Walaupun Disekat Daftar 5 Pemain Baharu, Barca Dalam Proses ‘Sign’ Bernardo Silva & Marcos Alonso

Walaupun masih tak dapat mendaftarkan kesemua pemain baharu mereka, Barcelona kini dalam proses memuktamadkan 2 lagi nama iaitu Bernardo Silva dan juga Marcos Alonso.

Kelab Catalan itu telah menandatangani Andreas Christensen, Franck Kessie, Raphinha, Robert Lewandowski dan Jules Kounde pada musim panas ini sambil memperbaharui kontrak Ousmane Dembele dan Sergi Roberto – tiada seorang pun daripada nama nama ini boleh didaftarkan dengan La Liga sehingga kelab itu mengimbangi buku akaun mereka.

Kini Barcelona semakin hampir untuk mencapai kesepakatan dengan Marcos Alonso yang sudah berada dalam radar Barcelona sejak awal jendela perpindahan lagi. Barca sebenarnya mahukan Alonso dan Azpilicueta selepas mendapatkan Andreas Christensen.

Namun Azpi sudah mengesahkan bahawa dia melanjutkan kontrak baharu.

Marcos Alonso tidak disertakan dalam skuad Chelsea untuk tugasan pertama dalam pembukaan Liga Perdana Inggeris. Pemain itu sedang memuktamadkan perpindahannya ke Barcelona.

Chelsea sudah mendapatkan Marc Cucurella untuk menggantikan Marcos Alonso. Di mana posisi bek kiri di Chelsea turut diisi oleh Ben Chilwell.

Namun ada berita lebih besar lagi. Sebelum ini Joan Laporta menyatakan bahawa, kelab kelab lain harus bersedia dengan lebih banyak kejutan daripada Barcelona. Kenyataan itu dibuat ketika Laporta menjawab kenyataan Julian Nagelsmann yang menyindir Barca sebagai satu satunya kelab yang tak ada duit namun dapat menandatangani kesemua pemain yang mereka suka.

Barcelona yakin akan dapat membeli Bernardo Silva dalam perpindahan kali ini. Pemain tengah Manchester City itu  telah berada dalam radar Barcelona selama lebih setahun. Blaugrana ingin menandatanganinya pada musim panas lalu tetapi tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membuat perjanjian dengan pemain tersebut.

Ianya dilaporkan antara sebab kenapa Bernardo Silva terus berteka teki soal masa depannya dengan City.

Joan Laporta sekali lagi mengintai pemain tengah berusia 27 tahun itu dalam jendela perpindahan kali ini, dengan presiden Barça itu berazam untuk mendapatkan Silva kerana dia ingin memberikan pengurus Xavi Hernandez skuad terbaik untuk merebut kejuaraan.

Bagaimanapun, pasukan Catalan itu akan menghadapi beberapa halangan dalam mengejar bekas pemain tengah AS Monaco itu. Antaranya, Manchester City enggan melepaskan pemain bintang mereka pada musim panas ini.

Namun Guardiola sudah menyatakan bahawa, jika pemain mereka meminta untuk pergi, dia akan menjual mereka. Namun juara Liga Perdana itu akan menuntut sejumlah €100 juta untuk Silva. Selain itu, juara Perancis Paris Saint-Germain juga telah memasuki perlumbaan untuk menandatangani pemain berusia 27 tahun itu, yang dianggap mencipta satu lagi halangan untuk Barcelona.

Tetapi, menurut laporan COPE, Barça tidak bimbang tentang minat daripada PSG kerana mereka sudah ada persetujuan verbal dengan ejen Silva, Jorge Mendes, mengenai potensi perpindahan untuk pemain Manchester City itu. Seperti mana yang mereka lakukan kepada Raphinha sebelum ini.

Barca masih menunggu ada kelab membeli De Jong dengan nilai EUR85 juta. Jika itu berlaku, dengan segera Barca akan membeli Bernardo Silva.

Memandangkan situasi masih sulit untuk menjual De Jong. Dengan pemain itu berkeras enggan berpindah, Barca cuba mencari cara lain untuk mendapatkan pemain tersebut.

Laporta dan Mendes mempunyai hubungan kerja yang baik dan mereka telah mengadakan beberapa pertemuan dalam beberapa bulan kebelakangan ini tentang kemungkinan perpindahan Silva ke Camp Nou juga telah dibincangkan. Selain daripada Mendes yang pernah menawarkan Ronaldo ke Barcelona.

Cadangan itu ditolak Laporta kerana mereka sudah menetapkan Lewandowski sebagai sasaran utama mereka.

Kunci kepada perpindahan ini pastinya terletak pada Bernardo Silva. Pemain itu dilaporkan benar benar berminat mahu ke Barcelona.

Baca yang lain