Xavi Hernandez Diminta Bayar Sendiri Kenaikan Gaji Staf

Xavi Hernandez dilaporkan telah meminta kelab untuk menaikkan gaji staf di Nou Camp.

Ini sebagai menghargai kerja keras dan pengorbanan mereka dalam bersama Barcelona ketika berdepan kesulitan.

Walaupun penuh dugaan dan pancaroba, mereka sanggup terus komited sehingga Barcelona kembali bergelar juara La Liga.

Sebelum ini ramai staf setuju menerima pemotongan gaji. Sementara staf kejurulatihan Xavi Hernandez pula menerima gaji sangat minimum untuk membantu kelab mengelak berbelanja lebih dalam kos operasi.

Selepas Barca menjuarai La Liga dan kembali ke UCL, Xavi telah menyuarakan tentang kebajikan staf di kelab itu.

Dia meminta kelab untuk menaikkan gaji mereka. Malangnya, kelab mencadangkan agar Xavi yang membayar kenaikan itu dengan duit sendiri. Iaitu dengan menggunakan wang kenaikan gaji pada kontrak baharu kelak.

Xavi masih dalam proses rundingan kontrak baharu. Dia menangguhkan lanjutan itu sebelum ini kerana mahu menunggu penamat musim 2022/23. Dan Xavi membantu Barca menjadi juara liga.

Barcelona memberitahu Xavi, kelab berdepan kekangan kewangan yang ketat sekali lagi. Barca berjaya menandatangani Ilkay Gundogan dan seterusnya Inigo Martinez.

Kemudian beberapa pemain dalam proses lanjutan kontrak yang pastinya menerima kenaikan gaji seperti Ousmane Dembele. Kontrak semasa pemain itu berakhir pada Jun 2024.

Dalam kontrak Dembele, kelab turut tertakluk kepada klausa penamatan kontrak €50 juta jika itu berlaku.

Seterusnya beberapa pemain muda mereka termasuk Alejandro Balde, Lamine Yamal antara yang menunggu kontrak profesional.

Barca masih dalam proses mendapatkan Marcelo Brozovic selepas mengosongkan bil gaji Sergio Busquets.

Xavi mendedahkan kelab benar benar mahu dia kekal. Barca dianggap benar benar setia dengan Xavi. Misalnya, selepas kekalahan 4-0 di Nou Camp dalam Copa Del Rey, yang membuatkan Barca tersingkir, Joan Laporta tetap memanggil Xavi dan memujuk dia segera menurunkan tandatangannya pada kontrak baharu.

Xavi memutuskan bahawa dia mahu melanjutkan kontrak apabila dia berjaya membantu Barca menjuarai liga.

Dengan kejayaan menjuarai liga, maka Xavi benar benar mahu staf staf lain merasai habuan dengan kenaikan gaji.

Namun kelab berpendapat, Xavi yang sepatutnya membantu kelab menaikkan gaji staf di kelab itu terutama sekali para pembantunya di jawatan kejurulatihan.

Ianya dengan menyerahkan kenaikan gaji yang dia bakal terima untuk membantu kelab membayar kenaikan gaji tersebut.

Kelab juga berpendapat, Xavi harus memikirkan bahawa kelab itu cuba sedaya upaya memberikannya pemain terbaik dengan apa jua cara dalam keadaan kekangan yang dihadapi Barca.

Xavi agak terkejut dengan cadangan itu. Namun laporan Mundo Deportivo menyatakan, Xavi mungkin sedia melakukan cadangan tersebut kerana dia sangat menghargai stafnya.