tidak boleh dielakkan, saya tidak mampu buat apa apa tentangnya,” tambah Ten Hag.

Pengurus itu kemudian terus menyatakan dia tak mahu membayarnya dan menambah: “Kamu saja kan nak buat cerita tentangnya,” kata Ten Hag yang tahu wartawan sedang berseloroh dengan gaya pengurusannya yang tegas.

Keadaan di bilik media ketika itu menjadi riuh seketika mendengar Ten Hag tidak mahu didenda kerana pengurus itu menyatakan, jika ada perkara yang tidak boleh dielakkan maka tidak wajar untuk seseorang itu didenda.

Ramai percaya, Ten Hag sebenarnya memberikan mesej kepada wartawan bahawa dia bukanlah pengurus yang benar benar hati batu tidak dapat menerima alasan pemain.