[Video] Tetap Rendah Diri, Fernandes Masih Berguru Dengan Mata Buat Extra Training

Bruno Fernandes salah seorang pelaksana sepakan penalti paling bahaya dalam bola sepak ketika ini.

Dan beliau juga merupakan pengambil sepakan percuma yang berbisa. Rekod beliau dengan kelab lamanya juga sangat bagus.

Namun bola sepak adalah satu sukan yang memerlukan proses pembelajaran berterusan.

Terbaru, Bruno Fernandes berkongsi cerita di mana beliau tetap merendah diri untuk terus berguru dengan yang pakar dalam bidang tersebut iaitu Juan Mata.

Bruno Fernandes menjaringkan sepakan percuma cantik dalam aksi berdepan Liverpool pada saingan Piala FA pada hujung minggu lalu.

Dan beliau melabel Juan Mata sebagai pakar bola mati yang menjadi rujukannya di pusat latihan.

Satu video dimuat naik oleh Man United menunjukkan BrunoB Fernandes dan Juan Mata melakukan latihan tambahan mereka sendiri untuk penalti dan sepakan percuma.

Daripada video tersebut, kelihatan Juan Mata menunjukkan beberapa ruang dan sudut terbaik untuk menewaskan penjaga gol.

Bruno Fernandes berkata:  “Saya fikir hampir setiap hari [saya berlatih dengan Mata].”

“Kadang kala dia [pengurus Ole Gunnar Solskjaer] terpaksa mengusir saya dari latihan untuk berhenti.”

“Saya selalu berusaha untuk situasi seperti itu. Saya suka menonton dan belajar dari Juan kerana saya fikir dia adalah pakar yang sangat baik.

“Saya rasa dalam latihan kami berada di sana hampir sepanjang masa – saya dan Juan biasanya terus kekal lebih lama, tetapi juga Alex [Telles], Rashy [Marcus Rashford], Fred juga selalu bersama kami.”

Diminta komen tentang gol daripada luar kotak penalti menewaskan Alisson. Fernandes berkata:

“Saya rasa biasanya jarak jauh sedikit adalah untuk Rashy,” tambah Fernandes.

“Saya rasa dia merasa lebih selesa [merembat dari sana], bagi saya adalah sama, jauh ataupun jarak yang lebih dekat.”

“Saya fikir lebih dekat dengan kotak adalah lebih baik bagi saya, untuk jenis rembatan yang saya miliki.”

“Sudah tentu, jika Juan dan Alex berada di lapangan, ini adalah peluang bagi mereka. Saya rasa kami mempunyai pakar sepakan percuma yang baik.”

“Ini juga akan bergantung pada keadaan masa tersebut. Pada ketika itu, saya merasa yakin dapat melakukan sepakan percuma. Itu saya dan untungnya itu adalah gol.”

Sebelum ini tular gambar Juan Mata mengelap boot Bruno Fernandes sebagai tanda penghargaan selepas pemain itu melakukan sepakan percuma cantik.

Dedikasi yang terpuji

Itulah dedikasi pemain profesional bertaraf dunia. Mereka masih melakukan latihan tambahan dan terus belajar daripada sesiapa sahaja.

Bukan macam sesetengah pemain yang tamat latihan terus ke kedai mamak.

Juan Mata memiliki ratio sepakan percuma dan penalti yang sangat luar biasa di dalam kariernya termasuk di EPL – bersasma Chelsea.

Prestasi cemerlang Bruno Fernandes sejak tiba di Man United membuatkan pasukan tersebut meningkat dengan mendadak.

Malah sudah banyak kali Bruno Fernandes muncul dengan sendirinya untuk menyelamatkan Man United daripada kekalahan.

Ole Gunnar Solskjaer memuji mentaliti Bruno Fernandes yang menurutnya telah mempengaruhi motivasi di dalam pasukan United pada ketika ini.

Pemain muda Arsenal, Emile Smith Rowe yang ketika ini dalam prestasi sangat baik juga mendedahkan bahawa beliau menjadikan Bruno Fernandes sebagai rujukannya.

Emile Smith Rowe berkata: “Saya merujuk kepada dia [Bruno Fernandes] sebagai pemain, statistiknya gila dan cara dia bermain sangat bagus. Ini jelas merupakan pencapaian yang baik saya rasa [Bruno satu-satunya pemain yang mencipta lebih banyak peluang daripada dia sejak dia membuat debut liga].”

Dan sejak ketibaannya di Old Trafford, Bruno Fernandes menyumabang secara langsung kepada gol United sebanyak 45 kali dengan 28 gol dan 17 assist. Ianya satu angka yang agak gila.