Video: Sir Alex Buat Chicarito Tersentuh Hati Dengan Ucapan Ini

Sir Alex Ferguson adalah individu yang bertanggungjawab menandatangani Javier Hernandez dari kelab Mexico, Chivas pada satu ketika dahulu.

Setelah sekian lama di perantauan, akhirnya Javier Hernandez kembali semula ke kelab yang disokongnya sejak kecil iaitu Chivas yang bermain di Liga MX.

Perpindahan itu disahkan sendiri oleh kelab lamanya itu. Sir Alex Ferguson tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan selamat pulang kepada Chicharito yang kembali ke kelab tersebut.

Chicharito kemudian membalas mesej itu dengan kata kata yang sangat indah.

Man United dengan ‘classy’ telah memuat naik video Sir Alex Ferguson dengan ucapannya. Bekas pengurus berusia 82 tahun asal Scotland itu berkata: “Chicharito, bos lama kamu di sini. Pertama kali, saya nak ucap tahniah di atas kepulangan kamu ke kelab lama kamu. Kembali semula ke Mexico, di mana segalanya bermula.

“Tempat di mana saya menemui kamu, menandatangani kamu dan kamu sangat hebat, pemain yang luar biasa untuk kami. Kamu ada karier yang hebat.

“Rasanya sekarang, apabila kamu kembali ke kelab lama kamu, kamu boleh menggunakan peluang itu untuk menambahkan pengalaman dan berkongsi pengalaman kamu dengan semua pemain di sana. Jadi, sampaikan salam saya kepada keluarga kamu.

“Semoga kamu menikmati masa yang hebat dan menambahkan lagi gol. Selamat maju jaya,” ucap Sir Alex Ferguson.

Sebagai respon kepada kenyataan itu, Chicharito berkata: “Bos, tiada kata kata yang boleh menggambarkan betapa bermakna kamu buat diri saya. Dapat mengakui bahawa saya adalah bekas pemain kamu adalah salah satu pencapaian terbesar saya. TERIMA KASIH! Dan kepada keluarga lain saya Manchester United, terima kasih kerana memberikan saya peluang menjadi sebahagian daripada sejarah kamu.

“Saya akan sentiasa meyanyangi kamu selamanya. Sekali Merah, selamanya Merah!”

Peminat United tersentuh hati melihat interaksi antara Sir Alex Ferguson dan Javier Hernandez. Mereka terkenang kembali detik gemilang Sir Alex yang turut ada pemain seperti Chicharito berada di bangku simpanan pasukan mereka. Sentiasa memberikan terbaik setiap kali di atas padang.

Chicharito sudah tentunya dianggap cult hero di Old Trafford. Pemain yang disayangi peminat dan juga pemain yang disayangi Sir Alex Ferguson sendiri.

Mereka mengucapkan terima kasih di atas semua memori yang telah dicipta oleh Chicharito sepanjang dia bersama dengan Man United.

Dia merupakan pemain yang dianggap natural finisher dengan statusnya sebagai modern poacher. Berbadan kecil namun sangat lincah dan sentiasa berada di tempat yang memberikan ancaman kepada lawan.

Chicharito juga dianggap pemain yang sangat profesional. Tidak pernah terlibat dalam kontroversi sepanjang dia bersama dengan Man United. Fokusnya hanyalah pada lapangan hijau di padang bola sepak.

Persaingan dengan penyerang lain yang berkualiti tinggi membuatkan dia sukar untuk menjadi pemain kesebelasan utama yang konsisten.

Namun dia tetap senang untuk membantu pasukannya setiap masa.

Javier Hernandez membuat debut pertamanya bersama Chivas pada 2006. Dia bermain 4 musim di sana sebelum ditandatangani secara mengejut oleh Alex Ferguson.

Ketika itu ramai yang mahu tahu apa sebabnya Sir Alex mahu mendapatkan pemain muda Mexico itu pada masa itu.

Chicharito bermain 5 musim bersama dengan Man United. Dan menikmati banyak kejayaan bersama mereka. Selain United, Javier Hernandez juga bermain untuk kelab Eropah lain seperti Real Madrid, West Ham dan Sevilla sebelum menyertai LA Galaxy dia MLS.

Kini dia berpeluang untuk berbakti sekali lagi untuk Chivas. Kelab yang memulakan Liga MX musim ini dengan 1 kekalahan dan 1 seri selepas dua perlawanan. Mereka akan berdepan Tijuana pada Sabtu akan datang.