[VIDEO] Ucapan Sebak Faisal Halim Depan Penyokong: “Kami Di Sini Tinggalkan Keluarga Demi Negara”

Faisal Halim dan rakan rakannya telah pergi ke seksyen penyokong pelawat, di seksyen ultras untuk merakamkan penghargaan mereka kepada penyokong.

Ultras turut memberikan tepukan kepada Harimau Malaya yang terpaksa menamatkan kempen Piala AFF 2022 di peringkat separuh akhir.

Malaysia kalah 3-0 di Thailand selepas menang dengan skor 1-0 di Bukit Jalil. Bermakna Thailand mara ke final edisi 2022 ini dengan agregat 3-1.

Faisal Halim mewakili pemain pemain Malaysia, memberikan ucapan di hadapan Ultras. Dia memuji semangat juang rakan sepasukannya.

Menegaskan bahawa mereka semua berada di bumi Bangkok demi negara walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga.

Faisal berkata: “Kami mengorbankan masa kami untuk negara. Kami semua berada di sini, tinggalkan keluarga, tinggalkan isteri, tinggalkan anak. Kami datang ke sini untuk kejayaan.”

“Perjuangan kami ikhlas bukan kerana wang ringgit, bukan kerana populariti, tetapi demi negara!”

Faisal kemudian meminta Ultras memberikan penghargaan dan tepukan kepada rakan rakan seperjuangannya.

“Safawi baru sahaja bernikah, namun dia sanggup datang ke sini untuk negara.”

Faisal Halim kemudian memberikan tabik hormatnya kepada Brendan Gan yang menurutnya merupakan ‘ketua pasukan’ bagi mereka semua. Walaupun lilitan kapten ada pada Faisal, tetapi Brendan adalah kapten tidak ber-arm-ban.

“Walaupun malam ini saya diamanahkan menjadi kapten, namun Brendan [Gan], saya hormati dia sebagai ketua pasukan kita. ”

“Dia baru sahaja menimang cahaya mata, dan dia tetap bersama dengan kita berjuang untuk negara.”

Faisal Halim: “Maafkan Kami Rakyat Malaysia Gagal Ke Final, Namun Perjuangan Kami Ikhlas”

Bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan, Faisal berkata: “Sudah tentu kita datang sini untuk bagi satu aksi yang terbaik untuk  [cuba] membawa Malaysia pergi ke final.”

“Tetapi kita gagal, dan saya sebagai kapten, saya mohon maaf kepada rakyat Malaysia kita gagal ke final.”

Faisal menyatakan bahawa Malaysia telah mencuba yang terbaik dan para pemain Harimau Malaya ikhlas di dalam perjuangan mereka dalam usaha untuk membawa Malaysia ke final. Namun apakan daya, Faisal mengakui Thailand pasukan yang lebih baik dan berada di kelas tersendiri.

“Tetapi ini yang kami dah cuba yang terbaik. Kami ikhlas dengan perjuangan kami, dan bersatu untuk membawa pasukan kebangsaan ke final.”

“Tetapi kita tahu, sebenarnya bukan mudah untuk kita berlawan dengan Thailand.”

“Mereka berada di tahap yang berbeza daripada kita, agak jauh..” kata bintang Harimau Malaya dalam pentas AFF 2022 kali ini.

Faisal mencadangkan agar set pemain yang ada ini akan dikekalkan bermain bersama untuk 2 atau 3 tahun lagi. Ianya akan membantu membentuk keserasian dan pasukan lebih kuat.

Pemain penyerang sayap Malaysia itu menambah: “Saya percaya kalau pasukan ini dikekalkan dalam 2 atau 3 tahun lagi, sudah tentu kita akan dapat kejayaan.”

“Memang masa 2 atau 3 tahun itu lama sebenarnya. Namun Thailand dan Vietnam juga bermain bersama untuk sekian lama. Selepas 2, 3 tahun barulah diorang nampak hasilnya.”

“Sukar untuk kita mencapai kejayaan dalam masa sebulan sahaja. Itu bergantung atas rezeki.”

“Tetapi kita dah cuba yang terbaik, mara sehingga ke peringkat ini pun, orang dah berbangga dengan kita.”

Meskipun kecewa dengan kekalahan di Thailand, namun Faisal Halim percaya, jurulatih Kim Pan Gon pasti merasakan perkara positif daripada pencapaian skuad yang dimilikinya pada ketika ini.

Faisal berkata: “Walaupun saya kecewa dengan keputusan malam ini.”

“Tetapi, coach Kim pasti akan gembira dengan pemain pemain yang dia miliki ketika ini boleh mara sehingga sejauh ini.”

Faisal sama sekali tidak menjangkakan bahawa Malaysia akan kalah dengan margin 3 gol. Misi mereka adalah mahu seri ataupun mencetak 1 gol di tempat lawan.

Pemain yang mesra dengan panggilan Miki itu menegaskan: “Sudah tentu kita tidak menjangkakan kita akan tewas 3-0. Kita bermain di Thailand. Di mana kita hanya perlu seri tanpa jaringan ataupun menjaringkan 1 gol sahaja.”

“Tetapi inilah bola sepak, bukan rezeki kita. Di mana kita telah cuba yang terbaik di Bukit Jalil. Dan kita tahu, walaupun kita menang 1-0 pada masa itu, kita telah diserang bertalu talu oleh Thailand.”

“Di sini kita cuba mengatasi mereka sebenarnya, tetapi kita gagal. Banyak lagi perkara yang kita perlu pelajari.”

“Banyak lagi yang kita perlu tahu apa yang sebenarnya coach Kim Pan Gon mahukan.”

“Saya berharap pemain pemain baharu, dapat pengalaman yang cukup dan luas sebenarnya, untuk masa depan.”

Akhir sekali, Faisal Halim melabel coach Kim Pan Gon sebagai jurulatih terbaik untuk Harimau Malaya. Seorang jurulatih yang bijak menggunakan sumber pemain yang ada serta iklhas dalam tugasannya.

“Saya rasa, coach Kim adalah coach yang terbaik, kerana dia tahu cara menggunakan seseorang pemain. Coach Kim ikhlas dengan kerjanya,” tutup Faisal Halim,