[VIDEO] Netizen Puji Pengadil, Pemain West Ham & Burnley, Henti Aksi Beri Laluan Benrahma Buka Puasa

Said Benrahma telah menarik perhatian dunia ketika beraksi dalam perlawanan West Ham menentang Burnley semalam. Bukan sahaja kerana aksi cemerlangnya, malah kerana dia sempat berbuka puasa ketika aksi sedang berlangsung.

Benrahma ke tepi padang dan pegawai West Ham United terus bergegas kepadanya memberikannya energy bar, pisang dan dia terus meminum air isotonik. Paling menarik, pengadil dan pemain pemain lain yang bukan beragama Islam berhenti seketika untuk memastikan Benrahma berbuka puasa terlebih dahulu.

Pemain pemain Burnley juga dipuji kerana tidak meminta aksi diteruskan segera – dalam keadaan mereka boleh bermain 11 vs 10 buat seketika jika itu berlaku.

Lagipun Benrahma tidak meminta pun aksi itu dihentikan seketika hanya untuk dirinya.

Benrahma beraksi cemerlang semalam dalam usaha West Ham terus mencabar tempat untuk slot ke Eropah.

Burmley terlebih dahulu di hadapan dengan gol Chris Wood. Namun West Ham membalas dengan dua gol oleh Antonio. Kesemua gol perlawanan dijaringkan dalam separuh masa pertama.

Benrahma mencipta assist gol kedua. Dan beberapa minit selepas itulah dia berlari ke tepi untuk berbuka puasa.

Benrahma dikeluarkan pada minit ke-78 untuk digantikan dnegan Jarrod Bowen. Peminat bola sepak kagum, bagaimana Benrahma boleh beraksi sangat cemerlang ketika dia berpuasa seharian.

Sebelum ini, Paul Pogba juga pernah menarik perhatian dunia dengan berbuka puasa di tepi padang ketika aksi berdepan Roma.

Pogba masih menunjukkan aksi cemerlangnya walaupun dia berpuasa sepanjang hari.

Rodgers pastikan Fofana berbuka puasa

Sebelum ini juga, Brendan Rodgers mengesahkan bahawa beliau sengaja mengeluarkan Wesley Fofana pada minit ke-60 permainan kerana mahu memberi ruang kepada bintangnya itu untuk berbuka puasa.

Wesley Fofana telah dikeluarkan pada minit ke-60 ketika aksi kemenangan 3-0 Leicester City membenam West Brom beberapa minggu lalu.

Pemain muda berusia 20 tahun itu sememangnya seorang muslim yang taat dan beliau ketika ini sedang menjalani ibadah Puasa di bulan Ramadhan bersama umat Islam seluruh dunia.

Sebagai salah satu dari lima rukun Islam, seseorang yang bersama Islam harus menjalani ibadah Puasa sepanjang bulan Ramadhan.

Tidak makan dan minum serta mengawal segala nafsu dari subuh hingga maghrib dengan niat kerana Allah.

Ia sememangnya agak sukar untuk seorang atlet profesional terus berpuasa memandangkan kepada rutin dan kegiatan harian mereka.

Namun dek kerana ia merupakan amalan mulia, maka ramai saja yang melakukan kerja berat tetapi masih mampu menjalani ibadah mulia itu sambil meneruskan kerja hakiki masing-masing.

Sama seperti Fofana yang mampu menahan lapar dan dahaga dari subuh dan terus diturunkan beraksi ketika bertemu West Brom awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Rodgers yang menghormati pemainnya itu telah mengeluarkan Fofana pada minit ke-60 permainan dan digantikan dengan Marc Albrighton bagi memberi ruang kepada pemain pertahanan itu untuk berbuka puasa.

Rodgers dipuji kerana menunjukkan sikap toleransi dan menunjukkan ciri pengurusan yang sempurna, manakala beliau sendiri turut memuji usaha dan kerja keras yang ditunjukkan oleh Fofana ketika latihan mahupun perlawanan walau sedang berpuasa.

“Dia bagus. Dia merupakan seorang pemain yang masih muda bermain di bulan Ramadhan, jadi dia memang tak makan sepanjang siang hari.”

Jelas Brendan Rodgers.

“Ia sesuatu yang mengagumkan. Jika kamu fikirkan tentang persembahan dia pada hujung minggu dalam saingan Piala FA, yang mana dia langsung tak makan seharian dan makanan pertama dia 15 minit sebelum perlawanan, dan pada hari sama, pukul 8 PM sepak mula, dia langsung tak makan tak minum, tapi dia masih boleh beraksi sehebat itu.”

“Hanya itu yang mampu saya lakukan dengan saya memikirkan untuk membawa dia keluar dan dapatkan dia sedikit makanan untuk dimakan jadi saya perlu keluarkan dia dan bantu lindungi dia.”

“Saya bekerja dengan ramai pemain yang mematuhi peraturan agama masing-masing dan kebanyakkan darinya, mereka memperoleh kekuatan dari itu.”

“Dia berjaya menemui kekuatan yang luar biasa untuk terus bermain di bulan Ramadhan dan menjalani latihan seperti biasa. Dia pemain yang istimewa dan pemain penting untuk kami.”

Fofana merupakan salah satu penandatanganan terbaik musim ini dan telah mempamerkan rentak permainan yang sungguh menakjubkan untuk barisan pertahanan The Foxes.