Wartawan Dedahkan Ada Pemain PSG Datang Pusat Latihan Dalam Keadaan Mabuk Sebelum Aksi Lawan Bayern

PSG tersingkir daripada Liga Juara-Juara selepas mereka tumbang 2-0 kepada Bayern Munich di Allianz Arena Rabu lalu.

Dalam video bertajuk, “PSG: Jika orang ramai (dan Emir) tahu apa yang sedang berlaku…”, yang dikeluarkan oleh wartawan Romain Molina, dia secara mengejutkan mendakwa bahawa seorang pemain telah hadir pada sesi latihan dalam keadaan mabuk.

Lebih mengeutkan, jurulatih Christophe Galtier membenarkan pemain itu meneruskan latihan dan memilihnya dalam kesebelasan utama untuk perlawanan penting menentang Thomas Muller dan rakannya.

Molina berkata: “Seorang pemain yang menjadi pemain permulaan di Allianz Arena mabuk pada pagi Isnin apabila dia meninggalkan kelab pada jam 6 pagi, dua hari sebelum perlawanan,” dakwa Molina dalam videonya.

Dia juga mendedahkan bahawa pemain yang sama keluar pada petang Jumaat dan pagi Sabtu, hari yang sama PSG dijadualkan menentang Nantes dalam Ligue 1. Bagaimanapun, wartawan itu enggan menamakan siapa pemain itu secara terbuka.

Masa depan Galtier dengan PSG kini menjadi tanda tanya. Dia dikatakan semakin hilang kawalan ke atas bilik persalinan PSG.

Selepas disingkirkan Bayern, satu mesyuarat khas dibuat untuk membincangkan masa depan pengurus itu.

Romain Molina turut mendedahkan bahawa ada beberapa pemain PSG yang tidak menghormati Christophe Galtier.

Mereka memperlekehkan pengurus mereka sendiri dan memanggilnya cikgu PJK.

Selepas PSG ditewaskan di laman sendiri oleh Bayern dalam perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, Kylian Mbappe memberi amaran kepada rakan sepasukannya “supaya jaga kesihatan, tidur lena, makan dengan baik” supaya mereka kekal tajam pada aksi kedua.

Ada spekulasi bahawa komen itu ditujukan kepada Neymar Jr. yang kemudiannya dilihat berada dalam kejohanan poker pada lewat malam dan kemudian pergi ke McDonald’s.

Bagaimanapun, pemenang Piala Dunia 2018 itu menjelaskan bahawa dia bercakap secara umum dan bukan secara khusus mengenai Brazil. Lagipun komennya sebelum Neymar melakukan perkara itu.

Baca yang lain