[VIDEO] Pemain Korea Utara Serang Pengadil Selepas Kalah Di Tangan Jepun

Ketua jurulatih pasukan Korea Utara, Sin Yong Nam mempertahankan tindakan pemainnya yang dilihat menyerang pengadil malah cuba mengasari pengadil secara fizikal. Ianya gara gara mereka tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan selepas kalah 2-1 di tangan Jepun dalam aksi bola sepak Sukan Asia 2022 di China.

Kapten Korea Utara Jang Kuk Chol dan rakan sepasukan Kim Kyong Sok dilihat memaki hamun pengadil Rustam Lutfullin selepas wisel penamat, mengejar pengadil asal Uzbekistan itu di tengah padang. Pengadil tersebut kelihatan cuba melarikan diri.

Penolong pengadil dan beberapa kakitangan keselamatan, termasuk jurulatih Korea Utara turut berlari ke arah pemainnya untuk cuba meredakan keadaan.

Pemain Korea Utara sebelum ini berang apabila Lutfullin menghadiahkan penalti kepada Jepun selepas penjaga gol Kang Juh Yok menyerbu keluar dan melakukan kontak pada kaki Jun Nishikawa dengan tangannya.

Kang yang marah bertengkar dengan pengadil sebelum Yuta Matsumura menjaringkan gol dari sepakan penalti pada minit ke-80 untuk memastikan Jepun mara ke separuh akhir.

Sin kemudian tampil mempertahankan tindakan pemainnya. Dia berkata: “Saya akui bahawa pemain kami agak teruja dalam perlawanan itu tetapi itulah bola sepak. Tetapi terdapat konfrontasi dalam perlawanan bola sepak… Saya rasa tingkah laku kami masih boleh diterima,” tegas beliau yang menganggap pemainnya tidaklah terlalu ganas ketika membantah mutu pengadilan.

Jurulatih Jepun, Go Oiwa enggan mengulas mengenai insiden itu apabila ditanya. Dan dia hanya berminat memberikan komen tentang pasukannya sahaja.

“Perlawanan ini adalah seperti yang kami jangkakan,’ kata Go Oiwa.

“Ada beberapa perkara (kami) tidak gembira dalam perlawanan itu tetapi pada asasnya kami boleh menerimanya.”

Kotaro Uchino menjaringkan gol pertama untuk Jepun dengan lencongan yang cantik. Namun pemain Korea Utara Kim Kuk Bom menyamakan kedudukan dengan rembatan jarak jauh yang menakjubkan. Tetapi penalti lewat perlawanan yang disudahkan oleh Yuta Matsumura, menyingkirkan Korea Utara daripada pentas Sukan Asia.

Jepun mara ke separuh akhir untuk berdepan dengan Hong Kong yang mengejutkan bekas juara Iran 1-0.

Juara bertahan Korea Selatan mara ke empat terakhir dengan kemenangan selesa 2-0 ke atas tuan rumah China. Mereka akan menentang Uzbekistan berikutan kemenangan 2-1 ke atas Arab Saudi.