Watson Nyambek Jaguh Asia Tenggara di Asia. Hafiz, Nyepa dan Kini Haiqal Nafas Baharu Negara

Semalam Mohd Haiqal Hanafi merangkul bapa segala pingat, acara 100m pecut lelaki. Haiqal menewaskan bekas pelari semi-finals Sukan Asia 2014, Suwan Rattanapon dari Thailand dengan perbezaan masa 0.14 saat.

Tahniah Mohd Haiqal.

Tidak sampai 24 jam selepas kejayaan Mohd Haiqal, keluar satu tajuk yang kurang menyenangkan bos kami “Jangan sekadar gah dalam Asia Tenggara” yang diterbitkan oleh Astro Awani online.

Berikut adalah petikan 2 perenggan terakhir dari tulisan tersebut.

Kejayaan Haiqal perlu menjadi batu loncatan untuk cuba melakar pencapaian lebih tinggi terutama di peringkat Asia, Komanwel dan juga dunia. Ini sesuatu yang perlu dilakukan sekarang. Pada mulanya kita berharap Kharul Hafiz akan melakukanya tetapi malang potensi yang ada padanya diri tidak digilap sepenuhnya selepas dua tahun.

Saya berharap perkara yang sama tidak berlaku kepada Haiqal serta barisan pelari pecut negara yang lainnya. Ketika ini kita memiliki ramai barisan pelari yang berbakat serta menarik tetapi ia pasti bakat yang sia-sia jika hanya sekadar jaguh di peringkat Asia Tenggara untuk dipertontonkan.

Adakah pelari Malaysia hanya gah di Asia Tenggara? Bos kami telah mengerahkan kami melakukan sedikit analisis tentang perkara tersebut.

Walaupun kami malas nak layan berita tersebut, kami terpaksa melayan karenah bos kami yang kadang-kadang macam mabuk ketum.

Analisis

Sejak 2 dekad lepas deretan pelari pecut dari Thailand mewarnai pentas Sukan Asia, dari Asia Tenggara la. Namun begitu 2 nama yang paling berjaya adalah dari Malaysia dan Indonesia.

Siapa lagi kalau bukan… Ya, Watson Nyambek the flying dayak. Pelari kelahiran Sarawak, negeri sama dengan bos kami.

Walaupun Watson tidak pernah meraih sebarang pingat di Sukan Asia tetapi henjutan dan pecutannya sehingga kini masih tidak dapat dikalahkan oleh mana-mana pelari Asia Tenggara yang lain.

Pingat tunggal yang dimenangi oleh rantau ini pada kejohanan itu diraih oleh pelari Thailand yang bernama Wachara Sondee pada tahun 2006. Sondee memenangi pingat gangsa.

Walau bagaimanapun edisi kali itu menyaksikan juara Asia agak lemau dengan catatan taraf SUKMA, sekadar 10.32 saat. Sedangkan majoriti juara sukan Asia berkisar dengan catatan 9.95 hingga 10.15 saat.

Jika masa yang dicatat oleh Nyambek pada 1998 diambil dan diletakan ke tahun 2006, beliau sudah boleh memenangi emas. Apa boleh buat, bukan rezeki the flying dayak.

Watson melakukan henjutan padu pada 3 peringkat secara konsisten di Sukan Asia 1998. Merekod 10.25 saat pada saringan pertama, 10.20 saat di separuh akhir dan 10.32 saat pada sesi final.

Beliau menduduki tempat ke-4 pada larian final. 

Selepas itu tiada lagi pecutan lebih laju dari pelari pelari Asia Tenggara di Asia. Lalu Muhammad Zohri berkongsi menjadi manusia terpantas rantau ini apabila mencatat 10.20 saat pada Sukan Asia 2018, di peringkat separuh akhir.

Rumusan

Selepas 2 dekad, Malaysia melahirkan Hafiz Jantan dan Jonathan Nyepa. Hafiz meleburkan rekod kebangsaan Watson pada 2016 dengan catatan 10.18 saat (Watson 10.32 saat).

Namun Watson mempunyai catatan peribadi yang lebih baik iaitu 10.00 saat yang dilakukannya di Vietnam. Di Asia Watson mempunyai catatan peribadi 10.20 saat.

2 pelari ini agak gugup di Asia, hanya merekod 10.43 hingga 10.47 saat. Hari ini Malaysia terus melahirkan satu lagi jaguh, Haiqal Hanafi.

Hafiz Jantan tidak gagal, malah beliau berjaya mengeluarkan Malaysia dari tiada pelari pecut sejak 18 tahun selepas era Watson. Seterusnya Jonathan menawarkan saingan seperti Azmi Ibrahim bersaing dengan Watson satu ketika dahulu.

Kini Hanafi meneruskan legasi tersebut daripada mati.

 

Memang kita tidak tahu apa yang mampu dilakukan oleh Haigal di Sukan Asia nanti.

Adakah Malaysia hanya jaguh di Asia Tenggara? Terbaik dari Asia Tenggara, memang ya. Hanya jaguh di Asia Tenggara, sudah semestinya tidak.

10.20 saat.