Willian: GOAT Sebenar Adalah Ronaldinho Bukan Messi Atau Ronaldo

Bintang Arsenal dan bekas bintang Chelsea, Willian sebelum ini pernah menyatakan bahawa, perdebatan siapa lebih bagus dan pemain terhebat sepanjang zaman sepatutnya sudah ada jawapan.

Bercakap tentang perdebatan siapa pemain  terhebat sepanjang zaman, sama ada Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi?

Willian menegaskan ia bukan label milik Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi, tetapi ianya milik legenda Brazil, Ronaldinho Gaucho.

Ronaldinho merupakan pemain yang penuh skil dan juga sangat menghiburkan di atas padang.

Pastinya ramai yang kurang bersetuju dengan Willian kerana Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo merupakan pemenang Ballon d’Or 6 kali.

Namun Willian tidak rasa sama ada Messi atau Ronaldo adalah G.O.A.T (Greatest Of All Time).

Willian sedar, Messi dan Ronaldo memiliki rekod gol yang luar biasa. Tetapi bagi Willian, itu masih belum cukup untuk menjadikan mereka pemain terbaik sepanjang zaman berbanding dengan Ronaldinho.

Bercakap kepada Mirror, pemain sayap Chelsea itu berkata: “Ronaldinho adalah yang terhebat sepanjang zaman. Lebih bagus daripada Messi dan Cristiano.”

“Walaupun Messi dan Ronaldo menjaringkan banyak gol tetapai Ronnie (Ronaldinho) sangat luar biasa. Beliau pemain yang hebat di atas padang dan penjaring gol.”

Willian kemudian merasakan Ronaldinho meninggalkan Barcelona terlalu cepat. Jika tidak, pemain itu berpeluang menjulang lebih banyak piala dan anugerah individu.

“Sebagai seorang peminat, saya rasa Ronaldinho meninggalkan Barca terlalu awal. Jika beliau kekal lebih lama dan kekal di prestasi terbaik, saya rasa beliau akan memenangi lebih banyak piala. Beliau juga berpeluang memenangi lebih banyak Ballon d’Or.”

Ronaldinho berjaya memenangi Ballon d’Or pada 2005 dan Pemain Terbaik Dunia FIFA pada 2004.

Namun selepas beliau meninggalkan Nou Camp, kariernya menurun terlalu cepat. Ronaldinho meninggalkan Barcelona pada 2008 selepas memenangi treble dengan Pep Guardiola.

Sayang sekali, Guardiola tidak begitu gemar dengan tabiat buruk Ronaldinho yang suka berparti, takut ia memberikan pengaruh negatif kepada Lionel Messi yang ketika itu sedang meningkat naik dan rapat dengan Ronaldinho.

Lionel Messi sendiri mengiktiraf Ronaldinho sebagai pemain terbaik Barcelona, dan bukannya dirinya. Messi malah menganggap dirinya sentiasa terhutang budi dengan Dinho.

Beliau sudah memenangi segalanya bersama dengan pasukan Brazil termasuk Piala Dunia. Menjadi sebahagian daripada generasi emas Brazil yang dianggap antara yang terbaik pernah dihasilkan dalam sejarah bola sepak.

Ketika era kegemilangan beliau, Ronaldinho sangat hebat dan luar biasa. Amat sukar untuk pertahanan lawan merampas bola daripada kakinya.

Namun sayangnya, kondisi fizikalnya semakin merosot dan menghalang beliau untuk terus kekal di pentas tertinggi lebih lama. Berbeza dengan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Apa pula pandangan anda? Adakah anda bersetuju dengan Willian?

Baca yang lain

Xavi Sedia U-Turn Dan Kekal Di Barca

Beberapa minggu lalu Xavi menyatakan bahawa dia akan tetap meninggalkan Barcelona walaupun kelab itu menjulang UCL sekalipun. Sebelum itu Xavi sudah menyatakan