Wonderkid Brazil, Endrick Tak Risau Godaan Kelab Malam Di Sepanyol

Pemain wonderkid Brazil, Endrick Felipe secara terbuka menyatakan kebenciannya kepada kelab malam dan parti. Oleh sebab itu dia tidak risau dengan kehidupannya di Sepanyol kelak.

Dan dia menggariskan strateginya untuk mengelakkan masalah ketika dia dalam proses ke Real Madrid musim hadapan.

Walaupun baru berusia 17 tahun, pemain sensasi Palmeiras itu telah mempamerkan bakat luar biasa, sudah menjaringkan 15 gol senior, termasuk penentu kemenangan perlawanan menentang Atletico Paranaense.

Setelah mewakili Brazil di peringkat Bawah 17 tahun, Endrick telah mendapat panggilan ke skuad senior untuk Kelayakan Piala Dunia 2026 akan datang menentang Colombia dan Argentina.

Bakat remaja itu akan menyertai Real Madrid secara rasmi pada musim panas 2024, setelah menandatangani kontraknya dengan kelab itu. Endrick sebenarnya mendapat banyak tawaran daripada kelab besar lain, namun dia memilih Real Madrid. Sama seperti yang dilakukan Vini Jr sebelum ini.

Apa yang penting, dia berazam untuk kekal berpijak dan mengelakkan perangkap yang dialami oleh beberapa rakan senegaranya yang terkenal, seperti Neymar Jr., Ronaldinho, dan Ronaldo Nazario, dengan gaya hidup parti dan kelab malam di Sepanyol.

Sehinggakan mereka bergelut untuk mengekalkan peak lebih lama dalam karier luar biasa mereka.

Endrick bagaimanapun tidak risau dengan kehidupan malam di Sepanyol. Kerana dia seorang yang bencikan kelab malam. Dia tidak suka melepak di tempat seperti itu.

Bercakap kepada TNT, penyerang ke Madrid itu berkata seperti yang dipetik oleh Fabrizio Romano: “Saya benci pergi ke parti dan kelab malam. Saya tidak suka terlibat dalam kontroversi.”

Endrick seterusnya menggariskan komitmennya untuk mengekalkan imej awam yang positif, menekankan keazamannya untuk mengelakkan sebarang publisiti negatif sepanjang berada di ibu negara Sepanyol itu kelak.

“Saya tidak suka melakukan sesuatu yang boleh mengotorkan imej saya.  Fokus saya ketika ini adalah pada masa depan saya sebagai seorang atlet, tidak ada yang lain,” tegas Endrick yang sudah sedia membuat debut untuk skuad senior Brazil.

Peminat gembira mendengar apa yang dikatakan oleh Endrick. Ini kerana bakat bakat dari Brazil biasanya tidak boleh lari daripada pesta dan kelab malam.

Terutama yang menikmati kegemilangan di eropah pada usia muda.

Ada juga yang mengusik: “Adakah dia ni betul betul orang Brazil?”

Kata mereka ketika mendengar Endrick mengeluarkan kenyataan itu.