Wanita Panggil Polis Idiot Kerana Roadblock PKP Didenda RM3,100

Seorang pengurus jualan yang sebelum ini viral di media sosial kerana memaki anggota polis dalam satu sekatan jalan raya pada akhir Mac lalu, hari ini didenda RM3,100 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah mengenakan denda tersebut terhadap Tong Poh Kim, 44, selepas tertuduh yang sebelum ini mengaku tidak bersalah berkelakuan kurang sopan dan menghalang tugas anggota polis, menukar pengakuannya ketika kes itu disebut hari ini.

Poh Kim didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Koperal Izuan Hasim Nor Hamzah dengan mengeluarkan kata-kata ‘idiot’ (bodoh) pada 9.40 pagi 31 Mac lepas di Jalan Persiaran Surian di sini mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman maksimum denda RM100.

Dia juga mengaku menghalang Izuan Hasim menjalankan tugas dan fungsi jawatannya di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan berkelakuan kurang sopan, Tong didenda RM100 atau penjara sehari manakala bagi kesalahan menghalang tugas anggota polis, wanita itu didenda RM3,000 atau penjara sebulan.

Poh Kim membayar denda itu.

Terdahulu, peguam bela, Datuk Suraj Singh, yang mewakili tertuduh memohon mahkamah agar hanya mengenakan hukuman denda terhadap anak guamnya atas alasan wanita itu mempunyai seorang ibu yang sedang koma akibat penyakit angin ahmar sejak 27 Februari lalu.

“Tertuduh benar-benar sudah insaf dan memohon maaf kepada semua pihak, termasuk polis. Dalam kes ini, tiada pergaduhan atau kekerasan jenayah kecuali perkataan ‘idiot’ yang dilontarkan tertuduh.

“Tertuduh bertindak sedemikian akibat tekanan emosi dan mental berikutan keadaan ibunya yang koma serta disebabkan terperangkap dalam kesesakan jalan raya lebih dua jam,” katanya sambil menambah ini adalah kesalahan pertama Poh Kim.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang seadil-adilnya terhadap tertuduh memandangkan kesalahannya yang tidak menghormati pasukan keselamatan negara adalah serius.

Kes maki polis

Seorang wanita ditahan pihak polis kerana tidak berpuas hati terperangkap dalam sekatan jalan raya Op C0vid di Persiaran Surian bersempadan Kota Damansara-Damansara.

Wanita tersebut menjerit sambil berkata, “Hoi stupid idiots, sekat jalan sampai jam teruk everywhere menyusahkan orang!”.

Insiden tersebut berlaku kira-kira jam 9.30 pagi, 31 Mac lalu, sebaik sahaja wanita itu tiba di rumahnya selepas terperangkap dalam kesesakan lalu lintas berikutan operasi besar-besaran pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya terhadap orang ramai yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wanita yang tinggal apartmen betul-betul bersebelahan lokasi sekatan jalan raya menaiki kenderaan Proton X70 berwarna putih juga membunyikan hon kereta hampir setengah jam ketika cuba mencari jalan keluar dari kesesakan ke rumahnya.

Sebaik tiba di perkarangan apartmennya, wanita itu memberhentikan kereta di hadapan pintu masuk sebelum menurunkan cermin pintu bahagian pemandu lalu menjerit sambil memaki-hamun pihak polis yang bertugas.

Selepas 10 minit hilang dari pandangan, wanita itu muncul semula dan dilihat berjalan ke arah polis dilihat memberi penjelasan serta rasa tidak puas hati terhadap sekatan jalan raya yang didakwa menyusahkannya untuk membeli barang keperluan rumah.

Namun anggota polis yang bertugas meminta kad pengenalan, menahan wanita tersebut serta mengarahkannya duduk di bawah khemah yang disediakan untuk petugas sekatan jalan raya. Setengah jam kemudian, dia dibawa ke balai polis Damansara untuk tindakan siasatan selanjutnya di bawah Seksyen 7(b) dan Akta 342.

Sumber: BERNAMA