WWE Berminat Untuk Dapatkan Gergasi ‘American Football’

WWE ketika ini dilaporkan sedang memantau perkembangan bintang ‘American Football’ dari University Portland State, yang mempunyai berat 416 pounds dan berketinggian 7 kaki.

Manusia gergasi itu bermain bersama University Portland State sebagai pemain penyerang dan beliau kini sedang di pantau untuk ditandatangani oleh syarikat gusti terbesar dunia, WWE.

Laporan tersebut turut mendakwa yang pihak scouting WWE berminat untuk mencari penggusti baru yang muda, tinggi dan tidak mempunyai pengalaman dalam dunia gusti.

Pihak syarikat akan menguruskan tentang latihan dan bakal membimbingnya untuk menjadi bintang besar dalam dunia gusti profesional.

Hal ini sepertinya semakin pasti untuk berlaku dengan John Canzano telah menyatakan yang Portland State sudah menerima tawaran dari syarikat milik Vince McMahon untuk mendapatkan pemain penyerang mereka, John Krahn.

Canzano menyatakan yang WWE masih belum menandatangani Krahn, namun mereka sangat berminat untuk mendapatkan atlet muda yang hebat dan berpotensi untuk menjadi bintang itu.

John Krahn merupakan pemain terbesar dan tinggi yang pernah beraksi untuk Portland State, dengan ramai yang beranggapan bahawa beliau merupakan pemain terbesar di seluruh benua Amerika pada ketika ini.

Ia tidak mengejutkan untuk melihat mengapa WWE mengejar atlet seperti Krahn. Tentunya fizikal atlet muda itu menjadi peranan utama tentang mengapa Vince McMahon berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

McMahon jelas sekali memang menggemari atlet berbadan besar dan mempunyai ketinggian luar biasa dan beliau tentunya bakal menjadikan atlet tersebut ‘monster’ yang digeruni di WWE.

Apa lagi WWE kini berminat untuk mencari pelapis baru, dengan mereka sudah tidak berminat untuk merekrut penggusti profesional dari jenama lain sebagai keutamaan.

Krahn pada ketika ini baru sahaja berusia 23 tahun, jadi beliau tentunya masih boleh dibentuk dan dilatih untuk menjadi penggusti yang hebat.

WWE bakal mempunyai masa yang lebih panjang untuk memastikan mereka mampu menghasilkan produk yang berkualiti dengan melatih atlet muda seperti Krahn.

Sehingga hari ini, masih belum tahu sejauh mana minatnya WWE untuk menandatangani atlet gergasi itu, dan tawaran rasmi dari mereka juga masih belum dikeluarkan.

Satu hal yang pasti, syarikat gergasi dunia gusti profesional itu sememangnya berminat dengan Krahn dan sedang giat memantau perkembangan atlet tersebut.

Hal ini mungkin satu tanda dari Vince yang mahu membuktikan pada dunia yang beliau tidak goyang dan terkesan dengan kewujudan AEW.

Walau syarikat baru tersebut terus meraih populariti dengan mempromosikan bekas bintang WWE, namun Vince tetap tenang mencari bakat muda yang tiada pengalaman untuk diketengahkan.

Sumber: GMS

Baca yang lain