Wan Zahrulnizam ‘Selamatkan’ Khairul Fahmi Dari Zero Kepada Hero, Dollah Terlalu ‘Selesa’ Dengan Pemainnya

Belum sempat para penyokong Sri Pahang dan Melaka United menyediakan ‘pop corn’ dan ‘teh o’ Manuel Hidalgo menjaringkan gol pembukaan melalui tandukan.

Tersenyum lebar Dollah Salleh bersama kakitangan Sri Pahang di bangku simpanan melihat pasukannya mendahului perlawanan tidak sampai seminit selepas dimulakan -hanya 10 hantaran selepas sepak mula.

Itu hanya secebis kisah awal perlawanan Sri Pahang lawan Melaka United yang mempunyai beberapa rentetan menarik sepanjang 90 minit tidak termasuk 11 minit masa untuk membaiki masalah lampu limpah.

Sri Pahang Garang, Dollah Girang

Sri Pahang bermula garang melalui gerakan pertama yang dilakukan oleh Malik Mat Arif disebelah kiri, dia kemudiaanya melakukan hantaran lintang yang memperdayakan Khairul Fahmi Che Mat yang meluru keluar dari posisinya.

Tindakan Khairul Fahmi ternyata menjadi satu kesilapan besar dan membenarkan Hidalgo menanduk masuk bola kedalam gawangnya yang terbuka luas.

Berselang 4 minit, tersentak dengan jaringan itu Melaka United melakukan serangan balas dan hampir menyamakan kedudukan melalui Manuel Ott.

Ott berjaya melepaskan diri dari kawalan Muslim Ahmad dan Azam Azih untuk meluru ke dalam kotak penalti dan melakukan percubaan.

Namun percubaan di sebelah kanan gawang Pahang itu berjaya diselamatkan oleh Helmi Eliza Elias.

Memasuki minit ke-7, perlawanan menjadi semakin rancak -Sri Pahang kembali memberi amaran melalui larian Malik Mat Arif melepasi benteng pertahanan Melaka United.

Malik hanya berhadapan dengan Khairul Fahmi namun dia agak lambat untuk melepaskan rembatan dan akhirnya berjaya dipintas oleh Akhmal Zahir.

5 minit selepas itu giliran Melaka United pula menguji gawang Sri Pahang melalui pemain pertahanan kiri, Khairul Anwar bagaimanapun dia agak tergesa-gesa melepaskan percubaan yang agak liar.

Selepas perlawanan memasuki minit ke-13 kedua-dua pasukan mula mengendurkan serangan. Tiada lagi gerakan bahaya dijelmakan di hadapan gawang lawan masing-masing.

Perlawanan hanya berkisar hantaran di kawasan tengah padang.

Bersambung babak ke-2, Sri Pahang sekali lagi bermula garang dan hampir menggandakan kedudukan namun Aung Kang Min gagal melakukan percubaan baik selepas, juga dalam situasi 1 lawan 1.

Seminit selepas itu salah satu lampu stadium tiba-tiba terpadam dan perlawanan terpaksa dihentikan selama 11 minit. Ia menjadi pentanda permainan selepas itu bakal menjadi milik Melaka United sepenuhnya.

Melihat kepada babak pertama, Hidalgo sering dikasari oleh pemain Melaka United. Jika ia sebahagian dari rancangan Melaka United, ia sebenarnya berkesan.

Hidalgo seperti tidak lagi wujud di sepanjang babak kedua dan situasi tersebut mengurangkan ancaman untuk skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan.

Bermula pada minit ke-60, Sri Pahang memerlukan aksi pintasan cemerlang dari Helmi Eliza Elias yang keluar untuk menghalang hantaran lintang S.Kumahraan sebelum bola sampai ke kaki Giovanni Gomez.

3 minit selepas itu Melaka United kecewa apabila pengadil perlawanan tidak memberikan sepakan penalti walaupun Herard Goulon jelas menarik badan Giovanni di dalam kotak penalti.

Pada minit ke-66 Adriano melepaskan percubaan dari luar kotak penalti namun sedikit tersasar.

Adriano sekali lagi menguji Helmi melalui rembatan tepat kearahnya pada minit ke-76 dan Sony Norde juga tidak mahu ketinggalan apabila melakukan perkara sama pada minit ke-76.

Ketika Melaka United sedang mencipta deretan peluang untuk mencari gol penyamaan, gerakan helah Malik yang masuk ke dalam kotak penalti lawan membuahkan hasil apabila dia dijatuhkan oleh Akhmal.

Logeswaran menghadiahkan sepakan penalti namun gagal disempurnakan oleh Goulon. Khairul Fahmi menebus kesilapannya apabila berjaya meneka arah sepakan Goulon yang ke sebelah kanan gawangnya.

Namun ia belum lagi menebus kesilapan pada minit pertama permainan kerana Melaka United masih ketinggalan 0-1.

Dollah selesa dengan pemain, Zainal berani lakukan perubahan

Walaupun Dollah sedar pasukannya sudah hilang penguasaan dan karektor sejak lampu limpah terpadam, jurulatih tersebut tidak melakukan sebarang perubahan walaupun Melaka United semakin kuat memberi ancaman.

Akhirnya usaha Melaka United berhasil -menemui jaringan penyamaan pada minit ke-90+7 melalui kombinasi 2 pemain yang dibawa masuk oleh Zainal Abidin Hassan.

Faris Shah Rosli memintas bola dan kemudiannya melakukan satu lob ke hadapan pintu gawang yang disambung dengan rembatan padu jarak dekat dari Wan Zahrulnizam Zakaria.

Jaringan dari Wan Zahrulnizam itu secara langsung menukar status Khairul Fahmi dari zero kepada hero yang terkeluar dari posisi memberi peluang kepada Hidalgo menjaringkan gol kepada aksi penyelamat sepakan penalti Goulon.

Ketika perlawanan berbaki seminit barulah kelibat Hidalgo kembali muncul untuk mengambil sepakan percuma di luar kotak penalti lawan. Sepakannya berjaya menemui Malik namun seribu kali sayang percubaan darinya hanya singgah di tiang.

Dalam perlawanan tersebut Melaka United menurunkan 3 pemain baharu iaitu Giovanni Gomez, Adriano dan Gary Steven Robbat yang dipinjamkan dari JDT. Ketiga-tiganya agak sederhana.

Faris Shah yang masuk menggantikan Gary akhirnya menjadi pencetus kepada jaringan penyamaan pasukan. Percaturan berani Zainal mengeluarkan Kumahraan yang sedang aktif menyumbangkan banyak hantaran lintang juga berkesan apabila pemain Wan Zahrulnizm menjaringkan gol penyamaan.

Bagi Dollah pula, dia tidak menggunakan peluang melakukan pertukaran taktikal untuk menambah kekuatan pertahanan atau serangan. Dollah terus percaya kepada Kenny Atiu dan Aung Kng Min yang agak hambar -hanya Malik sahaja yng banyak melakukan ancaman bahaya.

Bercakap kepada La Bola Malaya, Dollah mengesahkan Malik merupakan pemain terbaiknya pada perlawanan tersebut dan punca mereka melepaskan gol pada minit akhir -hilang fokus kerana tiada perlawanan persabahatan.

Sebenarnya Sri Pahang telah hilang dari permainan sejak minit ke-59 lagi dan Dollah tidak melakukan apa-apa berbanding Zainal yang melakukan sedikit perubahan untuk kembali bangkit.

Baca yang lain