[VIDEO] Qatar 2022: FIFA Umum Teknologi Ofsaid Separa Automatik, Bagaimana Ianya Berfungsi?

FIFA mengumumkan bahawa mereka akan menggunakan teknologi pengesanan ofsaid secara separa automatik yang akan digunakan dalam Piala Dunia 2022 di Qatar.

Teknologi yang dipanggil teknologi ofsaid separa automatik itu sudah diumumkan sendiri oleh FIFA. Jadi ianya bermaksud tiada robot penjaga garisan yang akan digunakan kelak. Sebaliknya VAR versi terkini dengan pengesanan ofsaid dengan teknologi dipertingkatkan.

Qatar 2022 akan menjadi Piala Dunia pertama menggunakan teknologi pengesanan ofsaid secara automatik untuk meningkatkan lagi ketepatan dan kecepatan dalam keputusan ofsaid.

Teknologi tersebut telah lulus ujian di Piala Arab 2021 dan Piala Dunia Kelab tahun lalu.

FIFA juga memutuskan untuk menunjukkan video tersebut terus di skrin di dalam stadium berdasarkan animasi 3D. Peminat di kaca tv sudah tentunya akan ditunjukkan video tersebut seperti mana video VAR.

Presiden FIFA, Gianni Infantino said menganggap ianya adalah kejayaan terbaru FIFA dalam evolusi bola sepak.

“Teknologi ofsaid separa automatik ini adalah evolusi kepada sistem VAR yang sudah diimplementasi di seluruh dunia.

“FIFA komited untuk menggunakan lebih banyak teknologi dalam usaha meningkatkan mutu bola sepak di semua peringkat. Dan penggunaan teknologi ofsaid separa automatik di Piala Dunia 2022 Qatar, adalah bukti yang sangat jelas.”

Bagaimana ianya berfungsi?

Teknologi ini akan menggunakan 12 kamera pengesan bersensor tinggi yang akan dipasang di bumbung stadium. Ianya akan mengesan bola dan boleh mengesan 29 data pemain secara individu dengan kepantasa 50 kali per saat.

29 data yang dikumpul ini termasuk kesemua anggota badan dan data data yang relevan untuk ofsaid.

Bola rasmi Piala Dunia Qatar 2022, Al Rihla akan dipasang dengan sensor IMU atau Intertial Measurement Unit Sensor – di dalam bola – berada di tengah tengah bola.

Sensor ini akan menghantar data 500 kali per saat ke bilik operasi dan mengesan titik bola disepak dengan tepat sekali.

Dengan menggabungkan data daripada sensor IMU dan juga data kamera pengesan, maka FIFA menyatakan bahawa kadar ketepatan dalam menentukan ofsaid menjadi lebih tepat. Di mana ianya akan menghasilkan di mana detik bola ditendang dan terus secara automatik mengeluarkan garisan ofsaid.

FIFA juga mendakwa bahawa mereka bersedia untuk memperkenalkan teknologi ini pada Piala Dunia 2022 dalam perlawanan pembukaan antara England dan Iran pada 21 November 2022 akan menggunakan teknologi tersebut. Ianya sudah tentu akan menjadi perhatian seluruh dunia selepas ini.

Keputusan FIFA ini mendapat perhatian daripada pelbagai pihak. Ada yang bersetuju dan ada yang sebaliknya.

Ramai yang mulai menganggap bahawa tindakan ini secara tak langsung telah membawa kepada semakin terhakisnya kuasa dan peranan pengadil serta penjaga garisan MANUSIA di atas padang.

Ini kerana pada hari ini selain daripada VAR, ada juga teknologi garisan gol. Dan kini ditambah pula dengan teknologi ofsaid separa automatik.

Mereka menganggap semakin sukar untuk melihat pasukan under dog membuat kejutan ke atas pasukan besar dengan bantuan elemen pengadilan dan sebagainya.

Ianya kerap menjadi warna warni piala dunia. Dari sisi lain, ada juga bersetuju dengan teknologi seperti ini yang dikatakan memberikan keadilan lebih mutlak kepada mereka yang berhak mendapatkannya.

Selain daripada penggunaan robot sebagai penjaga garisan, FIFA juga sudah mengesahkan bahawa mereka akan menggunakan khidmat beberapa pengadil wanita buat pertama kalinya untuk mengadili Piala dunia pasukan lelaki.

Piala Dunia Qatar 2022 akan berlangsung pada hujung tahun ini.

Saksikan video ringkas yang menjelaskan bagaimana sistem ini berfungsi.

Jadi apa pula pandangan korang? Adakah korang bersetuju? Nyatakan pandangan korang.

Baca yang lain