Wartawan Arab Saudi Ini Tanya Soalan Pelik: Kenapa Tak Bawa Juve Dan Milan?

Piala Super Itali ataupun Supercoppa Italiana diadakan di Arab Saudi musim ini dengan format 4 pasukan.

Pada 2018, Liga Itali telah memilih Arab Saudi sebagai penganjur untuk 3 daripada 5 edisi Supercoppa.

Musim ini, 4 pasukan yang berjaya melayakkan diri ke Piala Super Itali 2024 adalah Napoli, Inter, Lazio dan Fiorentina.

Namun sehari sebelum Supercoppa Italiana berlangsung, seorang wartawan Arab Saudi telah memalukan seluruh negaranya dengan soalan yang dianggap pelik dan tidak sepatutnya.

Ini apabila dia mempersoalkan kenapa Serie A menghantar Lazio dan Fiorentina dan bukannya Juventus dan AC Milan yang lebih popular?

CEO Serie A, Luigi De Siervo dengan tenang menjawab bahawa 4 pasukan itu bukan dipilih atas dasar suka suka, sebaliknya atas sebab merit daripada pencapaian mereka musim lalu.

Sambil memberikan jaminan bahawa aksi antara Napoli dan Fiorentina akan menjanjikan aksi yang hebat.

Soalan itu benar benar membuatkan peminat bola sepak tepuk dahi mendengarnya. Kerana sebagai wartawan sukan, pastinya wartawan tersebut harus melakukan lebih baik.

Mereka turut teringat: “Saya tak pasti mana satu lebih teruk, ini atau wartawan Amerika yang bertanya kepada Bastian Schweinsteiger tentang peluang kelab Chicago Fires untuk memenangi Piala Dunia.”

4 pasukan tersebut dipilih atas dasar merit. Di mana Serie A sudah menetapkan bahawa Juara dan Naib Juara untuk Serie A dan Coppa Italia akan bermain di separuh akhir Piala Super Itali.

Pemilihan pasukan selain daripada juara dan naib juara Serie A dan Coppa Italia hanya akan diberikan jika berlaku ‘clash’ pada slot tersebut. Misalnya, pasukan yang sama menjadi juara.

Sebagai tambahan, dalam aksi separuh akhir melibatkan Napoli dan Fiorentina, pasukan Napoli menang 3-0.

Dalam aksi tersebut, kurang 10,000 penonton yang hadir dalam suasana yang dianggap agak hambar di dalam stadium.

Hal ini kerana pasukan seperti Napoli dan Lazio kurang popular di Arab Saudi berbanding kelab Milan atau Juventus.

Ini antara isu yang pernah dibangkitkan peminat beberapa tokoh bola sepak di Itali, kerana menurut mereka aksi seperti ini akan menjadi lebih meriah jika diadakan di negara sendiri.

Selain itu, mereka juga menganggap peminat tempatan yang menyokong kelab mereka lebih berhak untuk menyaksikan pasukan mereka beraksi di depan mata, tanpa perlu membelanjakan jumlah wang terlalu besar untuk berkunjung ke luar negara semata mata untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi.

Tak ramai yang berkemampuan seperti itu.

Sumber: Tuto Napoli