[VIDEO] Tuchel, Conte Dapat Kad Merah Kerana Dua Kali Hampir Bertumbuk

Dalam aksi Derbi London antara Chelsea dan Tottenham, berlaku banyak insiden panas. Kemuncaknya adalah ketika pengurus kedua dua pasukan dilayangkan kad merah kerana hampir bertumbuk.

London Derby yang menemukan Chelsea dan Tottenham Hotspur yang berlangsung di Stamford Bridge. Ini adalah kepulangan sekali lagi Conte ke Stamford Bridge sebagai pengurus lawan.

Chelsea seri dengan Tottenham Hotspur pada petang Ahad yang penuh dengan drama.

Harry Kane menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan untuk pasukan pelawat selepas Reece James meletakkan Blues 2-1 di hadapan di Stamford Bridge. Tuchel membantah gol itu, kerana sebelum sepakan penjuru itu berlaku kekasaran di mana Marc Cucurella ditarik rambutnya oleh Christian Romero.

VAR memeriksa sama ada Romero harus dilayangkan kad merah. Malangnya itu tak berlaku.

Itu bukanlah insiden paling panas. Kerana kemuncaknya adalah pertengkaran box office antara Tuchel dan Conte yang menyaksikan mereka hampir bertumbuk.

Kedua-dua pengurus pertama kali bertelagah selepas Pierre-Emile Hojbjerg menjadikan kedudukan 1-1 dengan cara yang agak kontroversi. Pemain antarabangsa Denmark itu menyamakan gol pembukaan hebat Kalidou Koulibaly.

Pada proses binaan gol itu, Kai Havertz telah dikasari oleh Rodrigo Bentancur 41 saat sebelum gol Hojbjerg dijaringkan, tetapi pengadil tidak memberikan sepakan percuma kepada Chelsea.

Tuchel berasa marah dengan keputusan yang dibuat oleh pengadil dan penjaga garisan. Kemudian Tuchel melihat Conte dengan meraikan gol tersebut di hadapannya. Tuchel terus memaki hamun Conte yang menurutnya sengaja mengapi apokannya.

Jadi, berlaku detik huru hara untuk seketika, dengan kedua-dua pengurus telah diberikan amaran oleh pengadil.

Chelsea kemudian kembali di hadapan dengan Tuchel pula meraikan gol itu dengan girang. Memikirkan bahawa mereka sudah menang. TAK! Kerna pada lewat masa kecederaan Conte sekali lagi meraikan gol penyamaan menerusi Harry Kane.

Dan pada masa tamat, kad merah pula menyusul.

Segalanya bermula apabila Conte dan Tuchel berjabat tangan. Menurut Tuchel, mungkin cara mereka adalah berbeza. Baginya, apabila berjabat tangan, haruslah bertentang mata. Sebaliknya Conte tak melakukannya. Jadi, Tuchel menjadi bengang dan menarik tangan Conte.

Tuchel berkata: β€œApabila anda berjabat tangan, saya fikir kami melihat mata satu sama lain tetapi kami mempunyai pendapat berbeza jadi ia beremosi,” katanya.

Conte meminta Tuchel melepaskan tangannya. Dan mereka berdua berbalah sekali lagi. Kali ini keadaan menjadi lebih serius. Dengan pemain dan pegawai kedua dua pasukan campur tangan sekali lagi untuk meleraikan kedua dua pengurus itu.

Bercakap kepada wartawan, Tuchel menganggap insiden dia dan Conte bergaduh itu tak besar mana pun. Tetapi dia membangkitkan prestasi pengadil yang menjadi punca Chelsea tak menang. Menurut Tuchel, hanya Chelsea yang berhak menang dalam aksi itu kerana beraksi lebih baik.

Tuchel turut merasakan bahawa 2 gol Spurs adalah tidak sah!

β€œSaya perlu katakan kedua-dua gol [Spurs] tidak sepatutnya diberikan. Ia hanya satu pasukan yang layak menang dan itu adalah kami. Saya berasa kesal untuk pasukan saya mereka tidak mendapat apa yang sepatutnya,” kata Tuchel.

β€œIa adalah satu kekasaran yang jelas terhadap Kai Havertz dalam pembinaan [untuk gol pertama Tottenham], satu kesalahan yang jelas.”

β€œKami mempunyai satu kesalahan taktikal daripada [Reece] James yang mendapat kuning. Saya tidak tahu berapa banyak kesalahan taktikal Hojbjerg dan Bentancur lakukan hari ini.”

β€œKeadaan itu berlarutan, dan ia jelas ofsaid pada kedudukan Richarlison. Dia berada dalam garisan arah bola. Dia juga pergi ke bola, jadi Mendy tidak dapat melihat bola. Mereka menyemaknya, itu adalah ofsaid yang jelas.”

β€œDan sejak bila kamu dibenarkan menarik rambut pemain lain di atas padang bola? Bila tu? Jadi kita [sudah pun] periksa dan tiada apa yang berlaku? Ia tidak masuk akal.”

β€œDia gembira apabila mereka menyamakan kedudukan dan ia menjadi sedikit panas tetapi tiada apa yang harus diperbesarkan. Kami berdua mendapat kad merah? Ia tidak perlu. Tetapi banyak perkara tidak perlu. Satu lagi keputusan buruk daripada pengadil hari ini.”

Saksikan rangkuman aksi di sini:

Baca yang lain