Seorang lelaki warga Malaysia dijatuhkan hukuman mati di Singapura melalui sidang video Zoom atas kesalahan mengedar dadah, iaitu kes pertama di republik itu di mana hukuman mati dijatuhkan secara maya.
Menurut laporan, lelaki bernama Punithan Genasan, 37, dijatuhkan hukuman itu secara dalam talian kerana kesalahan mengedar heroin pada 2011 berikutan Singapura masih di bawah perintah berkurung bagi mengekang penularan wabak yang tengah melanda dunia pada ketika ini.
Menurut jurucakap mahkamah tertinggi Singapura, pendekatan itu adalah bagi mengurangkan risiko virus merebak di pulau itu.
Ini kerana Singapura kini antara negara Asia mencatatkan kadar jangkitan tertinggi.
“Untuk keselamatan semua pihak yang terbabit dalam prosiding, perbicaraan oleh Pendakwa Raya terhadap Punithan Genasan akan dilakukan secara persidangan video menggunakan aplikasi ZOOM.”
“Ini adalah kes jenayah pertama di mana hukuman mati dijatuhkan dari jarak jauh di Singapura,” katanya.
Peguam Punithan, Peter Fernando, berkata anak guamnya menerima keputusan hakim menerusi Zoom dan akan mengemukakan rayuan.
Dalam pada itu, Al Jazeera melaporkan bahawa beberapa kumpulan hak asasi manusia mengkritik penggunaan Zoom atas dakwaan boleh mengganggu proses keadilan, lebih-lebih lagi dalam kes membabitkan hukuman mati.
Namun, Fernando berkata beliau tidak membantah prosiding menerusi sidang video kerana hukuman yang dijatuhkan hakim boleh didengar dengan jelas dan tiada hujah dikemukakan.
Banyak perbicaraan mahkamah di Singapura ditangguhkan sepanjang perintah berkurung sejak awal April lalu dan dijadualkan berterusan hingga 1 Jun, sementara prosiding kes yang dianggap penting diadakan menerusi sidang video.
Amnesty kutuk Singapura
Menurut Amnesty International, dua orang pesalah telah dikenakan pertuduhan kes dadah pada 2019, dan dua lagi dihukum gantung kerana kesalahan jenayah bunuh.
Amnesty berkata: “Kes ini adalah satu lagi peringatan bahawa Singapura berterusan tidak memperdulikan undang undang standard antarabangsa dengan mengenakan hukuman mati mandatori kepada pengedar dadah.”
Penasihat hukuman mati Amnesty China, Chiara Sangiorgio menggesa hukuman seperti itu harus segera dihentikan.
“Ini harus dihentikan sekarang. Ketika seluruh dunia fokus untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi manusia ketika pandemik, menjatuhkan hukuman mati adalah perkara yang menjijikkan.”