[VIDEO] Magis Akhyar Rashid Beri Kemenangan JDT Atasi Ulsan Hyundai

JDT terus membuktikan bahawa mereka selayaknya berada di pentas ACL. Terbaru juara 10 kali berturut turut Liga Super Malaysia itu menewaskan juara Liga Korea, Ulsan Hyundai dalam aksi kumpulan I.

Bertempat di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, JDT berjaya menewaskan gergasi Korea Selatan itu dengan jaringan 2-1.

Kemenangan ini sangat penting kerana ianya membolehkan JDT kekal bersaing untuk layak ke pusingan kalah mati ACL 2023/24.

JDT hadir dengan prestasi terbaik mereka. Kerana cuma itu syarat yang mereka ada jika mahu menang lawan Ulsan Hyundai.

Secara keseluhan JDT melakukan 19 percubaan ke gawang Ulsan berbanding 15 yang didaftarkan lawan mereka.

Aksi ini nampak seimbang dari pelbagai sudut. Dari segi kualiti hantaran dan juga percubaan tepat. Namun JDT lebih tajam di hadapan gol.

JDT mendahului lewat separuh masa pertama menerusi Heberty Fernandez.

Heberty menerima hantaran Afiq Fazail dan dengan keyakinan tinggi melakukan rembatan jarak jauh selepas melihat penjaga gol Ulsan agak terkehadapan.

Namun Ulsan Hyundai menyamakan kedudukan menerusi Ataru Esaka pada minit ke-69.

Walaubagaimanapun Akhyar Rashid memastikan kempen ACL JDT terus berada di landasan tepat dengan gol kemenangan lewat minit ke-87.

Akhyar dengan bijak memastikan dia tidak ofsaid ketika menerima bola dan terus melakukan sentuhan dan rembatan yang kemas. Saksikan:

Di gawang JDT, prestasi Syihan Hazmi harus dipuji kerana menunjukkan aksi cemerlangnya dalam usaha memastikan 3 mata milik JDT.

Dengan kemenangan ini, JDT kini berada di tangga ketiga dengan mata yang sama dengan Ulsan Hyundai di tangga kedua, 6 mata. Hanya dibezakan dengan perbezaan jaringan.

Kawasaki Frontale kekal jadi pendahulu kumpulan I dengan 12 mata selepas menewaskan BG Pathum United.

Aksi seterusnya, JDT akan menentang Kawasaski Frontale di tempat lawan.